suria

Ribuan Penyokong Baju Merah Buat Bantahan Di Bangkok

BANGKOK: Puluhan ribu penyokong gerakan antikerajaan Baju Merah mengadakan bantahan secara aman di ibu negara hari ini, sebagai desakan agar kerajaan Thailand membebaskan pemimpin dan anggota mereka yang masih dalam tahanan.

Kumpulan itu mula berkumpul di Jambatan Phan Fa di Ratchadamnern Avenue sejak tengah hari sebelum bergerak ke persimpangan Ratchaprasong kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia, Ahad.

Perarakan itu diketuai pemimpin Barisan Bersatu Demokrasi bagi Menentang Pemerintahan Diktator (UDD) Jatuporn Prompon dan Thida Thavornseth.

"Kami mahu kerajaan membebaskan pemimpin dan rakan-rakan kami," kata Thida yang menambah mereka akan mengadakan bantahan itu dua kali sebulan.

Kira-kira 400 pemimpin Baju Merah dan penyokong mereka masih ditahan termasuk 19 yang berdepan dakwaan terlibat dengan aktiviti keganasan. Yang lain ditahan kerana melanggar perintah Darurat.

Mereka ditahan selepas kekacauan yang menyaksikan 91 terbunuh dan lebih 1,800 cedera akibat pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan yang berlaku antara 10 April dan 19 Mei lepas.

Kumpulan penunjuk perasaan itu juga menyalakan lilin merah menjelang pukul 6 petang tadi.

Secara keseluruhan keadaan keselamatan adalah terkawal dan kumpulan itu dijangka bersurai menjelang pukul 8 malam.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain