PENYANYI Azmi Saat berkongsi khabar duka apabila anak perempuannya, Khalisa disahkan berada dalam spektrum autisme oleh pihak doktor. Azmi atau Khairul Azmi Muhammad Saat, 39, mendedahkan meskipun dia dan isteri sudah membuat persediaan mental untuk mendengar keputusan itu, namun tetap bersedih dengan berita tersebut. Bagaimanapun Azmi menjelaskan tangisan tersebut bukan bermaksud tidak menerima takdir, sebaliknya memikirkan cabaran masa depan anak istimewa mereka.“Sebenarnya kami berdua dah agak bersedia untuk mendengar jawapan itu. Kami dah membaca, bertanya dan cuba memahami tentang autisme serta sedar Khalisa ada beberapa ciri berkaitannya.Azmi berkongsi perkara itu di halaman Facebooknya. “Tapi rupanya, bersedia dengan fikiran tidak semestinya membuatkan hati terus kebal. Bila doktor mengesahkannya, menitik juga air mata kami berdua.“Bukan kerana kami tidak boleh menerima Khalisa, dia tetap Khalisa yang sama sebelum dan selepas keluar dari bilik doctor. Cuma sebagai ibu bapa, macam-macam perkara tentang masa depannya bermain dalam fikiran.“Kami berdua sendiri tidak dapat melihat. Tentulah jauh di sudut hati kami pernah bayangkan perjalanan membesarkan anak yang mungkin lebih mudah, tetapi Allah menentukan perjalanan yang lain,” luahnya di Facebook. Mengulas mengenai tanda awal, Azmi memberitahu dia dan isteri mula mengesan kelainan pada perkembangan Khalisa terutamanya daripada segi pertuturan dan komunikasi seawal usia setahun setengah.ARTIKEL BERKAITAN: Anak belum boleh bercakap selepas usia 2 tahun, Azmi Saat menanti nikmat dipanggil 'ayah'... Sedia tanggung kos tinggi untuk terapiARTIKEL BERKAITAN: Ramai tak tahu orang buta boleh main media sosial, Azmi Saat tunjuk cara balas komen“Walaupun ketika itu belum ada apa-apa diagnosis, sebagai ibu yang ada diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, isteri rasa ada sesuatu yang perlu kami beri perhatian.“Jadi kami bawa Khalisa jalani terapi cara kerja dan masukkan ke Program Intervensi Awal (EIP). Apa yang termampu kami cuba usahakan kerana sedar perkembangannya agak perlahan berbanding kanak-kanak lain seusianya,” jelasnya.Jelas Azmi, pengesahan tersebut memberi kelegaan dari sudut hala tuju rawatan kerana mereka kini mempunyai panduan yang lebih jelas untuk membantu proses tumbesaran anaknya.“Satu perkara yang saya syukuri tentang diagnosis ini ialah sekarang kami mempunyai arah yang lebih jelas. Kami tahu apa bantuan yang diperlukan Khalisa dan apa yang kami perlu pelajari untuk membantunya.Khalisa dilahirkan pada November 2023. “Selepas ini terapi akan diteruskan, kami cari sebanyak mungkin bantuan termasuklah urusan pendaftaran OKU dan sokongan berkaitan.“Saya kongsikan cerita ini bukan untuk minta simpati, tetapi mungkin ada ibu bapa di luar sana melalui perkara sama. Tugas kita bukan memaksa mereka jadi seperti orang lain, tetapi memahami sejauh mana kemampuan dan meraikan setiap kemajuan anak,” ujarnya. Untuk rekod, Azmi mendirikan rumah tangga dengan Nazira pada 2011 dan mereka pernah dikurniakan anak sulung lelaki pada 27 September 2021, namun Allahyarham Khairul Afnan meninggal dunia pada 30 September 2021 kerana kegagalan fungsi otak.Pada November 2023, Azmi dan isteri dikuniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Khalisa Insyirah.Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube