suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Jangan ambil ringan jika si kecil jatuh sakit musim jerebu... Perhati 4 petanda ini, usah tunggu hingga anak sukar bernafas

Ibu bapa perlu memberi perhatian sekiranya anak mula menunjukkan beberapa petanda seperti batuk, sakit tekak atau demam ketika musim jerebu. -Gambar hiasan AI

BAGI ibu bapa yang mempunyai anak kecil, musim jerebu bukan sekadar membuatkan mereka risau tentang kualiti udara, sebaliknya mengenai kesihatan si manja.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kanak-kanak merupakan antara golongan berisiko apabila kualiti udara merosot memandangkan saluran pernafasan mereka lebih kecil, selain sistem imun yang masih berkembang.

Antara tanda yang mula membuatkan ibu resah adalah apabila anak mula bersin, batuk berterusan atau sakit tekak.

Namun, bagaimana ibu bapa mahu membezakan antara hidung tersumbat biasa dengan gejala yang mungkin berpunca daripada jerebu?

Dan lebih penting, bilakah keadaan itu memerlukan anak dibawa berjumpa doktor?

Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) di Hospital Pakar KPJ Damansara (DSH) yang mengkhusus dalam bidang kanak-kanak, Dr Azlina Ab Rani atau lebih dikenali sebagai Dr Nana berkongsi tanda yang perlu diberi perhatian ketika musim jerebu.

1. Hidung berair dan tersumbat

Kerap bersin, menggosok hidung atau mengadu hidung gatal mungkin menunjukkan saluran pernafasan mula teriritasi.

Pada peringkat awal, hingus biasanya jernih namun, bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah alahan hidung, jerebu boleh menyebabkan gejala menjadi lebih teruk.

Jika hidung tersumbat berpanjangan, anak juga mungkin mula bernafas melalui mulut dan keadaan ini boleh mengganggu tidur.

2. Sakit atau gatal tekak

Kerap berdehem, meminta air atau mengadu tekak gatal juga tidak wajar dipandang ringan.

Udara tercemar, ditambah dengan tabiat bernafas melalui mulut akibat hidung tersumbat, boleh menyebabkan tekak lebih cepat kering dan tidak selesa.

Sesetengah kanak-kanak turut mengalami suara serak atau rasa sakit ketika menelan.

Orang ramai disarankan menghadkan aktiviti luar lebih-lebih lagi jika bacaan IPU tidak sihat. -Gambar hiasan AI

3. Batuk yang kerap

Batuk akibat jerebu lazimnya bermula sebagai batuk kering, terutama selepas anak melakukan aktiviti di luar rumah.

Ibu bapa perlu lebih peka jika batuk semakin kerap berlaku pada waktu malam atau ketika anak sedang aktif bermain.

4. Tidur terganggu

Hidung tersumbat dan masalah pernafasan boleh menyebabkan anak sukar lena, kerap terjaga atau berdengkur lebih kuat daripada biasa.

Kesan kurang tidur pula mungkin hanya kelihatan pada waktu siang apabila anak menjadi mudah letih, meragam atau kurang fokus ketika belajar dan melakukan aktiviti harian.

Sekiranya kesemua gejala tidak berkurangan walaupun anak sudah mengurangkan aktiviti luar, ibu bapa disaran mendapatkan pemeriksaan lanjut lebih-lebih lagi jika hingus menjadi pekat dan disertai demam, sakit muka, sakit telinga, kurang makan atau minum serta kelihatan semakin lemah.

ARTIKEL BERKAITAN:Jerebu makin tebal... 12 kawasan di Malaysia catat IPU tidak sihat, Serian paling teruk

ARTIKEL BERKAITAN:Jerebu makin parah di Malaysia... Ahli farmasi kongsi 11 tip jaga diri, ada pesanan untuk pengguna kanta lekap

Keadaan itu mungkin menunjukkan masalah lain seperti jangkitan virus, resdung, alahan atau gangguan pernafasan dan bukan sekadar iritasi akibat jerebu.Ibu bapa disaran mendapatkan pemeriksaan sekiranya:

- Gejala berlarutan atau mula mengganggu tidur dan aktiviti harian.

- Batuk semakin teruk atau berlaku sepanjang malam.

- Anak mengalami demam, sakit telinga atau sukar menelan.

- Anak mempunyai sejarah asma, alahan hidung atau penyakit paru-paru.

- Ubat biasa yang digunakan tidak lagi membantu seperti sebelumnya.

Jangan tunggu jika anak sukar bernafas. Dalam keadaan tertentu, anak mungkin memerlukan rawatan segera apabila:

- Nafas menjadi laju atau anak kelihatan sukar bernafas.

- Dada atau leher tertarik ke dalam ketika bernafas.

- Terdengar bunyi wheezing.

- Anak tidak mampu bercakap, makan atau minum dengan baik.

- Bibir kelihatan kebiruan atau anak terlalu mengantuk dan kurang responsif.

Pemakaian pelitup muka ketika berada di kawasan terbuka dapat 'menapis' udara tercemar daripada memasuki saluran pernafasan. -Gambar hiasan AI

Jika mana-mana tanda amaran ini berlaku, ibu bapa dinasihatkan segera membawa anak ke bilik kecemasan.

Selain memantau gejala, beberapa langkah mudah boleh diamalkan bagi mengurangkan pendedahan anak kepada udara tercemar, iaitu:

1. Hadkan aktiviti luar terutama ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tinggi. Semak bacaan IPU sebelum membawa anak keluar.

2. Pastikan ruang rumah mempunyai pengudaraan dan penapisan udara yang baik. Tingkap boleh ditutup ketika keadaan udara di luar tidak baik dan gunakan penapis udara atau penghawa dingin jika ada, khususnya ketika anak tidur.

3. Gunakan pelitup muka yang sesuai sekiranya anak perlu berada di luar rumah.

4. Pastikan anak cukup minum air bagi membantu mengekalkan kelembapan saluran hidung dan tekak.

5. Teruskan ubat sedia ada bagi anak yang mempunyai asma atau alahan hidung mengikut preskripsi doktor. Jangan hentikan ubat kawalan tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun gejala kelihatan stabil.

6. Bersihkan diri selepas aktiviti luar dengan membasuh muka, tangan dan bahagian kulit yang terdedah bagi mengurangkan sisa habuk halus.

7. Pantau perubahan gejala dari semasa ke semasa supaya sebarang kemerosotan dapat dikesan lebih awal.

Apa yang penting, ibu bapa tidak seharusnya menganggap semua gejala yang dialami anak ketika musim jerebu sebagai kesan biasa akibat udara tercemar.

Perhatikan perubahan pada keadaan si kecil dan dapatkan pemeriksaan sekiranya gejala berlarutan, semakin teruk atau mula menjejaskan rutin harian mereka.

Artikel Lain