suria

“Terima kasih doktor, jururawat” - Hospital Bersalin KL henti operasi, warga kota kongsi memori suka duka sepanjang 56 tahun

Hospital Bersalin Kuala Lumpur kini berpindah ke bangunan baharu selama 59 tahun. Foto Facebook SOBRI TAYAB

SELEPAS 56 tahun, Hospital Bersalin Kuala Lumpur akhirnya menamatkan operasinya sejak semalam ekoran jabatan itu berpindah ke bangunan baharu.

Ia juga tidak lagi dikenali sebagai Hospital Bersalin sebaliknya mendapat nama baharu selepas di naik taraf kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur (WCH).

Ditubuhkan pada 1963, sejak itu ramai bakal ibu memilih hospital berkenaan untuk melahirkan cahaya mata, malah ada di antara mereka kini sudah pun berjaya sebagai pakar sakit puan, matron, jururawat dan sebagainya.

Salah seorang kaki tangan jabatan itu, Sobri Tayab turut berkongsi mengenai perkara itu di Facebook miliknya yang sehingga kini mendapat lebih 7,000 perkongsian.

"Hari ini (Isnin) adalah hari terakhir Hospital Bersalin beroperasi maka hari ini tamatlah perkhidmatan kepada seluruh warga Kuala Lumpur dan Malaysia setelah beroperasi selama hampir 56 tahun.

Kaunter pendaftaran masuk wad di Hospital Bersalin Kuala Lumpur.

"Kami seluruh warga Hospital Bersalin memohon ampun dan maaf pada semua warga Kuala Lumpur yang telah menerima perkhidmatan kami selama ini. Ramai warga Kuala Lumpur dilahirkan di sini.

"Ramai warga Kuala Lumpur dan warga Malaysia mempunyai kenangan suka dan duka di Hospital Bersalin... Ada yang nenek, ibu dan dia sendiri dilahirkan di sini," tulisnya.

Rata-rata yang meninggalkan komen di status itu juga berkongsi pengalaman bersalin di hospital berkenaan dan tidak kurang memberitahu mereka adalah bayi kelahiran di Hospital Bersalin Kuala Lumpur.

Ramai turut mengucapkan terima kasih kepada semua warga kerja di hospital berkenaan yang telah memberikan layanan terbaik buat semua ibu-ibu yang melahirkan bayi mereka di sana.

Hospital wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur mula beroperasi secara berperingkat sejak 1 September lalu. 

"2018 saya lahirkan anak di sini... Kenangan manis adalah masa dalam bilik bersalin dapat jururawat yang paling baik menjaga saya, dekat hospital ini juga saya dapat jumpa kakak angkat saya dan anaknya berkongsi tarikh lahir dengan anak saya. Alhamdulillah, terima kasih doktor dan jururawat Hospital Bersalin Kuala Lumpur," tulisnya.

Seorang wanita pula, Nuha Daud pula berkongsi, sekitar 33 tahun lalu Allahyarham ibunya pernah melahirkan abangnya di hospital tersebut dan salah seorang pesakit yang kematian anaknya menyusukan abangnya kerana ibunya keletihan.

"Lepas Mama bersalinkan abang Mama mengantuk sangat sampai tak dengar abang menangis minta susu. Dekat katil sebelah mama ada pasangan yang kematian anak mereka selepas dilahirkan.

"Wanita berkenaan masih belum dibenarkan pulang kerana tidak sihat selain mengalami bengkak susu... Dia kesiankan abang lalu dia pangku abang dan susukannya.

"Alhamdulillah dia sihat dan dapat balik tapi Mama pun terlupa untuk tanya nama pasangan itu dan di mana mereka tinggal," katanya.

Ramai berkongsi pengalaman bersalin di hospital ini.

Manakala Mohamad Taufik pula memberitahu dia bersama lima adik-beradiknya dilahirkan di hospital berkenaan malah dua cahaya matanya turut disambut oleh doktor dan jururawat di hospital itu.

"Walaupun ada hospital lain di Ampang namun servis di Hospital Bersalin Kuala Lumpur memang terbaik... Paling best Wad Kayu, semoga dipermudahkan segala kerja-kerja doktor dan jururawat di tempat baru yang lebih selesa," ujarnya.

WCH mula beroperasi secara berperingkat sejak 1 September lalu di bangunan baharu lapan tingkat yang menelan belanja RM848 juta itu dengan menggabungkan Institut Pediatrik dan Hospital Bersalin sedia ada di bawah satu bumbung.

Artikel Lain