suria

Keliru bahagian tepat aurat lelaki, boleh ke campur aduk mazhab ikut kepentingan?

Mazhab Hanafi menganggap pusat hingga ke lutut sebagai aurat.

SEDAR atau tidak, perbincangan mengenai hukum-hakam Islam kini tidak lagi hanya dibuat di dalam kelas atau kuliah agama sebaliknya media sosial turut menjadi antara platform penting dalam kalangan generasi muda.

Seperti yang dibahaskan di platform X, timbul persoalan mengenai isu pemilihan mazhab dalam beribadah.

Ia berikutan topik mengenai batasan aurat lelaki kembali dibincangkan memandangkan terdapat perbezaan pandangan antara mazhab.

Mazhab Hanafi menganggap pusat hingga ke lutut sebagai aurat, termasuklah bahagian badan (pusat dan lutut) itu sendiri.

Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa pusat hingga ke lutut adalah aurat, tetapi pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat.

Sebahagian ulama daripada Mazhab Maliki pula berpendapat bahawa paha bukan aurat.

Namun, isu ini menjadi lebih hangat apabila seorang doktor perubatan yang terkenal di TikTok dikenali sebagai Dr Aliff Zaki turut mengajukan soalan berkaitan.

"Maaf soalan agak jahil nak tanya. Boleh ke kita ikut mazhab lain-lain? Contohnya puasa mengikut mazhab Hanafi.

"Solat mengikut mazhab Maliki, aurat mengikut mazhab Syafie. Macam campur-campur begitu, boleh ke?" tulisnya dalam ciapan di laman X.

Bahagian lutut hingga pusat dianggap aurat dalam Mazhab Hanafi.

Perspektif ulama

Berdasarkan pandangan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum bertalfiq (menggabungkan beberapa mazhab dalam satu amalan) mempunyai batasan tertentu.

Talfiq hanya dibenarkan apabila wujud keperluan seperti hajat dan darurat, dan tidak boleh dilakukan semata-mata untuk memudahkan diri dalam beribadah sehingga menggugurkan tanggungjawab syarak atau mengikut hawa nafsu.

Dalam masa sama, orang awam yang tidak mencapai darjat mujtahid dibolehkan untuk bertaqlid (mengikut) salah satu daripada mazhab muktabar, iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hanbali.

Ini boleh dilakukan secara berterusan dalam satu mazhab atau berpindah kepada mazhab lain dalam isu-isu tertentu.

Hal ini kerana tiada dalil yang mewajibkan seseorang untuk kekal dengan satu mazhab sepanjang hayatnya.

Namun, para ulama juga menegaskan bahawa pelaksanaan talfiq tidak boleh membawa kepada kecelaruan dalam perundangan Islam.

Sebagai contoh, dalam isu talak, jika seseorang ingin menggunakan pendapat bahawa talak tiga dikira sebagai talak satu, sedangkan mahkamah telah memutuskan bahawa talak tiga itu jatuh.

Maka tindakan ini boleh menyebabkan kekeliruan dan bercanggah dengan sistem perundangan Islam yang diguna pakai di negara tersebut.

Sebagai kesimpulan dalam hal ini, penting bagi orang awam untuk memahami konsep mazhab dalam Islam serta batasan dalam bertalfiq.

Meskipun terdapat kelonggaran untuk mengikut mazhab lain dalam situasi tertentu, ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya demi kemudahan semata-mata.

Justeru, sebarang perubahan atau peralihan mazhab perlu dilakukan dengan ilmu dan kefahaman jelas agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam amalan serta perundangan Islam sedia ada.

Artikel Lain