suria

[V] Wanita geram air terjun dicemari buih syampu, bau sabun... Ramai tak cakna bahaya bahan pencuci terhadap alam sekitar!

Foto yang tular di media sosial hingga mencetuskan kebimbangan ramai.

AIR terjun sering menjadi destinasi pilihan ramai kerana keindahan semula jadi serta suasananya yang menenangkan jiwa.

Namun sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab bukan sahaja mengganggu para pengunjung, malah turut mencemarkan alam sekitar.

Di Threads, tular foto dan rakaman video memaparkan pencemaran buih [Tonton Video] yang berlaku di Air Terjun Kanching, Rawang, Selangor.

"Kepada sesiapa yang pergi air terjun, tolonglah jangan mandi guna sabun dan syampu. Semua orang datang nak merasai alam semula jadi.

Tiba-tiba masuk (air) bau sabun, sangat spoil mood ya. Mula-mula ingat buih biasa, tiba-tiba bau sabun dan syampu," tulis wanita yang berkongsi video itu.

Dakwanya lagi, pelaku yang menggunakan sabun dan syampu berada di bahagian lebih atas, menyebabkan pengunjung di bahagian bawah menjadi mangsa.

Sikap tak bertanggungjawab segelintir pengunjung air terjun boleh merosakkan alam sekitar. -Gambar hiasan AI

Sikap tak bertanggungjawab segelintir pengunjung air terjun boleh merosakkan alam sekitar. -Gambar hiasan AI

Hantaran itu turut menerima pelbagai komen netizen.

"Ni dah macam basuh kain buihnya.

"Dia guna sebotol ke, lain macam buihnya," tulis beberapa netizen.

Seorang lagi pelayar Thread mendakwa ada pengunjung yang turut mencuci perkakas memasak mereka menggunakan air terjun.

"Yang ini sabun. Saya hari tu bawa anak mandi air terjun. Bahagian atas ada keluarga berkhemah. Atuk, nenek, cucu semua ada.

"Saya dan anak-anak mandi di bahagian bawah. Sekali apabila mandi, rasa badan berminyak dan bau sambal dan ikan goreng.

"Rupanya keluarga tu tengah basuh kuali, periuk dan pinggan. Lepas tu ada yang tengah syampu kepala, ada yang sabun badan. Terus saya ajak anak balik," kongsi individu itu pula.

Peringatan

Satu ulasan saintifik dalam Environmental Toxicology and Pharmacology menjelaskan bahan pencuci aktif (daripada sabun dan detergen) tidak mudah terurai dan menimbulkan risiko besar kepada organisma akuatik.

Menurut satu lagi kajian, bahan pencuci aktif boleh menembusi membran sel organisma akuatik dan menyebabkan toksik, seterusnya berkumpul dalam persekitaran.

Bahan kimia ini juga mengganggu permukaan air dan pertukaran oksigen, selain boleh merosakkan lapisan mukus ikan, yang penting untuk melindungi mereka daripada parasit dan patogen.

Artikel Lain