SEORANG wanita meraih perhatian di aplikasi Threads selepas berkongsi satu teknik merangupkan gorengan yang didakwa berkesan tetapi sebenarnya amat berbahaya.
Menurut wanita itu, teknik berkenaan diamalkan oleh kawan ibunya yang berniaga makanan seperti karipap dan pisang goreng.
"Mak aku cerita, kawan dia bagi tip goreng karipap rangup. Rupanya kawan mak aku ni dia masukkan plastik minyak ke dalam kuali.
"Plastik minyak tu larut dalam minyak panas. Biasa plastik minyak kita buang, tapi kawan mak aku ni masukkan dalam minyak panas untuk menggoreng.
"Sejak hari tu, mak aku tak berani makan kuih yang kawan dia jual. Dia bagi kuih yang tak habis tu, tapi mak aku buang," dedah wanita itu.
Di ruangan komen, seorang lagi wanita mendedahkan teknik gorengan berkenaan sebenarnya turut diamalkan oleh peniaga lain.

Peniaga perlu memastikan makanan yang dijual selamat untuk dimakan oleh pelanggan. -Gambar hiasan AI
"Benda ni dah lama. Pernah tengok peniaga pisang goreng terutamanya yang bukan orang tempatan.
"Dia akan leburkan plastik minyak masak paket sekali dalam kuali waktu minyak dah panas.
"Memang itu rahsia nak bagi gorengan rangup. Ada juga yang masukkan straw," kongsi wanita itu pula.
Menurut seorang lagi individu, peniaga di tempatnya pula menggunakan botol plastik untuk merangupkan makanan yang digoreng.
"Yang kat kampung saya lagi dahsyat. Kedai tu sangat terkenal. Dia guna botol plastik untuk menggoreng.
"Kawan saya nampak dia campak botol plastik untuk digoreng sekali. Terkejut kawan saya. Lepas tu kita dah boikot kedai dia," dakwa individu itu.
Untuk rekod, German Federal Institute For Risk Assessment (BFR) pernah mengeluarkan amaran tentang bahaya plastik dalam makanan.
Menurut BFR, plastik yang digunakan dalam industri makanan mengandungi banyak racun berbahaya yang boleh menyerap masuk ke dalam makanan.


