Macam ada rambut membelai bahu kanan, kemudian rasa panas… - Mistik | mStar

Macam ada rambut membelai bahu kanan, kemudian rasa panas…

Gangguan mistik sentiasa terjadi dalam kehidupan seharian. Ilustrasi: ZULHAIMI BAHARUDDIN

BUNYI seolah-olah ada orang sedang berjalan, berlari atau pun guli jatuh ke lantai mungkin sudah menjadi perkara lazim terutama bagi yang tinggal di rumah pangsa, pangsapuri mahupun kondominium.

Pada yang tidak kuat semangat pasti akan berasa takut akan gangguan itu. Kejadian seumpama kebiasaannya akan berulang kerana 'benda' itu seronok mempermainkan manusia yang realitinya bersifat lemah.

Pengalaman Afil diganggu makhluk halus di kediamannya tidak kurang hebat hinggakan dia sudah lali akan keadaan itu.

Ceritanya, dia pertama kali merasai pengalaman aneh itu ketika berpindah ke tingkat paling atas sebuah apartment di Shah Alam, namun bunyi pelik yang datang dari bahagian atas sering menimbulkan tanda tanya.

"Pada awalnya macam biasalah, ada bunyi-buny di siling seperti tapak kaki orang berjalan di tingkat atas! Yang menariknya, tingkat atas?

"Tak wujud rumah lain sebab unit yang aku duduk ini adalah bahagian paling atas. Bestkan bila mengetahui hakikat itu? Haha," katanya sambil selamba tertawa kecil.

Pada awalnya, kata Afil, perasaan takut itu memang wujud setiap kali terdengar atau merasai perkara pelik namun lama-kelamaan dia mula terbiasa dengan situasi sedemikian.

"Kau gila tak takut kalau tahu kat atas tu tak ada orang boleh duduk dan cuma ada tangki air, tapi ada bunyi orang berjalan hentak-hentak kaki?

"Dah setahun duduk di situ, aku pun dah terbiasa dengan benda-benda tu... Hilang bersama angin yang bertiup!," katanya.

Pun begitu ceritanya, kejadian pelik itu tidak terhenti di situ, malahan lebih parah apabila dia berpindah ke sebuah apartment lain dan mengambil keputusan untuk tinggal bersendirian.

"Waktu aku baru berpindah ke kawasan ini, memang belum ramai lagi penghuni malah kedai-kedai di bawah rumah pun belum buka lagi.

"Aku ingatkan di rumah baru ni tak adalah bunyi-bunyian aneh bak pancaragam. Rupanya, ada juga 'band' yang ikut," ujarnya.

Pada peringkat awal katanya, bunyi-bunyian yang mengganggunya tidak serius, namun ia semakin menjadi-jadi sehingga membuatkannya berasa gusar.

"Kalau bunyi berjalan biasa, aku faham. Ini berjalan yang lebih kepada hentakan! Dum! Dum! Dum!. Ah, itu mesti orang Arab yang duduk di tingkat atas tu, - kata aku kepada diri sendiri untuk sedapkan hati.

"Itu okay lagi. Ada juga bunyi-bunyian guli melantun-lantun dan bergolek. Tak cukup ‘main’ guli, dia main batu seremban pula. Entah apa-apakan, main batu seremban pukul 3 pagi.

"Kadang-kadang, bila aku tengok televisyen malam-malam, aku sejenis yang pakai boxer saja dan tidak berbaju. Sesekali, aku akan rasa macam ada rambut membelai-belai bahu kanan.

"Kemudian, akan rasa panas di bahagian belakang. Bila baca ayat Kursi, rasa panas itu pun berlalu pergi," jelasnya.

Bagaimanapun kata Afil, situasi itu yang pada awalnya membuatkan dia berasa takut bertukar kepada meluat kerana corak gangguan yang dilaluinya sentiasa sama dan berulang.

"Pernah satu malam, aku sampai rumah dalam pukul 2 pagi... Kau bayangkan, kau penat baru habis kerja pagi-pagi buta, buka saja pintu rumah dan bagi salam, kau ‘disambut’ dengan …“Tik tik tik tik tik,” bunyi ‘guli’.

"Sebab penat, aku maki secara berhemah. Tak payah nak main guli sangatlah. Tengah penat ni. Tak lawak pun!

"Kemudian, senyap sampailah pagi. Mungkin aku tidur terlalu nyenyak juga sebab kepenatan, jadi tak dengar apa-apa dah sepanjang malam itu," ceritanya.

Malah katanya, dia pernah cuba berbual dengan 'benda' itu setiap kali ia mengganggunya dan kebiasaannya ia akan berhasil.

"Pernah juga dalam pukul 2 pagi, dia main tabur-tabur guli betul-betul tepi telinga aku. Kemudian, bunyi tu berpindah ke hujung kaki aku. Aku bangun dan cakap elok-elok dengan ‘budak-budak’ tu dan dia pun berhenti bermain," ujarnya.

Sementara itu, Afil berkata, ayat Kursi banyak menbantunya setiap kali diganggu 'benda' itu.

"Pada pendapat aku, benda-benda ini umpama tenaga, cuma ia tenaga jahat yang tak nampak dengan mata kasar kerana kita disogok dengan bentuk-bentuk menakutkan, dia akan menjelma ikut apa yang terlintas dalam imaginasi kita.

"Contoh yang aku boleh bagi, kalau waktu kecik, orang tua-tua cakap, langsuir tu bentuknya perempuan, pontianak perempuan berambut panjang dukung anak dan macam-macam benda lagi.

"Jadi, imaginasi kita membentuk imaginasi menakutkan... Cumanya, jangan terlalu dilayan. Tak boleh jadi terlalu berani dan cakap besar, sebab nanti mereka akan ‘kenakan’ kita. Tak boleh juga terlalu takut sebab taraf kita lagi tinggi. Ingat tu.

"Aku ni bukanlah lengkap sangat jadual sembahyang. Tapi, bila rasa tak sedap hati, Alhamdulillah, ayat Kursi masih dihafal lagi sebagai pendinding. Memanglah kata orang, syaitan dan iblis boleh baca Quran lebih baik daripada kita, tapi, who cares? Hahaha," katanya.


Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
Misteri

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel