Tangan berbulu muncul dari tandas, Damia disihir teman lelaki - Mistik | mStar

Tangan berbulu muncul dari tandas, Damia disihir teman lelaki

Damia terkejut apabila kelihatan tangan berbulu keluar dari mangkuk tandas. Ilustrasi oleh ZULHAIMI BAHARUDDIN

HARI ini hari yang bersejarah buat Damia, dia bakal menamatkan pengajian dengan segulung ijazah.

“Tak sabar rasanya mahu naik ke pentas bersama rakan-rakan sekejap lagi,” ujar Damia berbisik dalam hati sambil bersiap di hadapan cermin.

Namun, sepanjang enam bulan menunggu detik hari graduasi itu, kehidupan Damia tidak seindah orang lain.

Sejurus sahaja dia menamatkan semester terakhir tempoh hari, kehidupan Damia tak pernah aman.

Gadis kecil molek itu sebenarnya disihir bekas teman lelaki yang juga pelajar di universiti tempat dia belajar.

Damia dan Zamil berkenalan pada semester pertama, semuanya indah seperti pasangan-pasangan lain.

Malah, Damia kadang-kala menganggap perhubungan mereka persis pasangan selebriti Scha Al-Yahya dan Awal Ashari, perasan sangatkan?

Berbalik kepada cerita tadi, Zamil bukan sahaja teman lelaki yang baik, malah dia juga seperti ‘bank’ untuk Damia.

Iyalah, semua keinginannya dituruti. Cakap sahaja apa yang diingini, pasti dikabulkan apa sahaja permintaan oleh Zamil.

Zamil bukanlah anak orang kaya tapi keluarganya orang berniaga.

Damia dan Zamil telah lama bercinta namun segalanya berubah apabila Damia memungkiri janji mereka. Gambar sekadar hiasan.

Nak dijadikan cerita, Damia mula menjauhi Zamil pada dua semester terakhir untuk fokus pada kajian akademik.

Zamil memahami, malah katanya dia mahu tunggu sehingga mereka sama-sama tamat belajar dan bersedia memberi ruang untuk Damia fokus kepada pelajaran.

Namun silap Damia juga, pada waktu itu dia menjalin hubungan cinta dengan Syakir.

Tanpa pengetahuan Zamil, Damia dan Syakir bertunang dua minggu selepas peperiksaan semester terakhir.

Namun, salah seorang rakan mereka terlepas cakap sehingga ia sampai ke pengetahuan Zamil.

"Tak guna punya perempuan... selama ini dia main-mainkan aku ke?" Bisik hati Zamil.

Zamil gagal menyembunyikan perasaan marahnya kerana penat tiga tahun dia menjaga hubungan itu, tapi si awek berjodohan dengan orang lain.

Biarpun dihambur kata-kata kesat menerusi mesej WhatsApp oleh Zamil, Damia mengambil pendekatan untuk berdiam diri sahaja.

Namun tak disangka Zamil sanggup bertindak di luar batasan dengan bertemu bomoh Siam untuk membalas dendam.

"Dengan apa cara sekalipun saya mahu dia menderita. Sampai mati pun takpa... Tok boleh buat? Dia ni perempuan jahat," kata Zamil kepada bomoh Siam yang ditemuinya sambil bomoh itu pun tersenyum dan mengangguk kepala.

Alangkah terkejutnya Damia apabila dia sekali lagi melihat makhluk yang muncul dalam mimpi berada di atas pintu tandas.

Damia

Pelajar universiti

Tak sampai seminggu selepas bertunang, kehidupan Damia mula terseksa.

Hidupnya macam orang gila apabila bayangan makhluk hodoh hampir setiap malam menghantui kediamannya sekeluarga.

Yang paling mengejutkan, Damia pernah tersedar pada satu malam.

Matanya tak semena-mena terlihat imej manusia berwajah hodoh dengan lidah panjang melekat di dinding bilik tidur.

Tak sempat dia menjerit, mahkluk itu terjun ke atas katil dan mencekik lehernya.

Damia meraung sekuat hati, sedar-sedar dia hanya bermimpi.

"Owh... aku bermimpi perkara buruk. Setiap malam mimpi ngeri ini hadir... Adoiii kenapakah jadi begini," kata Damia pada dirinya sendiri tanpa dia sedar perkara sebenarnya berlaku.

Habis basah katil pada malam itu dengan peluh dan air mata. Lebih teruk, Damia juga terkencing.

Dia pantas bangun dan pergi ke tandas untuk membersihkan diri.

Alangkah terkejutnya Damia apabila dia sekali lagi melihat makhluk yang muncul dalam mimpi berada di atas pintu tandas.

Matanya merah dan darah dari tubuhnya menitis ke atas jubin dapur, malah baunya begitu hanyir.

Damia pengsan dan esoknya tersedar. Dia dikelilingi ibu, ayah dan adik beradiknya.

Seorang ustaz turut dipanggil untuk mengubatinya. Pada firasat mereka sekeluarga, gangguan itu sudah berakhir.

Namun malam keesokan harinya, gangguan semakin teruk.

Cuba bayangkan, tangan berbulu seperti mawas keluar dari dalam mangkuk tandas sewaktu dia sedang buang air.

Damia menjerit dan berlari keluar tanpa sempat menyarungkan semula kain batik.

Ahli keluarga semua terkejut melihat keadaan Damia. Tak semena-mena, badannya bertukar menjadi panas dan dia mula meracau.

Mengikut cerita ibu Damia, pada malam suaranya bertukar garau, dia mampu bertutur dalam bahasa Thailand.

Mujurlah keadaan mula reda setelah seorang ustaz datang mengubatinya dan dimaklumkan, apa yang berlaku itu adalah kerana dendam terhadap Damia.

Terus Damia terfikir, ini semua perbuatan bekas kekasihnya namun dalam hatinya turut berbisik, seikit sebanyak kesalahan itu ada pada dirinya juga kerana tidak berterus terang kepada Zamil.      

Dia berterusan mendapatkan rawatan setiap minggu, Alhamdulillah dia kini hampir sembuh sepenuhnya.

Gangguan juga sudah reda. Namun Damia berdebar sewaktu menyarungkan jubah konvokesyen ke tubuhnya pagi itu.

Damia terkejut muncul satu imej berwajah hodoh di tingkap bilik tidurnya. Foto sekadar hiasan.

“Bagaimana aku mahu berhadapan dengan Zamil sewaktu istiadat konvokesyen sekejap lagi,” ujar Damia dalam hati.

Ibunya yang dari tadi memerhatikan Damia seolah-olah sedang memikirkan sesuatu bertindak menepuk bahunya lantas menyedarkan dia dari lamunan kisah-kisah ngeri itu.

Naluri seorang ibu, dia pasti tahu isi hati anaknya.

“Sudahlah kakak, hari ini hari gembira, kita raikan kejayaan kakak.

“Kita semua ada untuk kakak hari ini dan hari-hari seterusnya,” kata ibu Damia dengan penuh positif.

Dia mengelap air mata yang tumpah di pipi.

Biarlah apa yang berlaku, dia sudah reda dan memaafkan perbuatan Zamil.

"InsyaAllah aku kuat seandainya terserempak dengannya sebentar lagi.

"Tahniah buat diriku atas kejayaan ini, apa yang lepas biarlah ku simpan dalam hati sebagai pengajaran terbesar buat diri," kata Damia perlahan.

Tak lama selepas itu, mereka berangkat meninggalkan rumah inapan dan bertolak ke universitinya untuk upacara konvokesyen.

Hari itu berlangsung dengan meriah, namun mata Damia tak henti-henti mencari kelibat Zamil.

Mungkin dia tidak hadir mungkin kerana malu untuk bertemu mata dengan Damia sekeluarga.

Namun jauh di sudut hati Damia, dia tetap mengucapkan tahniah kepada lelaki itu biarpun hidupnya menderita kepada sihir bekas kekasih.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
Sihir , Teman Lelaki , Hantu

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM