suria

'Skip' sarapan sebab tak rasa lapar petanda sesuatu tak normal dalam badan, ketahui 5 puncanya

Ramai anggap situasi tak lapar pada waktu pagi adalah sesuatu yang normal. -Gambar hiasan AI

RAMAI menganggap rasa tidak lapar pada waktu pagi sebagai perkara biasa, terutamanya jika mereka memang bukan jenis yang suka bersarapan.

Menurut jurulatih kecergasan, Syuhada Amran atau Coach Syud, bangun pagi tanpa sebarang rasa mahu makan boleh menjadi petanda ada sesuatu yang tidak seimbang dalam tubuh.

"Kalau langsung tak rasa lapar waktu pagi, boleh jadi ada sesuatu yang tak kena dengan hormon kita," tulisnya menerusi perkongsian di Instagram.

Dia turut menyenaraikan lima punca yang mungkin menyebabkan seseorang itu tidak lapar pada waktu pagi.

1. Hormon kortisol tidak seimbang

Kortisol ialah hormon stres yang sepatutnya tinggi pada waktu pagi untuk buat kita rasa cergas. Jika tidak stabil, kita bangun dalam keadaan letih, hilang fokus dan tidak berselera. Apabila kortisol rendah, sistem penghadaman juga jadi perlahan.

2. Rintangan insulin

Hormon insulin yang tidak stabil menyebabkan badan sukar kawal gula dalam darah. Akibatnya, rasa kenyang jadi tidak normal. Perut perlukan tenaga tetapi otak tidak terima isyarat lapar. Ini kerap berlaku jika selalu makan lewat malam atau ambil terlalu banyak gula dan karbohidrat ringkas.

Manusia perlu menjaga tidur agar hormon tidak terganggu.

3. Letih dan hormon ghrelin terganggu

Leptin ialah hormon kenyang manakala ghrelin pula hormon lapar. Apabila dua hormon ini tidak seimbang, kita tidak rasa lapar pada waktu sepatutnya dan akhirnya mengidam makanan pada waktu malam. Situasi ini biasa terjadi apabila tidak cukup tidur atau waktu makan tidak teratur.

4. Stres berpanjangan

Tidak semua orang yang tertekan akan makan lebih banyak. Ada juga yang terus hilang selera. Ketika stres kronik, badan masuk mode 'fight or flight' dan menekan selera kerana ia menganggap kita sedang berada dalam bahaya.

5. Tanda metabolisma rendah

Tidak lapar waktu pagi juga boleh membawa maksud yang metabolisma kita tidak aktif. Badan masuk mode 'jimat tenaga' akibat makan terlalu sedikit untuk tempoh panjang atau kekurangan protein. Apabila badan adaptasi (situasi ini), ia berhenti menghantar isyarat lapar.

Apa yang boleh dilakukan?

• Jaga waktu tidur

• Elakkan makan lewat malam

• Makan ikut masa

• Kurangkan gula dan karbo ringkas

• Tambah protein dan sayur dalam diet

Artikel Lain