suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Jerebu makin parah di Malaysia... Ahli farmasi kongsi 11 tip jaga diri, ada pesanan untuk pengguna kanta lekap

Bacaan indeks jerebu yang memburuk boleh menjejaskan kesihatan. -Gambar hiasan AI

KETIKA asap daripada kebakaran hutan di wilayah Kalimantan, Indonesia terus menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan di Malaysia, orang ramai diingatkan supaya tidak menganggap jerebu sekadar masalah jarak penglihatan.

Ahli Farmasi dari Alpro Pharmacy, Kek Jin Er atau Laura mengingatkan kesan jerebu boleh mula dirasai sebelum seseorang mengalami gejala lebih serius.

Antara tanda awal termasuk mata pedih atau berair, bersin, kerengsaan hidung, tekak kering, sakit kepala dan keletihan luar biasa.

Sehubungan itu, Laura berkongsi 11 tip kesihatan yang boleh diberi perhatian orang ramai ketika berdepan keadaan jerebu.

1. Semak IPU sebelum melakukan aktiviti luar rumah

Bacaan IPU wajar disemak sebelum merancang aktiviti luar, khususnya bersenam atau membenarkan kanak-kanak bermain di luar yang berpanjangan.

Apabila bacaan IPU melebihi 100, pendedahan berpanjangan di luar rumah perlu dikurangkan, manakala aktiviti luar yang tidak perlu wajar dielakkan apabila bacaan melebihi 200.

2. Tidak semua pelitup muka memberikan perlindungan sama

Pelitup muka pembedahan tidak menawarkan tahap penapisan dan kekedapan sama seperti alat pernafasan zarah yang dipakai dengan betul.

Bagi individu yang perlu berada di luar ketika jerebu serius, alat pernafasan seperti N95 mungkin memberikan perlindungan lebih baik terhadap zarah halus, namun ia perlu dipakai dengan betul.

3. Mata boleh menjadi antara organ pertama yang menunjukkan reaksi

Zarah jerebu boleh menyebabkan mata kering, merah, pedih, gatal dan berair.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menggosok mata yang mengalami kerengsaan kerana tindakan itu boleh memburukkan keradangan.

Pemakai kata lekap yang mengalami kerengsaan ketara perlu dipertimbangkan untuk mengurangkan tempoh pemakaian termasuk cermin mata buat sementara waktu, jika praktikal.

4. Jangan abaikan hidung ketika musim jerebu

Hidung merupakan antara penapis pertama badan terhadap zarah yang memasuki sistem pernafasan.

Pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar boleh menyebabkan hidung kering, kerengsaan, bersin, tersumbat atau berair.

Laura menasihatkan individu yang biasanya menggunakan ubat alahan atau ubat hidung yang dipreskripsikan supaya terus mengambilnya mengikut arahan doktor atau ahli farmasi.

5. Tekak kering dan batuk tidak semestinya tanda jangkitan

Bahan pencemar di udara boleh merengsakan tekak dan saluran pernafasan sehingga menyebabkan batuk, rasa gatal atau ketidakselesaan walaupun tiada jangkitan.

Pengambilan air yang mencukupi boleh membantu melegakan kekeringan tekak, selain mengelakkan rokok dan asapnya ketika jerebu kerana ia menambahkan beban kepada sistem pernafasan.

Ahli Farmasi, Laura berkongsi tip untuk menjaga kesihatan diri berikutan jerebu yang melanda.

6. Pesakit asma tidak sepatutnya menunggu sehingga sesak nafas

Jerebu boleh mencetuskan batuk, bunyi berdehit, dada terasa ketat dan kesukaran bernafas dalam kalangan pesakit asma.

Pesakit disarankan memastikan ubat dan alat sedut yang dipreskripsikan sentiasa tersedia serta mendapatkan pemeriksaan sekiranya perlu menggunakan alat sedut pelega lebih kerap daripada biasa.

7. Golongan dengan masalah jantung dan paru-paru perlu lebih berhati-hati

Individu yang mempunyai asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), penyakit jantung, diabetes atau penyakit pernafasan kronik mungkin memerlukan perlindungan tambahan ketika jerebu.

Individu yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru perlu mengurangkan pendedahan tidak perlu serta terus mengambil ubat biasa seperti dipreskripsikan.

8. Tingkatkan kualiti udara di dalam rumah

Berada di dalam rumah dapat mengurangkan pendedahan kepada jerebu, namun kualiti udara dalaman juga perlu diberi perhatian.

Antara langkah yang boleh diambil termasuk menutup tingkap dan pintu jika praktikal, menggunakan penyaman udara dalam mod peredaran semula (recirculation mode) serta mempertimbangkan penggunaan pembersih udara dengan penapis zarah sesuai.

Selain itu juga, ahli farmasi itu turut menyarankan supaya mengelakkan pencemaran dalaman tambahan daripada asap rokok atau sumber lain.

9. Pastikan tubuh kekal terhidrat

Cuaca panas dan kering ketika musim jerebu boleh menyebabkan ketidakselesaan pada tekak dan hidung menjadi lebih teruk.

Orang ramai disarankan memastikan pengambilan cecair mencukupi sepanjang hari, dengan air kosong sebagai pilihan yang mudah mengikut saranan doktor.

10. Jangan bergantung kepada suplemen sebagai perlindungan utama

Vitamin, suplemen atau produk yang dikatakan mampu menyahtoksik tidak sepatutnya menggantikan langkah asas untuk mengurangkan pendedahan kepada jerebu.

Keutamaan adalah mengurangkan pendedahan, memantau IPU, menggunakan perlindungan yang sesuai apabila diperlukan, meneruskan ubat yang dipreskripsikan serta mengenal pasti simptom lebih awal.

11. Kenali tanda yang memerlukan rawatan segera

Dapatkan rawatan jika mengalami kesukaran bernafas, bunyi berdehit berterusan, sakit dada dan bibir dan hujung jari menjadi kebiruan.

Pening teruk, pengsan, kekeliruan, muntah berterusan atau serangan asma yang semakin buruk juga memerlukan perhatian perubatan.

Artikel Lain