RAMAI lelaki mula risau memikirkan tentang zakar mereka sebelum melangkah ke alam rumah tangga.
Pada fasa ini, mereka mudah percaya pelbagai mitos mengarut termasuklah yang mengatakan saiz zakar memainkan peranan penting dalam menentukan kepuasan pasangan.
Namun, hakikatnya saiz bukanlah penentu utama kepada kenikmatan seksual.
Sebaliknya, keintiman emosi, komunikasi terbuka, dan teknik rangsangan yang betul memainkan peranan jauh lebih penting dalam mencipta pengalaman seks yang memuaskan.
Tekanan burukkan keadaan
Jika berterusan memikirkan hal ini, lelaki berisiko mengalami masalah keyakinan diri dan tekanan psikologi .
Malah, apabila seseorang terlalu risau tentang saiz zakar, mereka mungkin sukar menikmati hubungan intim secara semula jadi, sekali gus menjejaskan prestasi di ranjang.
Paling penting, jangan sesekali gunakan ubat-ubatan serta minyak urut yang tidak memiliki kelulusan demi membesarkan saiz zakar!
Fakta tentang pembesaran zakar
Menurut Hello Doktor, alat sulit lelaki mula membesar ketika mereka mula mencapai usia akil baligh.
Kebiasaannya, proses ini bermula pada usia sembilan hingga 14 tahun.

Saiz zakar boleh menjejaskan keyakinan lelaki, terutamanya yang mahu mendirikan rumah tangga. -Gambar hiasan AI
Dalam kebanyakan kes, kemaluan lelaki tidak akan membesar dengan mendadak apabila sudah mencecah usia 18 hingga 19 tahun.
Kajian pada 2010 mendapati proses pembesaran zakar secara purata adalah kurang dari satu inci setiap tahun bermula usia 11 hingga 15 tahun.
Sehingga usia 18 hingga 19 tahun pula, majoriti lelaki akan masih mengalami proses pembesaran alat sulit, namun dalam kadar yang tidak ketara.
Bila zakar berhenti membesar?
Proses pembesaran zakar mula perlahan apabila individu itu mencapai umur 18 hingga 19 tahun.
Pada peringkat ini, proses ini sudah hampir ke garisan penamat dan akan berhenti pada bila-bila masa sahaja berdekatan usia tersebut.
Walaupun akan banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor risiko, alat kemaluan lelaki mungkin akan berhenti membesar ketika berusia lingkungan 20-an.


