suria

Isteri hamil, suami alahan rupanya berlaku seluruh dunia... Cemburu salah satu daripada 4 punca - Teori pakar

Lelaki juga boleh mengalami simptom kehamilan seperti kaum Hawa. -Gambar hiasan AI

ADA kalanya pasangan kepada wanita hamil turut merasai pengalaman alahan, lengkap dengan simptom seperti loya, muntah atau peningkatan berat badan. 

Fenomena unik ini bukan sekadar khayalan, sebaliknya diiktiraf dalam dunia perubatan sebagai sindrom Couvade atau 'sympathetic pregnancy'.

Punca sindrom Couvade

Sindrom Couvade berlaku apabila individu yang sihat, tetapi pasangannya sedang hamil, mula menunjukkan simptom seperti kehamilan. 

Ia bukan dianggap sebagai penyakit mental atau fizikal, namun penyelidikan menunjukkan ia merupakan fenomena yang agak biasa.

Statistik mengenai sejauh mana lazimnya simptom ini berbeza mengikut kajian, antara 11 peratus hingga 97 peratus. 

Menurut pakar sakit puan di Spectrum Health United Hospital, Michigan, Dr. Kristina Mixer, peratusan sebenar mungkin serendah 10 dan setinggi 65 peratus.

Penyelidik menganggap sindrom Couvade sebagai keadaan yang melibatkan gabungan minda dan tubuh. 

Walaupun punca sebenar simptom ini belum jelas, beberapa teori telah dikemukakan:

1. Reaksi empati

Salah satu teori menyatakan simptom ini ialah manifestasi fizikal terhadap empati. Sindrom Couvade mungkin contoh kepada fenomena 'loading phenomenon', yang mana seseorang secara tidak sedar menanggung penderitaan fizikal atau emosi orang lain.

Rasa mual dan loya merupakan lumrah bagi wanita mengandung. -Gambar hiasan AI

Fenomena ini dipercayai lebih cenderung berlaku kepada mereka yang menantikan anak pertama atau yang mengalami tahap kebimbangan tinggi sepanjang kehamilan pasangan. Ia juga sering berlaku dalam hubungan yang sangat rapat antara pasangan.

2. Perasaan cemburu

Ada juga teori yang mengaitkannya dengan rasa iri hati. Teori mencadangkan bahawa keinginan tersembunyi suami untuk 'mencipta kehidupan' atau rasa persaingan bawah sedar terhadap janin boleh menyebabkan simptom kehamilan ini timbul, sebagai bentuk tekanan emosi yang tidak disedari.

3. Fasa peralihan

Teori lain menyatakan sindrom Couvade berfungsi sebagai satu bentuk persediaan psikologi bagi pasangan yang tidak hamil. Semakin aktif seseorang terlibat dalam persediaan menjadi ibu atau bapa seperti menghadiri kelas pranatal, semakin besar kemungkinan mereka mengalami simptom sindrom Couvade.

Teori ini mencadangkan bahawa peralihan kepada peranan sebagai bapa, khususnya bagi kali pertama, boleh menimbulkan konflik emosi yang mendalam. Campuran perasaan seperti bangga, tertekan atau terperangkap boleh mempengaruhi keseimbangan mental dan fizikal mereka.

4. Perubahan hormon

Walaupun penyelidikan dalam bidang ini masih terhad, terdapat petunjuk sindrom Couvade mungkin berkait dengan perubahan hormon tertentu seperti tahap testosteron sepanjang kehamilan pasangan.

Simptom sindrom Couvade

Loya atau muntah

Sakit perut

Angin dalam badan

Perubahan selera makan (mengidam)

Penurunan atau peningkatan berat badan

Masalah pencernaan

Sakit gigi

Masalah kulit

Kejang kaki

Pengsan atau rasa lemah

Cirit-birit

Sembelit

 

Artikel Lain