suria

Betul ke kekal dalam perut sehingga 7 tahun? Ini penjelasan jika anak kecil tertelan gula-gula getah

Ramai kanak-kanak gemar makan gula-gula getah. -Gambar hiasan AI

KEBANYAKAN individu pasti pernah mencuba gula-gula getah pada zaman kanak-kanak.

Malah, pasti ramai juga yang pernah tertelan gula-gula bertekstur liat dan kenyal itu secara tidak sengaja.

Menurut laman web Kids Health, ada individu percaya gula-gula gerah yang ditelan sama ada sengaja atau tidak akan kekal di dalam perut selama tujuh tahun.

Penjelasan

Teori itu tidak benar sama sekali.

Walaupun perut anda tidak dapat menguraikan gula-gula getah seperti makanan lain, sistem dalam badan masih boleh menolaknya keluar melalui proses pencernaan biasa. 

Dalam erti kata lain, ia akan keluar bersama najis apabila anda membuang air besar.

Pelbagai jenis gula-gula getah yang dijual di pasaran. -Gambar hiasan AI

Risiko

Menelan banyak gula-gula getah dalam tempoh singkat bagaimanapun boleh menyebabkan saluran pencernaan tersumbat, namun ia jarang berlaku. 

Risiko ini meningkat jika gula-gula getah ditelan bersama objek asing seperti syiling.

Kanak-kanak paling berisiko kerana mereka mungkin belum faham bahawa gula-gula getah hanya untuk dikunyah, bukan ditelan.

Namun, selain situasi luar biasa seperti itu, menelan gula-gula getah sekali sekala sebenarnya tidak berbahaya.

Bahan dalam gula-gula getah

Gula-gula getah diperbuat daripada bahan semula jadi atau sintetik (resin getah), bahan pengawet, perisa dan pemanis. 

Badan kita boleh menyerap pemanis seperti gula dan jika dikunyah dalam jumlah banyak, ia boleh menambah pengambilan kalori.

Namun, saluran pencernaan manusia tidak dapat menguraikan resin getah tersebut. 

Bagaimanapun ia akan ditolak melalui sistem pencernaan oleh gerakan normal usus (peristaltik) dan akan berakhir apabila anda ke tandas.

 

Artikel Lain