suria

Kenali wanita tunggal 'Skuad King Kobra', tugas dorong Fazida tangani perasaan takut

Noor Fazida Tina Mohamad Noor mengakui pernah berasa takut apabila mendapat tugasan menangkap ular jenis tedung.

BERTUGAS sebagai anggota bomba bukan kerja mudah, malah wanita ini mengakui pernah berada dalam ketakutan apabila pasukannya dipanggil untuk menangkap ular.

"Saya sangat takut apabila ternampak ular dibelakang pintu," kata Pegawai Bomba Kanan II, Noor Fazida Tina Mohamad Noor ketika memulakan bicara mengenai pengalaman pertamanya menangkap spesis ular tedung dalam sebuah rumah di Shah Alam, empat tahun lalu.

Bagaimanapun kata Fazida, pengalaman itu membuatkannya terfikir untuk menangani perasaan takut itu kerana sebagai seorang anggota bomba dia perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

ARTIKEL BERKAITAN: Berlaku detik cemas... tapi siapa sangka lelaki 'takut tinggi' ini akhirnya berjaya ukur pokok tertinggi dunia

"Saya bertanya kepada diri sendiri apa orang akan fikir tentang anggota bomba yang takut, kerana kami sepatutnya membantu orang lain," katanya kepada The Star.

Atas dasar itu juga kata Fazida, dia mula membuat kajian tentang reptilia itu bagi mendalami kelakuan dan sifatnya.

Fazida menunjukkan cara menangkap ular.

Wanita berusia 37 tahun itu juga memberitahu, dia mengambil kursus selama sebulan bagi mempelajari tentang ular.

Hari ini, Fazida adalah satu-satunya anggota bomba wanita disamping empat pelatih lain dalam Skuad King Cobra yang ditubuhkan sejak 2015.

Sejak itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini pernah terlibat dalam pelbagai operasi melibatkan haiwan berbahaya itu termasuk menangkap ular tedung sepanjang tiga meter yang dijumpai dalam sebuah rumah di Batu Arang, Selangor tahun lalu.

Sementara itu, Fazida memberitahu dia banyak mempelajari tentang kemahiran menangkap ular daripada rakan sepasukannya termasuk Allahyarham Abu Zarin Hussin yang terkenal di laman sosial atas kebolehannya mengendalikan ular berbisa.

Abu Zarin bagaimanapun meninggal dunia tahun lalu selepas dipatuk ular tedung.

"Arwah banyak memberi sokongan dan mengajar kami tentang selok belok mengendalikan ular terutamanya dalam situasi bahaya dengan tenang dan berani," katanya.

Dia seorang yang sangat positif dan berkemampuan menangani apa juga situasi dan saya sangat berbangga mempunyai anggota sepertinya dalam pasukan.

ZAIDI AHTAN

Ketua Balai Bomba Rawang

Bercakap lanjut mengenai kariernya sebagai anggota bomba, Fazida berkata, sebelum ini ia bukanlah karier impiannya dan pernah berkhidmat dalam bidang perhotelan selama 12 tahun sebelum menerima tawaran menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat pada 2004.

Kata Fazida, dia menerima tawaran itu sebagai memberi penghormatan kepada arwah bapanya yang juga seorang anggota bomba.

"Bapa saya meninggal dunia ketika menyertai misi mencari dan menyelamat, ketika itu saya masih dibangku sekolah.

"Untuk tempoh yang lama, saya menyalahkan jabatan sebagai penyebab kematian bapa saya namun ibu saya banyak menasihatkan agar menerima hakikat dan ketentuan Allah," katanya yang juga anak sulung daripada enam beradik.

Selepas 15 tahun menyertai pasukan bomba, Fazida semakin selesa dengan kariernya itu malah sifat kepimpinannya juga turut mendapat pujian rakan sekerja.

"Dia seorang yang sangat positif dan berkemampuan menangani apa juga situasi dan saya sangat berbangga mempunyai anggota sepertinya dalam pasukan," kata Ketua Balai Bomba Rawang, Zaidi Ahtan.

Artikel Lain

Bapa Qi Razali meninggal dunia