Hubungan seksual yang tidak selamat dan berisiko menyebabkan pasangan dijangkiti penyakit kelamin. -Gambar hiasan AI
MEDIA sosial kecoh susulan pengakuan seorang pempengaruh dan usahawan wanita yang mendakwa dijangkiti penyakit kelamin sehingga terlantar di hospital, dipercayai berpunca daripada kecurangan suaminya.Perkongsian berkenaan mengundang perhatian netizen, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai hak mangsa serta tindakan undang-undang yang boleh diambil sekiranya seseorang dijangkiti penyakit berjangkit akibat perbuatan individu lain. Mengulas perkara itu, seorang peguam menjelaskan bahawa sememangnya terdapat peruntukan undang-undang yang melindungi hak mangsa, termasuk tindakan di bawah Kanun Keseksaan serta tuntutan ganti rugi melalui Mahkamah Sivil."Individu yang dengan sengaja menyebarkan penyakit berjangkit seperti HIV, penyakit kelamin, atau penyakit berbahaya yang lain, boleh dituduh di bawah Seksyen 269 atau 270 Kanun Keseksaan. "Seksyen 269 iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa, boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, denda, atau kedua-duanya sekali. "Manakala, Seksyen 270 iaitu perbuatan berniat jahat yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali," kata peguam yang menggunakan akaun @ashfendyli7707_official di Threads. Melakukan hubungan seksual tanpa perlindungan atau bertukar pasangan secara kerap boleh meningkatkan kemungkinan seseorang terdedah kepada jangkitan. -Gambar hiasan AIMenurut peguam berkenaan, perbezaan utama antara kedua-dua peruntukan tersebut adalah berkaitan unsur niat dan keadaan perbuatan yang dilakukan."Secara ringkas, Seksyen 269 berkaitan perbuatan cuai, manakala Seksyen 270 melibatkan perbuatan yang dilakukan dengan niat jahat," jelasnya.Dalam pada itu, beliau berkata tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menyebabkan jangkitan bukan terhad kepada prosiding jenayah semata-mata.Sebaliknya, mangsa juga boleh mendapatkan nasihat guaman berhubung kemungkinan memfailkan tuntutan sivil bagi mendapatkan ganti rugi, bergantung kepada keadaan dan bukti yang ada.ARTIKEL BERKAITAN: “Sekurang-kurangnya tiga kali sehari!” - Pemuda luah derita alami hiperseksualiti, saranan doktor hadkan ’screen time’ tak berjaya"Jenis dan bentuk kerugian yang boleh dituntut, mangsa disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam yang dilantik bagi mengenal pasti hak yang tersedia berdasarkan keadaan kes masing-masing," katanya.Peguam itu menambah, sekiranya seseorang individu itu percaya dia menjadi mangsa perbuatan yang mempunyai unsur jenayah, laporan polis boleh dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menilai dakwaan dan menjalankan siasatan."Kalau ada laporan polis dibuat oleh mangsa, maka baru polis akan buat siasatan dan ambil keterangan orang yang disyaki. "Kalau cukup bukti baru dituduh di mahkamah. Kalau tiada laporan, polis tak boleh nak mulakan siasatan. Semuanya bergantung kepada mangsa," akhirinya.