suria

Usaha Mencari Mangsa Bot Pelarian Karam di Pulau Christmas Diteruskan

SYDNEY: Pasukan menyelamat pada Khamis meneruskan usaha mencari saki baki penumpang bot yang karam ketika cuba mendarat di Pulau Christmas di Utara Australian.

Bot yang membawa lebih 100 orang pelarian keturunan Irag, Iran dan Kurdish itu telah meragut 28 nyawa apabila ia karam dilambung ombak dan terhempas di atas batu karang.

Bot kayu itu membawa pelarian berkenaan dan juga anak pinak mereka untuk mencari kehidupan baru yang lebih terjamin di Australia tetapi malang menimpa mereka apabila ombak besar telah menghayutkan bot berkenaan lalu terhempas dan berkecai apabila ia menghempap batu karang.

Kejadian itu disaksikan oleh para penduduk pulau berkenaan tanpa dapat berbuat apa-apa untuk membantu mangsa-mangsa berkenaan.

Bagaimanapun pasukan menyelamat kemudiannya berjaya membawa keluar 42 mangsa yang terselamat dan beberapa daripada mereka yang parah telah pun diterbangkan ke bandar Perth iaitu bandar yang paling hampir dengan pulau berkenaan.

Pulau Christmas terletak 2,600 kilometer dari Australia.

Daripada 28 mayat yang ditemui, pihak berkuasa mengesahkan terdapat juga kanak-kanak dan remaja. Oleh kerana tidak ada siapa yang dapat mengesahkan jumlah sebenar pelarian tersebut ada kemungkinan jumlah kematian dan mereka yang hilang dalam kemalangan tersebut tidak akan diketahui.

Sementara itu Perdana Menteri Julian Gillard mempersoalkan bagaimana bot berkenaan menghampiri kawasan perairan paling merbahaya di pulau berkenaan tanpa dapat dijejaki lebih awal oleh pengawal pantai atau pasukan tentera laut Australia.

Isu tentang Australia menjadi destinasi terakhir atau destinasi pilihan pelarian-pelarian dari Iraq, Iran dan Afghanistan telah menjadi perdebatan hangat bukan sahaja di negara tersebut tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Sepanjang tahun ini sahaja sekurang-kurangnya 5,000 pelarian dari Iraq, Afghanistan dan Sri Lanka telah berjaya mendarat di Australia secara haram dengan menaiki bot dari Indonesia.

Kesemua mereka mencari perlindungan politik ekoran peperangan dan suasana kacau bilau di negara asal mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain