Percaya atau tidak... Gunting rambut di kedai Toknya hanya RM2.50!

Kedai gunting rambut Toknya menjadi tumpuan kerana dia mengenakan bayaran hanya RM2.50 untuk setiap pelanggan. Foto BERNAMA

DI sudut ruang tamu sebuah rumah di Kampung Padang Katong, Perlis kelihatan seorang wanita warga emas yang hampir mencecah satu abad masih gagah memotong rambut pelanggan.

Sekali-sekala, Teh Khai Loi, 80, atau lebih mesra dengan sapaan Toknya dalam kalangan penduduk kampung menjeling ke arah lima orang pelanggan yang masih setia menunggu giliran.

ARTIKEL BERKAITAN: Dari dunia petroleum ke kafe kopi... 'Coffee for Good' kini latih anak muda bergelar barista

Percaya atau tidak, Toknya hanya mengenakan caj RM2.50 untuk perkhidmatan menggunting rambut!

"Dulu (1962) upah RM0.25 sen sekepala (seorang), sekarang RM2.50 ia sudah sangat memadai, buat apa cari untung lebih-lebih, bukan boleh buat apa pun,”katanya kepada Bernama.

Toknya berkata, dia tidak berhasrat untuk menaikkan caj tersebut walaupun kedai gunting rambut lain di sekitar Kangar rata-rata mengenakan bayaran di antara RM20 hingga RM25 seorang.

"Toknya gunting rambut bukan kerana duit, lebih jauh lagi untuk kaya... Apa yang Toknya buat adalah untuk mencari kepuasan bagi diri sendiri... kalau 'dok saja' (kalau tidak berkerja) nanti badan mulalah rasa sakit-sakit,” ujarnya yang memulakan operasi bermula pukul 11 pagi hingga 7 malam.

Toknya memberitahu beliau gembira apabila pelanggan tetap sentiasa setia mendapatkan perkhidmatannya.

Ceritanya lagi, dalam sehari beliau hanya menerima enam hingga sepuluh orang pelanggan sahaja dan kebanyakannya merupakan pelanggan tetapnya.

Toknya berkata, jumlah pelanggannya tidak ramai mungkin disebabkan dia tidak menawarkan pakej menarik berbanding salun-salun rambut lain.

Pun begitu, Toknya memberitahu beliau gembira apabila pelanggan tetap sentiasa setia mendapatkan perkhidmatannya.

Toknya merantau belajar teknik potong rambut

Sambil sibuk memotong rambut pelanggannya, Toknya memberitau ketika zaman mudanya beliau pernah merantau ke Pulau Pinang pada tahun 1957 dan bekerja di sebuah salun.

Lima tahun berkhidmat di salun berkenaan, Toknya memberitahu di situlah dia mengasah bakat dan kemahiran menggunting serta mendandan gaya rambut wanita.

Namun katanya, sebelum itu lagi dia sudah berjinak-jinak mempelajari teknik memotong rambut secara sendiri kerana pada zaman itu tiada kursus khas ditawarkan berkaitan potongan dan dandanan rambut.

Apa yang Toknya buat adalah untuk mencari kepuasan bagi diri sendiri... kalau 'dok saja' (kalau tidak berkerja) nanti badan mulalah rasa sakit-sakit.

TEH KHAI LOI

PENGUSAHA KEDAI GUNTING RAMBUT

"Setelah berkahwin dengan mendiang suami pada 1962, Toknya balik menetap di Perlis dan membuka kedai gunting rambut di rumah sendiri," ujarnya.

Sementara itu, seorang jururawat, Nazirah Anuar, 28, berkata, dia mula menggunting rambut dengan Toknya sejak usianya tujuh tahun.

“Saya mula dibawa gunting rambut di kedai Toknya oleh emak sejak darjah satu lagi, sejak dari itu saya menjadi pelanggan tetap Toknya kerana berpuas hati dengan hasil kerja tanganya.

"Lagipun beliau seorang yang peramah menyebabkan orang ramai rasa selesa dengannya," katanya.

Toknya juga kata Nazirah, sering memberi nasihat kepadanya agar bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu sehingga berjaya selain tidak mudah berputus asa.

"Saya sudah anggap Toknya tidak ubah seperti nenek sendiri walaupun kami berlainan bangsa dan agama,” ujarnya.

Gunting Rambut, Toknya, Perlis

Artikel Berkaitan

Artikel Lain