Kes buli perlu ditangani dengan tegas hingga ke akar umbi lebih-lebih lagi apabila melibatkan kecederaan serta kematian. -Gambar hiasan
NEGARA sekali lagi dikejutkan dengan berita seorang pelajar yang meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa buli.Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 malam Jumaat, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN). Insiden itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana langkah sedia ada mampu melindungi keselamatan pelajar.Di tengah-tengah kebimbangan ramai, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil mengemukakan tujuh langkah radikal yang menurutnya wajar dipertimbangkan bagi menangani budaya buli di sekolah.ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar 14 tahun meninggal dunia, dipercayai akibat dibuliARTIKEL BERKAITAN: Insiden pelajar 14 tahun maut di asrama disiasat sebagai kes bunuhPendekatan itu dilihat selari dengan pendirian tegas beliau dalam menangani isu buli membabitkan institusi pendidikan di bawah MARA.Menurut Asyraf Wajdi, usaha membanteras buli tidak seharusnya hanya tertumpu kepada tindakan selepas sesuatu kejadian berlaku, sebaliknya memerlukan perubahan terhadap sistem pencegahan dan pemantauan."Sudah tiba masanya kita ubah sistem bukan sekadar menghukum selepas kejadian."Kes buli tidak boleh lagi ditangani dengan cara biasa-biasa. Kalau mahu hasil yang berbeza, kita mesti berani buat perubahan yang luar biasa," katanya.Pelajar tingkatan dua sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah dilaporkan meninggal dunia akibat dibuli. Berikut merupakan tujuh langkah radikal yang dicadangkan Asyraf Wajdi bagi menangani kes buli di sekolah: 1. Warden profesional sepenuh masaKhususnya di sekolah berasrama, beliau mencadangkan supaya warden profesional dilantik, termasuk dalam kalangan bekas anggota Tentera dan Polis.Menurutnya, guru tidak seharusnya dibebankan dengan tugas sebagai warden yang dilaksanakan sekadar sebagai tanggungjawab sampingan.Langkah itu dilihat penting bagi memastikan aspek keselamatan, disiplin dan kebajikan pelajar mendapat pemantauan khusus sepanjang masa.2. Tiada toleransi terhadap buliSetiap laporan berkaitan buli, katanya, perlu disiasat dengan segera secara telus, adil dan tegas.Bagi kes yang serius serta mempunyai unsur jenayah, beliau mencadangkan supaya perkara berkenaan terus dirujuk kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.3. Akta Antibuli 2026Asyraf Wajdi turut mencadangkan supaya Akta Antibuli 2026 yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac 2026 digunakan sepenuhnya bagi menangani isu berkenaan.Katanya, mangsa dan ibu bapa perlu mengetahui hak mereka serta mempunyai akses yang jelas kepada Tribunal Antibuli dan saluran undang-undang.4. Hukum pihak yang tutup kesBeliau turut mahu mana-mana pihak yang sengaja menyembunyikan kes, melengah-lengahkan tindakan atau menekan mangsa supaya berdiam diri, dikenakan tindakan.Tegasnya, keselamatan dan kebajikan pelajar perlu diberi keutamaan berbanding usaha menjaga reputasi sesebuah sekolah."Keselamatan anak lebih penting daripada reputasi sekolah," katanya.Sekolah sebagai sebuah institusi ilmu sewajarnya menjadi tempat yang selamat buat anak-anak. -Gambar hiasan AI5. Hapus 'blind spot' buliBagi mengurangkan ruang berlakunya buli tanpa dikesan, beliau mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko, tertakluk kepada aspek privasi.Selain itu, rondaan mengejut khususnya di kawasan asrama juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan kawasan yang berpotensi menjadi lokasi buli tidak terlepas daripada pemantauan.6. Wujudkan sistem amaran awalAsyraf Wajdi turut menggesa supaya sistem amaran awal diwujudkan bagi mengesan tanda-tanda yang boleh membawa kepada budaya buli.Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk budaya senioriti melampau, pemerasan, tingkah laku agresif, perubahan emosi mangsa serta tanda-tanda pengasingan sosial.Pendekatan itu membolehkan intervensi dilakukan lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih serius.7. Putuskan budaya senioritiBeliau turut menegaskan bahawa budaya seperti ragging, hukuman tidak rasmi, penghinaan serta amalan 'senior mengajar junior' tidak seharusnya dibiarkan.Dalam masa sama, ibu bapa pelaku juga perlu dilibatkan dalam proses intervensi dan pemulihan.Menurut beliau, matlamat menangani buli bukan semata-mata untuk menghukum pelaku, tetapi memastikan budaya yang melahirkan pembuli dapat diputuskan."Kita bukan sekadar mahu menghukum pembuli. Kita mahu memutuskan budaya yang melahirkan pembuli. "Anak-anak pergi ke sekolah untuk belajar dan membina masa depan, bukan untuk hidup dalam ketakutan," katanya.