suria

Bintang Terkemuka Bollywood Meriahkan Majlis Anugerah Zee Cine

SINGAPURA: Beberapa bintang filem terkemuka Bollywood termasuk aktor Shah Rukh Khan dan aktres Aishwariya Rai Bachchan, akan berhimpun di sini pada 14 Januari ini untuk menghadiri majlis penyampaian anugerah tahunan bagi industri perfileman Hindi, Zee Cine Awards 2011.

Lain-lain nama besar dalam industri filem Bollywood yang juga dijangka hadir ke majlis itu nanti ialah aktres Priyanka Chopra, Deepika Padukone, dan aktor Arjun Rampal.

Malam Anugerah Zee Cine Awards diadakan buat pertama kali pada tahun 1998 di Mumbai, namun sejak 2004 majlis itu diadakan di luar India, dengan yang pertama di Dubai, London (2005 dan 2008), Mauritius (2006), dan Kuala Lumpur (2007).

Di Singapura, malam anugerah yang dihiasi kehadiran bintang gemerlapan itu akan berlangsung di Dewan Utama Hotel Marina Bay Sands yang baru disiapkan di Marina Bay, dan majlis itu akan disiarkan secara langsung untuk tontonan orang ramai di pusat ekspo dan konvensyen hotel berkenaan, bermula pukul 6.30 petang.

Rakaman majlis itu akan disiarkan untuk tontonan orang ramai di seluruh dunia menerusi rangkaian Zee, dua minggu kemudian.

Majlis malam itu akan dihoskan bersama oleh aktor Akshay Kumar dan pembuat filem yang juga aktor, Sajif Khan.

Menurut jurucakap hotel, tiket-tiket untuk menyaksikan siaran majlis anugerah itu secara langsung dijual pada harga S$40, di mana peminat Bollywood akan dihiburkan dengan persembahan secara 'live', lengkap dengan deejay yang akan memainkan lagu-lagu hits terbaru Bollywood, dan juga persembahan tarian. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain