suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Sediakan payung sebelum hujan! Ini 8 jenis ‘sinking fund’ ketua keluarga perlu sediakan, paling penting tabung perayaan

Ketua keluarga perlu bijak menguruskan kewangan terutamanya bab tabung kecemasan. -Gambar hiasan AI

MENGURUS kewangan keluarga bukan sekadar memastikan semua bil dan komitmen bulanan dapat dibayar tepat pada waktunya.

Ada juga perbelanjaan tertentu yang tidak berlaku setiap bulan, tetapi apabila tiba masanya ia memerlukan jumlah wang agak besar.

Justeru, kewujudan 'sinking fund' atau tabung khas boleh membantu ketua keluarga mengasingkan sejumlah wang setiap bulan bagi menampung perbelanjaan selain daripada komitmen sedia ada.

Berikut lapan 'sinking fund' disenaraikan oleh pakar dan perunding kewangan, Arif Md Nor di laman Threads yang boleh dipertimbangkan:

1. Cukai jalan dan insurans kenderaan

Cukai jalan serta insurans kenderaan biasanya perlu diperbaharui setahun sekali.

Jumlah yang perlu dibayar pula boleh menjadi agak besar, terutama bagi mereka yang mempunyai lebih daripada sebuah kenderaan.

Daripada menunggu sehingga tarikh pembaharuan semakin hampir, lebih baik asingkan sejumlah wang setiap bulan supaya bayaran tahunan tidak mengganggu perbelanjaan lain.

2. Servis kereta dan tayar

Selain insurans dan cukai jalan, kos penyelenggaraan kenderaan juga perlu diberi perhatian.

Servis berkala, pertukaran minyak hitam, bateri, tayar atau pembaikan tertentu boleh menyebabkan perbelanjaan meningkat secara tiba-tiba.

3. Yuran sekolah anak

Kelengkapan sekolah anak seperti uniform, kasut, beg, buku, yuran serta aktiviti sekolah boleh memerlukan jumlah yang agak besar, khususnya ketika sesi persekolahan baharu bermula.

Menyimpan sedikit demi sedikit sepanjang tahun dapat membantu mengurangkan tekanan apabila tiba musim kemasukan ke sekolah.

4. Premium insurans atau takaful tahunan

Bagi mereka yang membayar premium insurans atau takaful secara tahunan, jumlah bayaran mungkin kelihatan besar apabila perlu dilunaskan sekali gus.

Salah satu cara menguruskannya adalah dengan membahagikan jumlah premium tahunan kepada 12 bulan.

Sebagai contoh, jika premium berjumlah RM1,200 setahun, kira-kira RM100 boleh diketepikan setiap bulan untuk tujuan tersebut.

5. Baiki atau ganti peralatan rumah

Peti sejuk rosak, mesin basuh tiba-tiba tidak berfungsi atau penghawa dingin mengalami masalah antara situasi yang boleh berlaku tanpa diduga.

Menyediakan tabung khas untuk rumah walaupun hanya RM50 hingga RM100 sebulan, boleh membantu menyediakan sedikit ruang kewangan apabila berlaku kerosakan.

6. Hari Raya dan balik kampung

Selain duit raya, kos perjalanan pulang ke kampung, tiket pengangkutan dan pakaian baharu boleh meningkatkan perbelanjaan dalam tempoh singkat.

Melalui tabung khas, perbelanjaan tersebut tidak perlu diambil sepenuhnya daripada gaji bulan berkenaan.

7. Perubatan dan rawatan gigi

Walaupun seseorang mempunyai perlindungan insurans atau takaful, tidak semua jenis rawatan ditanggung sepenuhnya.

Kos mendapatkan ubat dan rawatan di klinik tertentu tetap perlu dibayar menggunakan wang sendiri dan tabung perubatan boleh menjadi penyelamat sekiranya berdepan dengan perbelanjaan kesihatan tidak dijangka.

8. Cuti keluarga

Percutian keluarga tidak semestinya perlu melibatkan perjalanan jauh atau kos yang tinggi.

Percutian singkat ke pantai, taman rekreasi atau destinasi berhampiran juga boleh menjadi peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Menyediakan tabung khas untuk percutian membolehkan perbelanjaan tersebut dirancang lebih awal tanpa mengambil wang daripada peruntukan keperluan harian.

Secara asasnya, sinking fund bukanlah wang yang dibelanjakan setiap bulan, sebaliknya simpanan yang dibuat secara konsisten untuk menampung perbelanjaan selain komitmen dimiliki.

Jumlahnya juga tidak semestinya besar, yang penting konsisten mengasingkan wang mengikut kemampuan supaya apabila tiba masanya, individu tidak kusut mencari sumber kewangan tambahan.

Artikel Lain