ISTILAH 'anak syurga' merujuk kepada anak-anak yang meninggal dunia sebelum mencapai usia baligh.
Situasi ini boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, sama ada ketika masih dalam kandungan kerana keguguran atau selepas dilahirkan.
Bagi ibu bapa yang kehilangan 'anak syurga', mereka dikurniakan keistimewaan besar di sisi Allah.
Antara ganjaran yang disebut adalah mereka tidak akan berada lama di neraka dan berpeluang untuk masuk ke syurga dengan syafaat anak-anak.
Dalil syafaat bayi yang gugur
Namun, timbul persoalan mengenai kesahihan keistimewaan tersebut yang kemudiannya dijelaskan secara terperinci oleh penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus.
Hadis menjelaskan keistimewaan tersebut:
Daripada Mu’adz bin Jabal r.a., Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya bayi yang keguguran akan membawa ibunya ke dalam syurga dengan ari-arinya apabila ibunya bersabar atas musibah keguguran tersebut.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Banyak kes kematian bayi berlaku ketika mereka sedang tidur. -Gambar hiasan
Anak yang meninggal dunia akan bantu tarik ibu bapa ke syurga
Daripada Abu Hassan r.a. berkata:
“Aku berkata kepada Abu Hurairah r.a. Aku telah kehilangan dua orang anak, bolehkah engkau sampaikan satu hadis daripada Rasulullah SAW yang dapat menenangkan hatiku atas kematian mereka?”
Jawab Abu Hurairah:
“Anak-anak itu ialah Da’amis Jannah (anak-anak yang bebas di dalam syurga). Mereka akan datang bertemu ibu bapa, memegang baju atau tangan ibu bapanya seperti aku memegang hujung bajumu ini.
"Mereka akan terus berbuat demikian sehingga Allah memasukkan kedua ibu bapanya ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)
Mahligai dalam syurga sebagai ganjaran kesabaran
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a., Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila anak seseorang meninggal dunia, Allah bertanya kepada malaikat: ‘Apakah kamu telah mencabut nyawa anak hamba-Ku?’
Malaikat menjawab: ‘Ya.’
Allah bertanya lagi: ‘Apakah kamu telah mencabut nyawa buah hatinya?’
Malaikat menjawab: ‘Ya.’
Allah bertanya lagi: ‘Apa yang diucapkan oleh hamba-Ku?’
Malaikat menjawab: ‘Dia memuji-Mu dan mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.’
Lalu Allah berfirman: ‘Bangunkan untuk hamba-Ku satu mahligai di dalam syurga dan namakan ia Baitul Hamdi (Rumah Pujian).’” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
Kematian bayi akibat keguguran juga sering berlaku. -Gambar hiasan
Ganjaran syurga buat ibu bapa yang bersabar
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
“Firman Allah: Tidaklah bagi hamba-Ku yang beriman itu ganjaran apabila Aku mengambil orang yang paling disayanginya di dunia lalu dia bersabar dan mengharapkan pahala dari-Ku, melainkan Aku akan memasukkannya ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Anas bin Malik r.a. pula berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada seorang Muslim yang kehilangan tiga anaknya sebelum baligh, melainkan Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kerana kurnia dan rahmat-Nya.” (Hadis Riwayat Syaikhain)
Kanak-kanak yang meninggal dunia adalah ahli syurga
Imam Ahmad bin Hanbal berkata:
Maksudnya: “Tidak berlaku perselisihan di kalangan ulama bahawa anak-anak yang meninggal dunia sebelum baligh berada di dalam syurga.” (Kitab Al-Masaail Wa Rasaail)
Imam Nawawi pula menyatakan:
Maksudnya: “Kematian seorang anak adalah perisai daripada api neraka, begitu juga bayi yang gugur.” (Al-Majmu’ Syarah Muhazzab)
Oleh itu, jelaslah bahawa orang yang sabar dalam menghadapi kehilangan anak akan diberikan ganjaran besar di akhirat berdasarkan Firman Allah.
Maksudnya: “Sesungguhnya hanya orang yang bersabar akan diberikan ganjaran tanpa batas.” (Az-Zumar: 10)
Dan firman-Nya lagi:
“Sesungguhnya Aku akan memberi balasan kepada mereka pada hari ini kerana kesabaran. Sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Al-Mu’minun: 111)
Semoga perkongsian ini memberi ketenangan kepada ibu bapa yang kehilangan anak syurga dan menjadi penguat semangat dalam menghadapi ujian ini dengan penuh keimanan.