suria

Penutup jenazah dibuka, pemandu e-hailing lemah lutut tengok wanita terbaring kaku… Rupanya hantar ‘roh’ penumpang tanpa jasad!

Pemandu e-hailing, Iqbal berkongsi kisah mistik menumpangkan seorang gadis yang rupanya telah meninggal dunia.

TIDAK pernah terjangkau dek akal, gadis cantik yang menumpang kenderaannya untuk pulang ke rumah rupa-rupanya sudah meninggal dunia!

Demikian kisah misteri dialami seorang pemandu e-hailing ini, yang tidak menyangka dia menjadi 'orang perantara' untuk membantu si mati.

Mengimbas kembali kisah yang berlaku sekitar tahun 2016 itu menerusi satu podcast, pemandu dikenali sebagai Iqbal berkata, segala-galanya bermula apabila dia menerima tempahan daripada seorang penumpang.

"Ketika itu sekitar pukul 4.30 petang dan keadaan jalan sangat sesak. Saya tiba lewat dan sebenarnya fikir penumpang itu dah tiada. Tiba di depan sebuah kampus, ada seorang gadis sedang berdiri.

"Dia cantik sangat, berambut panjang. Saya buka tingkap untuk mengesahkan adakah ini Natalia iaitu penumpang yang buat tempahan, dan dia mengiyakan.

Berdepan dengan pelbagai karenah penumpang merupakan asam garam bagi mereka yang bekerja sebagai pemandu e-hailing. -Gambar hiasan

"Saya minta maaf kepadanya atas kelewatan kerana jalan sesak. Katanya tak mengapa dan dia juga tak mengejar masa. Dia ke belakang, tapi hanya untuk letakkan beg. 

"Kemudian dia minta duduk di depan. Saya akui dia sangat cantik dan wangi, sampai terpana. Saya ingat lagi pakaiannya ketika itu berwarna hitam dan putih," katanya.

Sepanjang perjalanan, Iqbal berkata dia sentiasa mencari peluang untuk bersembang dengan Natalia namun gadis berkenaan hanya memberikan jawapan pendek pada setiap pertanyaannya.

Ujar Iqbal, Natalia kemudian tertidur dan hanya tersedar apabila dia mengejutkannya kira-kira satu kilometer sebelum tiba di destinasi. 

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita cabut lari lepas seminggu menyewa di Semenyih... Kejadian pinggan ‘terbang’ sebelum maghrib gemparkan jiran!

"Kereta memasuki kawasan perumahan elit. Natalia tolong tunjukkan arah dan minta saya berhenti di belakang deretan kereta yang banyak... macam ada majlis di kawasan itu.

"Dia keluar tapi pesan minta saya tunggu. Saya fikir, dia mahu minta saya hantar ke destinasi lain lagi.

"Katanya, mahu menziarahi kematian sebentar di rumah yang ramai orang tadi... nanti dia bayar (tambang) lebih. Katanya lagi, dia tinggalkan beg di belakang, tak bawa sekali.

"Ketika sampai di rumah tersebut, jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Saya bosan tunggu lalu keluar berjalan kaki di kawasan sekitar beli kopi... main handphone. Sampai pukul 11 malam saya tunggu," cerita Iqbal.

Hairan dan tertanya-tanya keberadaan penumpangnya, Iqbal mengambil keputusan untuk pergi ke rumah berkenaan dan bertanya kepada orang yang berada di situ.

"Kemudian seorang wanita iaitu kakak Natalia keluar rumah bertemu saya. Saya pun ceritakan bahawa saya pemandu e-hailing yang ditumpangi Natalia, saya dipesan suruh tunggu. Malah beg dia pun ada dalam kereta.

"Saya ambil beg dan serahkan kepada wanita itu. Tiba-tiba dia menangis. Dia tarik saya masuk dalam rumah, ke ruang tengah yang menempatkan satu jenazah.

"Ada seseorang bertanya mengenai pakaian penumpang saya... saya beritahu warna hitam putih, dan katanya baru tamat semester. Terus pecah tangis mereka yang ada di situ.

Lekas highway during the night. Only the car headlights is a guiding source.Mengamalkan ayat pendinding adalah salah satu cara untuk mengelakkan gangguan mistik. -Gambar hiasan

"Saya bingung apa yang berlaku. Mereka beritahu, beg inilah yang mereka cari. Lalu mereka tunjuk satu foto... 'ini ke penumpang yang kamu bawa?'. Saya angguk. 

"Kemudian dibuka pula penutup jenazah, ternyata Natalia yang terbaring kaku. Lemah selemah-lemahnya saya rasa ketika itu," ungkap Iqbal.

Cerita Iqbal lagi, menurut keluarga Natalia, gadis itu mengalami kemalangan pada petang Sabtu dan dihantar ke hospital namun meninggal dunia pada Selasa.  

"Selepas bedah siasat, jenazahnya dibawa pulang ke rumah pada petang Selasa. Pada hari itulah saya bawa 'dia' ke rumahnya.

"Kata mereka, beg milik Natalia sudah dicari merata sejak hari kejadian... tapi tak jumpa. Ingatkan sudah dicuri orang. Tapi periksa GPS, memang ada di situ tapi mereka tak jumpa. 

"Di situlah saya jemput 'dia', di lokasi kemalangan berlaku. Anehnya lagi, polis periksa handphone miliknya yang sudah off, memang betul dia ada buat order e-hailing.

"Tapi tak sempat sebab dia dilanggar ketika melintas jalan. Rupanya saya tolong bawakan beg dia," akhiri Iqbal.

Menurut Iqbal, kisah tersebut menghantuinya sehingga kini dan biarpun sudah hampir 10 tahun berlalu, ia seakan-akan berlaku semalam.

Artikel Lain