suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kecoh suami kena ganti RM1,080 sebab ‘tester’ minyak wangi pecah... Peguam ulas maksud notis ‘once broken, considered sold’

Setiap jenama menyediakan produk untuk dicuba bagi membolehkan pelanggan membuat penilaian sebelum membeli. -Gambar hiasan AI

SUDAH menjadi lumrah untuk pelanggan memegang dan menyentuh barang-barang yang dipamerkan di dalam premis perniagaan dan mencuba produk tester sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Namun, situasi boleh bertukar cemas sekiranya barangan tersebut terjatuh dan pecah, lebih-lebih lagi jika melibatkan produk mewah bernilai ribuan ringgit.

Itulah yang dialami seorang wanita apabila kunjungannya bersama suami ke sebuah butik barangan kecantikan mewah di Putrajaya berakhir dengan pengalaman tidak menyenangkan.

Menerusi perkongsian di Threads, wanita berkenaan berkata, mereka pada mulanya hanya masuk ke butik tersebut untuk melihat koleksi minyak wangi yang dijual.

Menurutnya, ketika mereka mahu meninggalkan premis, suaminya meletakkan semula sebotol minyak wangi selepas mencubanya.

Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan sebotol minyak wangi lain yang berada di belakangnya terjatuh lalu pecah.

"Tengok punya tengok dah nak keluar, aku pun kat pintu luar, suami letak perfume dan pandang aku. Perfume di belakang yang dia letak tadi berderai, terus dia pandang muka aku," ujarnya berkongsi pengalaman.

Pelanggan cenderung membayar harga penuh barang yang pecah. -Gambar hiasan AI

Pelanggan cenderung membayar harga penuh barang yang pecah. -Gambar hiasan AI

Apa yang mengejutkan, pasangan itu mendakwa mereka diminta membayar RM1,080 sebagai ganti rugi kerana menyebabkan minyak wangi jenis tester berkenaan pecah.

Polisi once broken, considered sold

Perkongsian tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan pelayar media sosial mengenai polisi once broken, considered sold atau barangan yang dipecahkan dianggap sudah dijual.

Menjelaskan perkara itu, pasukan peguam Aimee & Zaim Arif berkata, frasa berkenaan sebenarnya tidak termaktub sebagai suatu akta bertulis.

Jelas beliau, pelanggan tidak semestinya diwajibkan membeli barangan yang pecah, namun mungkin perlu membayar ganti rugi sekiranya kerosakan berpunca daripada kecuaiannya.

"Pihak kedai meletakkan barang di rak sebagai invitation to treat atau pelawaan untuk membuat tawaran.

"Apabila pelanggan memegang barang tersebut dan ia terjatuh lalu pecah, kontrak jual beli belum semestinya terbentuk kerana pelanggan tidak menyatakan persetujuan untuk membelinya," jelas mereka menerusi perkongsian di Threads.

Justeru, pihak premis tidak boleh sewenang-wenangnya menganggap pelanggan sudah membeli barangan tersebut lalu mengenakan harga jualan penuh.

Mencuba barangan tester dapat membantu seseorang membuat pilihan yang tepat. -Gambar hiasan AI

Mencuba barangan tester dapat membantu seseorang membuat pilihan yang tepat. -Gambar hiasan AI

Sebaliknya, tuntutan boleh dibuat berasaskan prinsip kecuaian di bawah Undang-Undang Tort.

Bagi membolehkan tuntutan dilakukan, pihak kedai perlu membuktikan bahawa pelanggan cuai ketika mengendalikan barangan, misalnya memegang produk mudah pecah sambil bermain telefon sehingga ia terlepas daripada tangan.

Sekiranya kecuaian berjaya dibuktikan, golongan profesional ini berpandangan jumlah ganti rugi sewajarnya dinilai berdasarkan kerugian sebenar yang ditanggung premis dan bukannya digunakan untuk memperoleh keuntungan daripada kejadian berkenaan.

Dalam masa sama, keadaan serta susunan barangan di premis turut perlu diambil kira.

Jika barang disusun terlalu rapat atau tidak stabil, rak terlalu sempit mahupun lantai licin, keadaan itu boleh menimbulkan isu kecuaian caruman oleh pihak premis.

Sekiranya didapati premis turut menyumbang kepada kejadian berkenaan, tanggungan pelanggan boleh dikurangkan mengikut kadar kesalahan setiap pihak.

Bagaimanapun, situasinya berbeza jika seseorang memecahkan barangan dengan sengaja ketika mengamuk, bergaduh atau melakukan vandalisme.

Tindakan sedemikian boleh disiasat sebagai kesalahan khianat di bawah Seksyen 425 Kanun Keseksaan kerana melibatkan perbuatan merosakkan harta dengan niat menyebabkan kerugian.

Produk tester berisiko rosak

Mengulas mengenai barangan tester pula, pasukan peguam itu berpandangan pelanggan tidak sepatutnya terus dikenakan harga jualan penuh sekiranya produk tersebut pecah secara tidak sengaja.

Ini kerana barangan itu disediakan oleh premis untuk dicuba pelanggan dan bukan produk yang ditawarkan untuk dijual kepada mereka.

Mereka turut berpandangan bahawa penyediaan tester di kawasan yang boleh dicapai pelanggan sememangnya melibatkan risiko kerosakan tertentu yang perlu dijangka oleh pihak perniagaan.

Sehubungan itu, pelanggan yang berdepan kejadian sama dinasihatkan supaya tidak terus membuat bayaran mengikut harga pada tanda harga.

Sebaliknya, mereka boleh meminta untuk berbincang dengan pengurus premis serta mendapatkan penjelasan dan bukti mengenai nilai kerugian sebenar sebelum bersetuju dengan sebarang bayaran.

Namun, setiap kejadian bergantung kepada fakta serta bukti masing-masing, termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV), cara produk disusun dan tahap kecuaian pihak yang terlibat.

Artikel Lain