suria

Ada anggap kejar harta, kekayaan tidak dibenarkan... ini pandangan sebenar Islam terhadap kehidupan duniawi

Adakah Islam melarang seseorang mengejar harta dan kejayaan?

SEGELINTIR manusia mempunyai tafsiran yang salah terhadap beberapa ayat Al-Quran dan hadith Nabi Muhammad SAW yang mencela dan mencemuh kehidupan dunia.

Mereka menyangka manusia dilarang untuk menikmati kehidupan dunia secara keseluruhan. Sebagai contoh, mereka beranggapan manusia tidak boleh bekerja untuk mencari harta walaupun dengan cara halal, dan mereka juga beranggapan manusia tidak boleh menikmati kehendak syahwat mereka walau dengan apa cara sekalipun. Sungguh, sangkaan ini adalah tidak tepat menurut pandangan Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Amalan sebelum dan selepas Zohor mampu jauhi api neraka... ketahui cara mudah solat sunat ini

Jika sangkaan mereka tidak tepat, apa pula pandangan yang lebih tepat menurut Islam dalam hal ini?

Bagi menjawab persoalan ini, penulis akan membawa beberapa pandangan tokoh ilmuan Islam berkaitan hal ini. Sebelum itu, penulis akan membawakan beberapa contoh ayat Al-Quran yang mencela dan mencemuh kehidupan dunia.

Maksudnya: “Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan)..., Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah al-Hadid, ayat 20)

Maksudnya: “Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (Surah al-‘Ankabut, ayat 64)

Wang

Ada golongan tenggelam dalam jurang nafsu syahwat yang membawa kepada kesalahan dan dosa.

Jika kita membaca dua ayat ini sahaja, tanpa melihat keseluruhan dalil hukum syarak, kita berpotensi untuk mengeluarkan pendapat yang salah tentang sudut pandang Islam terhadap kehidupan duniawi.

Imam Ghazali menyebut dalam buku Ihya’ Ulumiddin, (maksudnya): “Ini adalah satu kesalahan yang berlaku bagi segelintir manusia yang menyangka maksud daripada bersungguh-sungguh meninggalkan dunia adalah menyekat manusia daripadanya (dunia) secara keseluruhan. Lantas mereka mengabaikan kehidupa duniawi. Sesungguhnya syahwat itu diciptakan untuk memberi manfaat kepada kehidupan dan ia adalah perkara penting dalam tabiat semula jadi. Jika tiada syahwat makan, maka akan binasalah manusia. Jika tiada syahwat perhubungan kelamin, maka akan pupuslah sistem kehidupan. Jika tiada perasaan marah secara keseluruhan, maka manusia tidak akan mempertahankan hak dirinya walaupun dia dianiaya oleh orang lain..., Bukanlah satu tuntutan di dalam Islam untuk menolak dunia secara keseluruhan. Sebaliknya, apa yang dituntut di dalam islam adalah mengembalikan ia kepada kesederhanaan iaitu berada pada garisan pertengahan di antara terlalu menolak dan terlalu mengikutinya.”

Seterusnya, penulis membawa pula kata-kata Imam al-Syathibi dalam buku al-Muwafaqat, (maksudnya): “Dan ketikamana Allah Ta’ala mencemuh dunia dan perhiasannya, maka sebahagian daripada para sahabat ridhwanullahu’alaihim berazam untuk tidak mengahwini perempuan dan meninggalkan kelazatan dunia. Mereka ingin mengasingkan diri semata-semata untuk beribadah kepada Allah. Maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menolak perbuatan mereka dengan bersabda: (Barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka mereka bukanlah daripada kalanganku).”

Akhir sekali, penulis ingin membawa intipati pemikiran Prof. Doktor Yusuf al-Qaradhawi dalam hal ini seperti berikut, (maksudnya):

“Islam merupakan agama sederhana dalam memahami hakikat kehidupan manusia yang berada di antara dua aliran. Pertama golongan yang menolak adanya hari kiamat dan menganggap dunia kekal selamanya.

Firman Allah: (Maksudnya): “Dan tentu mereka akan mengatakan, (Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia ini sahaja dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan).” (Surah al-An’am, ayat 29)

Blog_DakuAmat_sukses

Islam menjadikan dunia sebagai ladang untuk manusia menyimpan hasil bekalannya di alam akhirat.

Golongan ini tenggelam dalam jurang nafsu syahwat yang membawa kepada kesalahan dan dosa. Mereka memperhambakan diri kepada kebendaan dan tidak ada hala tuju dalam kehidupan kecuali untuk mendapat habuan dunia semata-mata.

Manakala, golongan kedua pula yang menolak kehidupan dunia dan tidak pernah menghiraukannya. Mereka melihat dunia adalah keburukan yang perlu dielakkan dan mengharamkan ke atas mereka kelazatan dunia dan nikmatnya. Mereka mengasingkan diri dari aktiviti keduniaan dan masyarakat.

Sedangkan risalah Islam datang untuk mengajarkan kepada manusia bahawa di sana adanya dua kehidupan iaitu kehidupan di dunia dan akhirat. Islam menjadikan dunia sebagai ladang untuk manusia menyimpan hasil bekalannya di alam akhirat.

Islam menganggap aktiviti kehidupan manusia adalah ibadah kepada Allah dan sebahagian dari pelaksanaan tugas manusia. Islam menolak tindakan menyusah dan memayahkan dalam urusan agama sehingga meninggalkan kehidupan dunia dan nikmat yang terdapat di dalamnya, sebagaimana Islam turut menolak tindakan golongan yang hanyut dengan keduniaan semata-mata.

Semoga kita semua dapat membuka minda dan memahami pandangan Islam yang betul terhadap kehidupan duniawi. Allah Yang Maha Bijaksana telah menjadikan agama Islam ini dengan fitrahnya yang sederhana untuk dianuti oleh semua manusia di atas muka bumi ini.

***Mohd Farouq Nukman adalah pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain