SUAMI isteri seharusnya reda dengan ketentuan Allah, namun tiada salahnya jika mereka berdoa atau ikhtiar untuk dikurniakan bayi mengikut jantina yang diingini.
Di Threads, tular tangkap layar perkongsian seorang wanita mengenai petua yang boleh diamalkan untuk mendapat bayi mengikut jantina pilinan.
"Saya ada tip. Ini dari hasil kajian, saya baca dari pakar gynae (ginekologi). Doktor pakar tu cakap, kita boleh ikhtiar dengan cara pemakanan suami.
"Suami perlu banyakkan makan makanan laut macam ikan, udang, sotong dan sebagainya kalau nak cuba dapatkan anak lelaki.
"Sebab makanan laut banyak protein dan zat besi. Kalau nak anak perempuan, cuba suami banyakkan makanan darat macam ayam dan daging," kongsinya.
Dakwa wanita itu, dia berkongsi petua berkenaan kerana sudah 'bereksperimen' dengan suaminya sehingga membuahkan hasil yang diinginkan.

Anak merupakan anugerah terindah kurniaan Allah buat pasangan suami isteri. -Gambar hiasan AI
"Ni yang saya baca dan saya cuba. Memang eksperimen menjadi. Anak pertama saya perempuan sebab suami suka makan daging dan ayam masa tu.
"Anak kedua saya nak ikhtiar lelaki. Suami saya banyak makan sotong, udang dan kerang. Alhamdulillah dapat bayi lelaki," tulisnya lagi.
Pengalaman netizen
Di ruangan komen, beberapa netizen turut mengakui keberkesanan petua itu.
"Patutlah anak aku semua lelaki. Di rumah ni memang lauk ikan dengan seafood. Ayam dan daging sebulan sekali.
"Saya pun cuba diet ini. Ya, anak saya lelaki. Selepas ni kita cuba pula tip anak perempuan tu.
"Dalam keluarga besar saya, semua ikut tip ni dan memang betul dapat jantina anak mengikut apa yang suami banyak makan tu.
"Setakat ini tiga orang anak memang kami cuba cara ini," tulis beberapa individu.
Namun, ada juga yang menolak fakta itu dan menganggapnya satu petua mengarut.
"Suami tak makan seafood. Makan ikan pun jarang. Keluar tiga anak lelaki.
"Tak juga rasanya. Suami saya banyak makan daging dan ayam. Keluarnya anak lelaki," tulis netizen lagi.


