KEPERLUAN tidur pada waktu siang dan manfaatnya berbeza bagi setiap individu.
Mengetahui fakta tentangnya boleh membantu seseorang menentukan sama ada mereka perlu tidur siang atau tidak.
Manfaat
Menurut laman web 'Sleep Foundation', tidur singkat mampu memulihkan tenaga dan mengurangkan rasa penat seseorang.
Amalan ini juga sangat berguna untuk pekerja syif yang sukar mendapatkan tidur mencukupi dan perlu kekal berjaga pada waktu yang tidak menentu.
Tidur singkat pada waktu siang juga boleh meningkatkan prestasi kerja.
Ia didapati membantu meningkatkan fungsi kognitif seperti ingatan, pemikiran logik dan keupayaan menyelesaikan tugasan kompleks.
Beberapa kajian menunjukkan prestasi fizikal juga boleh meningkat selepas tidur siang.
Atlet, contohnya, mungkin mengalami peningkatan daya tahan, masa tindak balas dan prestasi mental apabila mereka tidur pada waktu siang.
Tidur siang juga boleh memberi manfaat kepada kesihatan jantung.

Sebahagian individu gemar tidur pada waktu siang. -Gambar hiasan
Satu kajian pemerhatian mendapati tidur siang sekali atau dua kali seminggu dikaitkan dengan risiko lebih rendah terhadap masalah kardiovaskular seperti serangan jantung, strok atau penyakit jantung.
Namun, lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami bagaimana kekerapan dan tempoh tidur siang memberi kesan terhadap kesihatan organ penting manusia ini.
Kesan buruk
Walaupun tidur siang mempunyai pelbagai manfaat, ia juga boleh mendatangkan kesan negatif kepada sesetengah individu.
Sebagai contoh, tidur siang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan jika dilakukan terlalu lama.
Satu kajian di China mendapati tidur siang melebihi 90 minit dikaitkan dengan tekanan darah tinggi dalam kalangan wanita pertengahan umur dan warga emas.
Kajian lain di Perancis mendapati tabiat tidur siang biasanya dikaitkan dengan individu yang mengalami kebimbangan atau kemurungan, obesiti, tekanan darah tinggi, serta diabetes jenis 1 dan jenis 2.
Bagaimanapun, setakat ini, hubungan sebenar antara tidur siang dan kesihatan masih belum jelas.
Banyak perkara masih belum diketahui tentang bagaimana tidur siang mempengaruhi tidur malam, serta bagaimana kekerapan dan tempoh tidur siang memberi kesan terhadap kesejahteraan individu secara keseluruhan.


