suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kenapa bumi Johor tiba-tiba kerap bergegar? Ini punca sebenar dan tahap bahaya kepada penduduk

Menurut Aziman (gambar kecil), pergerakan kerak bumi boleh mengaktifkan semula rekahan geologi purba hingga mencetuskan gegaran.

PENDUDUK di Johor sekali lagi cemas selepas dikejutkan dengan gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 yang berpusat di perairan Batu Pahat pada Selasa, 22 September lalu.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pusat gempa bumi berkenaan berada di koordinat 1.7 darjah Utara dan 102.7 darjah Timur pada kedalaman 10 kilometer, iaitu kira-kira 27 kilometer di barat daya Batu Pahat.

MetMalaysia memaklumkan bahawa gegaran itu bukan sahaja dirasai di Johor, malah turut meluas ke beberapa kawasan di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor serta kawasan sekitarnya.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama penduduk Johor merasai gegaran gempa bumi seperti itu.

Sebelum ini, kejadian hampir serupa pernah direkodkan pada 24 Ogos lalu di Segamat dengan bacaan magnitud 4.1.

Kekerapan insiden gempa bumi ini pastinya menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk di Johor.

Pada masa sama, ia turut mencabar persepsi umum yang selama ini menganggap Malaysia berada di luar zon gempa bumi aktif.

Lokasi gempa bumi pada 22 September 2026.

Menjelaskan fenomena itu, Ahli Geologi dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr Aziman Madun berkata, Semenanjung Malaysia secara umumnya berada dalam kawasan yang relatif stabil dari segi seismik.

Bagaimanapun, menurut beliau kerak bumi masih mengalami tegasan tektonik serantau yang boleh mengaktifkan semula sesar atau rekahan geologi purba.

Mengulas mengenai punca gempa bumi di Johor yang terjadi baru-baru ini, Aziman berkata, secara asasnya Johor terletak di dalam kawasan Plat Sunda yang relatif stabil dan jauh daripada sempadan plat tektonik utama.

"Namun, kestabilan relatif ini tidak bermaksud tiada aktiviti seismik.

"Tegasan tektonik serantau boleh mengaktifkan semula sesar purba yang terdapat di bawah permukaan bumi," katanya menerusi satu perkongsian ilmiah di media sosial.

Beliau menambah, antara struktur geologi yang berkaitan dengan Johor termasuklah Zon Sesar Mersing, Zon Sesar Mawai serta beberapa sistem sesar dan lineamen tempatan.

Aziman turut menjelaskan bahawa sejarah membuktikan aktiviti seismik sebenarnya bukanlah satu fenomena baharu di Johor.

Berdasarkan rekod sejarah, kawasan Segamat–Labis–Tenang pernah dilanda kejadian gempa bumi pada tahun 1922 dengan magnitud dianggarkan mencecah 5.4.

Aziman berkata, beberapa kejadian gempa bumi di Johor yang berlaku sejak 2025 menunjukkan aktiviti sesar purba dan tegasan tektonik serantau perlu terus diberi perhatian serius walaupun negeri itu berada dalam kawasan relatif stabil.

Sehubungan itu, pemantauan seismik, pemetaan geologi dan geofizik serta kajian terhadap struktur sesar amat penting bagi meningkatkan kefahaman terhadap risiko seismik di Johor.

 

"Pada masa yang sama, masyarakat tidak perlu panik.

"Gempa bumi tidak boleh diramal secara tepat dari segi masa dan lokasi. Namun, kita boleh meningkatkan ilmu, kesiapsiagaan dan budaya keselamatan bagi mengurangkan risiko kepada manusia dan harta benda," jelasnya lagi.

Artikel Lain