suria

Jualan Kereta Di Australia Catat Rekod Baru

MELBOURNE: Jualan tahunan kenderaan baru adalah yang kedua tertinggi mengikut rekod 2010 dengan lebih satu juta unit dijual.

Toyota merupakan jenama yang paling tinggi dijual selama lapan tahun berturut-turut, manakala Holden Commodore merupakan model paling popular selama 15 tahun berturut-turut.

Jualan kenderaan baharu berjumlah 1,035,574 bagi 2010, meningkat 10.5 peratus atau 98,246 unit berbanding tahun sebelumnya, demikian menurut data Dewan Industri Automotif Persekutuan (FCAI) yang dikeluarkan Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif FCAI Andrew McKellar berkata hasil jualan pada 2010 merupakan keputusan luar biasa dan hanya merupakan jualan tahunan kali ketiga yang melebihi satu juta.

"Keputusan itu sangat menggalakkan memandangkan semua cabaran tahun itu seperti prospeks kadar faedah yang lebih tinggi, ketidaktentuan politik dan penarikan balik rangsangan pasaran," kata Associated Press Australia memetik kenyataan McKellar kepada media di Sydney.

"Pengguna memperakui manfaat keselamatan dan alam sekitar dengan membeli kenderaan baru dan dalam pasaran yang sangat kompetitif itu, mereka memperoleh kenderaan yang baik pada harga yang menarik," katanya.

McKellar juga berkata organisasi itu mengunjurkan 2011 sebagai tahun penyepaduan dengan prospek peningkatan yang lebih besar.

"Industri itu mengunjurkan peningkatan sederhana dalam jualan kenderaan baru untuk tahun ini dengan pertumbuhan antara satu dan dua peratus.

"Jika ini tercapai, jualan kenderaan baharu akan melebihi 1,050,000 unit pada 2011. Kami berada pada kedudukan yang baik untuk melakar satu lagi tahun yang mencatat rekod," katanya.

Jualan tahunan yang ditetapkan pada 2007 sebanyak 1,049,982 kenderaan. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain