PELAJAR tingkatan dua sebuah sekolah sukan di Negeri Sembilan meninggal dunia dipercayai akibat dibuli.Mangsa, Mohamad Idlan Fareesq Shahril, 14, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN). Berita sedih itu turut dikongsikan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan menerusi satu hantaran di media sosial pada awal pagi Sabtu.Menurut Adnan, beliau menerima panggilan daripada Ketua Polis Daerah Kuala Pilah yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan sebelum bergegas ke hospital untuk menziarahi mangsa."Terlalu awal untuk mengetahui motif dan punca kejadian kerana pihak polis masih sedang menjalankan siasatan," jelasnya dalam hantaran di Facebook.Turut hadir di HTAN ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemencheh, Suhaimizan Bizar, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar serta Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (KPPD) Kuala Pilah.Sementara itu, seorang wanita yang dipercayai ibu saudara mangsa memberitahu dia dimaklumkan mengenai kejadian selepas menerima panggilan daripada ibu kepada remaja berkenaan.Wanita berkenaan memaklumkan jenazah mangsa pada awalnya berada di Hospital Kuala Pilah sebelum dibawa ke sebuah hospital di Seremban untuk proses bedah siasat.Dia turut mendakwa suspek yang juga seorang pelajar tingkatan empat sudah ditahan bagi membantu siasatan.Bagaimanapun, butiran mengenai kejadian dan penahanan pelajar terbabit masih belum disahkan pihak polis setakat ini.