suria

Masih ramai ketagih ramen? Ini peringatan penting untuk anda ‘hadam’, risiko bertambah jika makan 3 kali seminggu

Ramen merupakan antara makanan popular dari Jepun. -Gambar hiasan AI

HIDANGAN popular dari Jepun, ramen mempunyai penggemarnya yang tersendiri di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Di sebalik keenakan hidangan itu, ramai sebenarnya tidak menyedari pengambilan yang terlalu kerap boleh memberi kesan serius kepada kesihatan.

Sebuah kajian di Jepun mendapati individu yang menikmati ramen sebanyak tiga kali atau lebih dalam seminggu berisiko mengalami diabetes, tekanan darah tinggi dan kematian pramatang.

Kematian pramatang merujuk kepada kematian yang berlaku lebih awal daripada jangka hayat biasa.

Penyelidikan yang dijalankan di wilayah Yamagata ini melibatkan lebih daripada 6,700 orang berusia 40 tahun ke atas dan berlangsung selama empat setengah tahun. 

Hasilnya menunjukkan semakin kerap seseorang makan ramen, semakin tinggi risiko kematiannya.

Semua jenis makanan sebaiknya diambil dalam kuantiti yang sederhana dan tidak berlebihan. -Gambar hiasan AI

Ramen mengandungi kalori dan natrium sangat tinggi, dua faktor utama yang boleh mencetuskan tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Pengambilan natrium yang tinggi sudah lama dikaitkan dengan kanser perut, dan kajian ini sekali lagi mengesahkan penemuan tersebut.

Selain itu, tabiat menikmati ramen sambil minum alkohol, kombinasi yang biasa di Jepun, semakin memburukkan kesan negatifnya.

Garam dari kuah ramen dan alkohol mencipta kombinasi “mematikan” bagi jantung dan saluran darah. 

Penyelidikan pemerhatian

Walaupun penemuan ini penting, ia hanya diperolehi melalui penyelidikan pemerhatian, demikian menurut pakar pemakanan kanan di Hospital Mount Elizabeth, Looi Bee Hong.

"Kajian lanjut diperlukan untuk memastikan sama ada ramen itu sendiri penyebabnya atau faktor gaya hidup lain, seperti pola pemakanan keseluruhan, pengambilan alkohol, merokok, atau saiz hidangan, yang memainkan peranan," katanya dipetik dari CNA News.

Beliau menyatakan kajian lanjut akan membantu memperjelas kesan sebenar pengambilan ramen. 

Namun begitu, sebaiknya hadkan pengambilan ramen.

Artikel Lain