SEJAK sekian lama, krisis jerebu rentas sempadan merupakan antara isu yang sudah menjadi seakan-akan acara tahunan buat rakyat Malaysia.Bagaimanapun, disebabkan kekerapannya, adalah tidak pelik apabila ramai rakyat Malaysia seperti memandang ringan terhadap kejadian berkenaan. Sikap ini merupakan sesuatu agak berisiko jika dibiarkan kerana asap jerebu yang mengisi ruang udara sebenarnya bukanlah asap 'kosong' tetapi sebaliknya berpotensi membawa kesan negatif terhadap kesihatan.Malah, pakar kesihatan awam turut menyifatkan bahawa jerebu daripada kebakaran hutan tanah gambut turut membawa 'pakej lengkap' zarah dan gas beracun.Secara dasarnya, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia mengambil kira beberapa bahan pencemar utama antaranya PM2.5, PM10, ozon, karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen dioksida. Dalam episod jerebu terbaru yang melanda Malaysia kali ini, PM2.5 difahamkan menjadi komponen utama asap yang berlegar di udara di dalam negara.PM2.5 merujuk kepada zarah bawaan udara yang berdiameter lebih kecil daripada 2.5 mikrometer. Sebagai gambaran, sehelai rambut manusia mempunyai lebar kira-kira 70 mikrometer. Disebabkan sifarnya yang terlalu halus, ia tidak ditapis oleh hidung atau tekak anda dan boleh meresap jauh ke dalam paru-paru serta dalam beberapa kes boleh turut mencetuskan keradangan dan kesan kardiovaskular:Serangan ke sistem pernafasanApabila kita menyedut udara berjerebu, zarah PM2.5 akan menembusi sistem penapisan semula jadi hidung dan terus meluru masuk ke dalam alveoli (pundi udara mikro di dalam paru-paru). Kesan jangka pendek yang biasa berlaku termasuklah:1. Iritasi: Mata menjadi pedih, hidung berair, dan tekak terasa perit.2. Gejala fizikal: Batuk-batuk, kahak berlebihan, dan dada terasa ketat.3. Sesak nafas: Bunyi berdecit (wheezing) semasa bernafas.4. Komplikasi: Keburukan mendadak kepada pesakit asma dan penyakit sekatan paru-paru kronik (COPD).Bahaya senyap pada jantung dan salur darahRamai yang tidak tahu bahawa krisis jerebu juga adalah krisis jantung. Menurut nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), zarah PM2.5 yang sangat halus ini boleh melepasi sempadan paru-paru dan terus meresap masuk ke dalam aliran darah kita.Di dalam darah, zarah ini bertindak balas dengan kolesterol 'jahat' (LDL), lalu mencetuskan keradangan salur darah. Jika terdedah terlalu lama, ia boleh menyebabkan:1. Penyempitan arteri: Mempercepatkan proses penebalan dinding salur darah.2. Serangan mengejut: Risiko tinggi mendapat serangan jantung dan strok.3. Komplikasi kronik: Peningkatan risiko penyakit kencing manis (diabetes).4. Data klinikal: Kajian dalam pangkalan data National Institutes of Health (NIH) menunjukkan kes kecemasan melibatkan kegagalan jantung akut melonjak naik setiap kali musim jerebu melanda.Risiko kepada ibu hamil dan kandunganKKM turut memberi amaran serius kepada ibu mengandung. Pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar ini dikaitkan dengan risiko bayi lahir kurang berat badan serta kelahiran pramatang.Dalam pada itu, selain ibu hamil, pakar turut menyenaraikan golongan paling berisiko tinggi terancam akibat cuaca jerebu yang melanda antaranya kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik.