suria

Malaysia Pelawa Pegawai UAE Lanjutkan Pengajian

DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) wajar mempertimbang menghantar tidak saja lebih ramai pelajar tetapi juga pegawai-pegawai kerajaan untuk mengikuti program sarjana dan PhD di Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Yahaya Abdul Jabar berkata negara Asia Tenggara itu boleh dikatakan kini maju dalam bidang tertentu yang mungkin menarik minat UAE.

Beliau menyebut sebagai contoh, teknologi informasi, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana, dan kejuruteraan.

"Saya fikir kita boleh berkongsi sebahagian daripada ini dengan pegawai-pegawai kerajaan dari UAE," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Yahaya, Malaysia mengalu-alukan kemasukan lebih ramai pelajar dari rantau ini ke institusi pengajian tingginya.

"Ini akan membantu memperkukuh hubungan masa depan antara Malaysia dengan negara-negara asal mereka, oleh kerana rakan-rakan Malaysia ini kemudian akan dapat menyumbang ke arah mempromosi kepentingan kita, termasuk produk dan perkhidmatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain