suria

Rimas berbaju, lebih selesa tidur bogel atas katil... Boleh jatuh hukum haram jika salah caranya

Awas, tidur tanpa seurat benang boleh jatuh hukum haram. -Gambar hiasan

DALAM ajaran Islam, menjaga aurat adalah satu kewajipan bagi setiap individu yang baligh dan berakal.

Hukum mendedahkan aurat di tempat umum adalah haram kerana ia melibatkan bahagian tubuh yang wajib ditutup daripada pandangan orang lain.

Namun, bagaimana pula hukum tidur dalam keadaan bogel tanpa sehelai kain melindungi tubuh?

Menurut kupasan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus, hukum tidur tanpa pakaian adalah bergantung kepada keadaan seseorang itu.

Penjelasan lanjut mengikut hukum mengenai situasi tersebut adalah seperti berikut:

1. Makruh jika tanpa sebarang keperluan

Tidur dalam keadaan bogel tanpa sebarang keperluan dikategorikan sebagai makruh.

Walaupun tidak berdosa, ia bukanlah amalan yang digalakkan dalam Islam.

Seorang Muslim sebaiknya tidur dalam keadaan berpakaian yang menutup aurat bagi menjaga adab dan maruah diri.

Ramai memilih tidur tanpa pakaian ketika cuaca panas. -Gambar hiasan

2. Harus jika ada keperluan

Sekiranya seseorang menghadapi suhu, cuaca atau musim panas yang menyebabkan ketidakselesaan, maka hukumnya harus untuk tidur tanpa pakaian.

Namun, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi bagi memastikan aurat tetap terjaga:

Pintu dan tingkap rumah hendaklah dikunci untuk mengelakkan aurat daripada dilihat oleh orang lain.

Pastikan tiada ahli keluarga lain atau orang luar yang boleh melihat keadaan tersebut.

3. Haram jika dilihat orang lain

Hukumnya haram jika seseorang tidur bogel dalam keadaan auratnya boleh dilihat orang lain selain daripada pasangan (suami atau isteri) atau anak kecil yang belum memahami batasan aurat.

Malah, ia juga haram jika dipertontonkan kepada orang yang tidak waras (gila) kerana menjaga kehormatan diri adalah suatu keutamaan dalam Islam.

Kesimpulannya, tidur dalam keadaan bogel bukanlah satu kesalahan besar dalam Islam tetapi bergantung kepada situasi dan keperluan individu.

Islam menitikberatkan kesopanan dan penjagaan aurat, oleh itu lebih baik mengelakkan tidur dalam keadaan bogel kecuali jika terdapat keperluan mendesak.

Ini kerana setiap Muslim hendaklah sentiasa menjaga adab dan kehormatan diri dalam apa jua keadaan.

Artikel Lain