suria

Telan ubat sebelum atau selepas makan? Ketahui sebab kenapa ada ‘peraturan’ itu

Sesetangah ubat perlu diambil sebelum atau selepas makan bagi mengelakkan timbul masalah lain yang tidak diingini.

SEGELINTIR orang tidak kisah pun cara pengambilan ubat-ubatan sama ada waktu sebelum atau selepas makan, pagi, petang atau malam

Ada juga yang tahu tentang 'peraturan' ini, tetapi mengambil sikap sambil lewa gara-gara mahu mengurangkan kesakitan yang dialami. Namun tahukah anda sikap tersebut boleh mengundang risiko yang tidak baik kepada badan sendiri?

Ini kerana, makanan mempengaruhi kesan ubat terhadap diri anda dan sesetengahnya mempunyai kesan yang tidak dijangka melalui beberapa mekanisme.

ARTIKEL BERKAITAN: Risau terkena jangkitan penyakit? Cegah pelbagai virus dengan 5 makanan ini

Sebagai contoh mekanisme perembesan asid perut, penyerapan sesetengah ubat dipercepatkan oleh rembesan hempedu, kadar pengosongan perut dan sebagainya.

Oleh itu amat penting untuk memahami masa pengambilan ubat yang betul bagi menjamin pesakit mendapat kesan optimum rawatan dan mengelak pesakit mengalami sesuatu yang tidak diingini.

Sesetengah ubat memerlukan masa pengambilan yang spesifik, sama ada sebelum makan atau selepas makan bagi memastikan keberkesanannya.

Ubat memerlukan masa pengambilan spesifik.

Ubat yang perlu diambil sebelum makan

Ubat yang diarahkan diambil sebelum makan bermaksud ubat perlu diambil semasa perut kosong.

Ini kerana makanan boleh mempengaruhi penyerapan sesetengah ubat. Ia perlu diambil satu jam sebelum makan atau dua jam selepas makan. Contoh: Ampicillin dan Azithromycin (antibiotik), Perindopril dan Captopril (ubat antihipertensi).

Ubat yang ada kaitan dengan penghadaman perlu diambil sebelum makan agar kesan terapeutik ubat dapat dicapai sebaik sahaja makanan memasuki perut. Ia perlu diambil 30 minit sebelum makan. Contoh: Metoclopramide (ubat tahan muntah).

Manakala bagi sesetengah ubat antidiabetik (ubat untuk rawatan diabetes) pula perlu diambil 30 minit sebelum makan. Ini bagi memastikan insulin dirembeskan semasa pesakit makan. Ini penting bagi memastikan kesan terapeutik ubat dapat dicapai sebaik sahaja makanan memasuki perut.

Selain itu ia juga untuk menjamin keberkesanan rawatan serta mengelakkan risiko penurunan paras gula dalam darah (hipoglisemia). Contoh: insulin, glibenclamide dan gliclazide


Multivitamin diambil selepas makan.

Ubat yang perlu diambil selepas makan

Ubat yang diarahkan diambil selepas makan bermaksud ubat tersebut tidak boleh diambil semasa perut kosong. Ubat ini boleh menyebabkan gangguan atau iritasi pada perut jika diambil semasa perut kosong. Contoh: Mefenamic acid (Ponstan), scetylsalicylic Acid (Aspirin).

Terdapat juga ubat yang diserap dengan lebih baik dengan kehadiran makanan.

Oleh itu, ubat ini juga disarankan diambil selepas makan. Contoh: sitonavir dan saquinavir (ubat rawatan HIV), multivitamin.

Manakala bagi ubat cuci atau ubat yang disapu pada mulut bagi merawat jangkitan mulut perlu diberi selepas makan bagi memastikan ubat itu kekal bagi satu tempoh tertentu dan tidak dihilangkan oleh makanan. Contoh: Cecair nystatin, miconazole gel.

Setiap ubat mempunyai peraturan makan yang berbeza-beza.

Ubat yang boleh diambil sebelum atau selepas makan

Kebanyakan ubat boleh diambil sebelum atau selepas makan. Oleh itu, pesakit tidak perlu risau tentang pengambilannya sebelum atau selepas makan.

Ini adalah kerana makanan tidak mempengaruhi penyerapannya dan tiada kesan iritasi pada perut. Contoh: Paracetamol (ubat demam), Chlorpheniramine (ubat selsema / gatal).

Pesakit juga dinasihatkan untuk mengambil ubat bersama-sama air kosong supaya ubat senang ditelan dan mengelakkan kesan interaksi ubat dan makanan.

Elakkan mengambil ubat bersama-sama susu atau air manis seperti kopi, teh dan lain-lain minuman kecuali diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi.

Secara umumnya, pengambilan ubat mengikut rutin makan harian pesakit mampu untuk meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap rawatan.

Namun begitu, pesakit perlu dinasihatkan sama ada ubat tersebut perlu dimakan sebelum atau selepas makan.

Arahan berkenaan cara mengambil sesuatu jenis ubat biasanya dicetak pada label ubat dan dalam risalah keterangan produk ubat tersebut.Pesakit dinasihatkan untuk mematuhi arahan pengambilan pada label ubat. -myhealth

Cara makan, ubat, selepas, sebelum, bahaya

Artikel Lain