suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Benteng tayar bukan sekadar perhiasan, murah tetapi efektif! Penyelamat nyawa pemandu ketika perlumbaan F1

Tangkap layar video perkongsian kerja-kerja persiapan yang sedang dijalankan di SIC menjelang penganjuran Grand Prix Bahrain yang akan berlangsung di Sepang pada Oktober depan.

SELEPAS lapan tahun, perlumbaan Formula Satu (F1) akhirnya kembali ke Malaysia tahun ini dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) diumumkan sebagai tuan rumah bagi Grand Prix Bahrain.

Dengan tempoh kurang dari sebulan sebelum perlumbaan bermula, kerja-kerja persediaan kini sedang rancak berjalan. 

Cabaran pastinya lebih besar memandangkan pihak litar hanya mempunyai masa tiga bulan membuat persiapan susulan pengumuman yang dibuat pada Julai lalu.

Kerancakan di belakang tabir ini turut dikongsikan oleh seorang petugas SIC, Mansyawa Alkhudri Abd Latif, menerusi hantaran di laman Threads yang memaparkan pelbagai aktiviti persiapan sedang giat dijalankan.

Antara kerja dikongsikan ialah proses pemasangan benteng tayar atau tyre barrier (TB) di sekitar litar.

"Tyre barrier ini lain event lain cara susun dan requirement dia. Cara ikat tayar dia pun kena ada cara," ujar Mansyawa dalam hantarannya yang turut memperlihatkan beberapa pekerja sedang menyiapkan struktur tersebut.

Menurut Mansyawa, spesifikasi untuk perlumbaan F1 menuntut ketinggian benteng tayar ditetapkan pada 900 milimeter (mm). 

Selain itu, ia wajib disusun antara tiga hingga empat lapisan tayar, bergantung kepada tahap risiko di sesuatu kawasan selekoh.

Tambahnya lagi, pemasangan komponen ini perlu dilakukan dengan penuh teliti dan kemas kerana ia berfungsi sebagai benteng keselamatan terakhir sekiranya berlaku kemalangan pada kelajuan tinggi.

Perlu diingatkan, kelajuan purata kereta F1 semasa berda di atas litar adalah sekitar 200 hingga 220 kilometer sejam (km/j).

"Selalunya jarang la sampai hentam tyre barrier ini. Kereta akan tenggelam dulu dekat gravel tapi F1 kereta laju kan. Jadi safety is always priority," jelasnya.

Penyelamat nyawa pelumba

Di sebalik tahap teknologinya yang dianggap mudah dan murah, penggunaan benteng daripada tayar terpakai sememangnya sudah lama menjadi komponen utama dalam sistem keselamatan perlumbaan F1.

Malah sejak ia mula diperkenalkan pada era 1970-an, penghadang ini terbukti berkesan menyelamatkan nyawa ramai pemandu.

Selain menawarkan kos lebih rendah dan fleksibel, ikatan tayar ini direka khas supaya keseluruhan benteng bertindak sebagai satu zon impak bersepadu.

Di bahagian hadapan pula, lapisan penutup yang fleksibel diletakkan bagi mengurangkan risiko kenderaan tersangkut pada celah tayar lalu melantun keluar.

Malah, permukaan luar yang lebih licin membolehkan jentera lumba menggelongsor pada sudut tertentu. 

Jika jentera merempuh dinding tayar secara terus di bahagian hadapan, struktur ini berupaya menghentikan kenderaan dengan menyerap sebahagian besar daya impak.

Meskipun dunia sukan permotoran kini menyaksikan pelbagai kemajuan teknologi penghadang moden seperti sistem SAFER dan Tecpro, dinding tayar yang ringkas ini kekal digunakan secara meluas. 

Artikel Lain