Berlaku detik cemas... tapi siapa sangka lelaki 'takut tinggi' ini akhirnya berjaya ukur pokok tertinggi dunia - Figura | mStar

Berlaku detik cemas... tapi siapa sangka lelaki 'takut tinggi' ini akhirnya berjaya ukur pokok tertinggi dunia

Jamiluddin Jami berjaya memanjat dan mengukur pokok paling tinggi di dunia yang terletak di Sabah.

DUNIA mungkin tidak mengenali siapa Jamiluddin Jami tetapi perkara itu mungkin bakal berubah selepas ini!

Mana tidaknya, pemuda berusia 34 tahun itu mencipta rekod tersendiri apabila menjadi antara beberapa individu yang memanjat pokok tropika tertinggi di dunia yang ditemui di Sabah.

Berketinggian 100.8 meter atau bersamaan dengan 25 hingga 28 tingkat bangunan, ia merupakan kejayaan manis buat Jamiluddin kerana dia sebenarnya seorang yang takut kepada ketinggian atau acrophobic.

Jamiluddin memanjat pokok itu bukan sekadar suka-suka tetapi dalam misi untuk mengukur pokok Meranti Kuning atau nama saintifiknya Shorea Faguetiana.

Kejayaan mengukur pokok tersebut bakal meletakkan Sabah dalam peta dunia selepas penyelidik menemui pokok itu di kawasan Konservasi Lembah Danum, yang juga dikenali sebagai 'Lost World'.

Pokok Meranti Kuning mempunyai ketinggian 100.8 meter yang ditemui di kawasan Konservasi Lembah Danum, Sabah.

Media di seluruh dunia juga telah melaporkan berita tentang penemuan pokok berkenaan yang diketuai oleh pasukan penyelidik dari Universiti Nottingham dan Oxford dengan kerjasama Penyelidik Hutan Hujan Tropika Asia Tenggara serta Danum Valley.

Bercerita mengenai pengalaman tersebut, Jamiluddin berkata, dia mula mengatasi ketakutan terhadap ketinggian sekitar tahun 2003 selepas menyedari prospek pekerjaan sebagai pemanjat pokok profesional mempunyai potensi besar.

Walaupun berjaya mengatasi ketakutan itu namun pemuda berasal dari Tawau itu tidak menafikan saat diberi tugasan memanjat Meranti Kuning, perasaan fobia itu datang kembali saat melihat pokok berkenaan buat pertama kali.

"Sebaik sahaja saya nampak pokok itu ketika membuat tinjauan saya terus beritahu kepada penyelia tidak berani untuk panjat!

"Perasaan fobia terhadap ketinggian kembali menjengah diri saya kerana ketika mendongak melihat pokok itu saya tak nampak penghujungnya.

Saya takutkan ketinggian hampir sepanjang hidup saya malah tidak pernah terfikir mampu menguasai fobia itu dalam membantu meletakkan Sabah dalam peta dunia.

JAMILUDDIN JAMI

Pendaki pokok profesional

"Malah saya minta penyelia untuk mencari pengganti lain tetapi beliau tetap meminta saya melakukan tugas itu kerana saya dikatakan paling layak," katanya kepada The Star.

Bagaimanapun katanya, misi itu terpaksa ditunda kerana faktor cuaca hujan selain ingin mencari semangat dan kekuatan sebelum memulakan misi getir itu.

Sehinggalah pada Januari lalu ketika pasukannya sekali lagi melawat tapak berkenaan dia terpaksa meneruskan misi tersebut kerana tiada siapa mampu melakukannya.

"Apabila mengenang kembali pengalaman itu ia sangat luar biasa. Tetapi sebagai pemanjat profesional kita tidak melakukan sesuatu tugasan tanpa sebarang persediaan sebaliknya kami dilengkapi dengan peralatan keselamatan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini," ujarnya.

Ketika mendaki juga, Jamiluddin memberitahu akan mencangkuk sauh bagi membantu pendakiannya selain untuk tujuan keselamatan.

"Jujurnya saya memang cemas dan terpaksa mengambil masa untuk menenangkan diri dan memanjat secara perlahan-lahan ke puncak untuk melakukan pengukuran.

Pemandangan dari puncak pokok Meranti Kuning.

"Malah ketika sampai pada paras 85 meter, saya terpaksa berhenti dan seseorang terpaksa panjat untuk menemani dan menenangkan saya.

"Pada awalnya tiada siapa berani untuk panjat tetapi rakan saya, Fredino John menawarkan diri untuk menemani saya pada ketinggian 85 meter dan saya meneruskan pendakian sehingga ke puncak," ujarnya.

Selepas mengambil masa separuh hari memanjat, Jamiluddin berjaya mengukur pokok tersebut yang dianggarkan seberat 81,500 kilogram.

"Saya takutkan ketinggian hampir sepanjang hidup saya dan tidak pernah terfikir mampu menguasai fobia itu dalam membantu meletakkan Sabah dalam peta dunia," katanya dengan penuh bangga.

Jamiluddin adalah antara 10 pendaki bertauliah yang ditugaskan mengukur pokok meranti berkenaan.

Artikel Lain