suria

Anak-anak istimewa adalah rahmat daripada Allah... Santuni dan taburlah kasih sayang kepada mereka

Anak-anak syurga ini perlu disantuni dan disayangi.

ANAK-ANAK istimewa merupakan anak yang diamanahkan Allah kepada kita untuk dijaga dan disantuni. Ini kerana mereka termasuk dalam kalangan orang yang kurang upaya (OKU).

OKU didefinisikan sebagai: Kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat adalah mereka yang pada sesuatu masa, terhalang oleh keadaan fizikal atau mental dari melakukan aktiviti-aktiviti normal rakan sebaya seperti sosial, rekreasi, pelajaran dan vokasional.

ARTIKEL BERKAITAN: Tekanan akibat pandemik dapat diatasi dengan amalan 3 kaedah psikospiritual secara Islam

Islam merupakan rahmat buat sekalian insan. Islam tidak pernah menyisihkan golongan OKU atau mengasingkan mereka. Bahkan terdapat banyak gesaan di dalam Al-Quran yang memberikan perhatian kepada golongan yang kurang upaya.

Firman Allah didalam Surah Al-Fath ayat 17: Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.

Ibn ‘Abbas berkata turunnya ayat di atas apabila ayat sebelumnya (Al-Fath, ayat ke -16) menceritakan tentang azab yang pedih bagi mereka yang tidak turut sama dalam berjuang menentang musyrikin lantas bertanyakan golongan-golongan kurang upaya dikalangan mereka seperti buta, tempang kakinya dan yang sakit kepada Rasulullah akan perihal keadaan mereka yang uzur itu untuk turut sama berjuang.

little girl with painted hands

Islam tidak pernah menyisihkan golongan OKU atau mengasingkan mereka.

Lantaran dari soalan tersebut, maka turunlah ayat di atas dengan memberikan keringanan buat golongan yang kurang upaya ini dengan tidak menjadi kesalahan buat mereka untuk tidak menyertai peperangan. - [Tafsir al-Qurtubi. Dar al-Kutub al-Misriyyah, 16/273].

Ujian Allah ke atas mereka merupakan satu penilaian keimanan terhadap Qada dan Qadar Allah. Kita harus mengetahui bahawa tidak ada yang sempurna melainkan Allah. Semua makhluk bergantung kepada Allah Tuhan Yang Maha Hebat lagi Maha Agung.

Oleh kerana itu, setiap ujian yang diberikan maka kembalikanlah ia kepada Allah dengan pergantungan yang sebenar kepadaNya.

Firman Allah di dalam Surah At-Taubah ayat 51: Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.

Allah juga bukan hanya menguji mereka yang disebut OKU tetapi Allah juga menguji diri dan kesabaran kita bagaimana untuk menyantuni mereka dengan baik.

E6GooLoVgAcJFAs

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kejadian menimpa adik Bella yang cukup menyayat hati.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu penindasan dan kezaliman terhadap salah seorang anak istimewa yang bernama Bella. Ia tidak sepatutnya berlaku dan keadilan kepada adik Bella serta seumpamanya perlulah ditegakkan.

Ini kerana asbab kekurangan yang dia milikilah maka sewajibnya kita yang menjadi benteng bagi melindungi anak-anak istimewa daripada ditindas dan dipermainkan.

Sabda Baginda Rasulullah: Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi. - [HR Bukhari 2263].

Dalam hadis ini kita sedia maklum bahawa Baginda Rasulullah menyuruh untuk kita membantu orang yang ditindas. Maka kita faham adalah sepatutnya kita membantu dan menolong orang yang dizalimi tetapi kenapa Baginda Rasulullah memerintahkan supaya kita juga membantu orang yang zalim?

Rasulullah telah menafsirkan atau menjelaskan makna hadis di atas dengan menolong orang yang melakukan kezaliman di sini adalah dengan cara mencegahnya daripada perbuatan yang zalim. Ini kerana, jika dibiarkan begitu saja, ia akan terus melakukan kezaliman tersebut.

Oleh yang demikian apa yang boleh kita lakukan bagi membantu mereka yang ditindas khususnya kepada anak-anak yang istimewa ialah dengan;

Bawa ke muka pengadilan

1. Membawa mereka yang menindas ke muka pengadilan

Apabila seseorang dituduh dengan tuduhan mendera anak-anak istimewa maka sudah menjadi satu kewajipan untuk orang yang dituduh mempertahankan diri di mahkamah supaya menjaga kredibiliti.

Rasulullah bersabda: Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya. [HR Tirmizi 1261]

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: Hadis ini merupakan satu kaedah yang besar daripada kaedah-kaedah hukum syarak. Padanya menunjukkan bahawa tidak diterima ucapan seseorang itu terhadap apa yang dia dakwa hanya semata-mata dengan dakwaan tersebut. Bahkan ia (dakwaan) berhajat kepada bukti, atau pengakuan kebenaran dari pihak orang yang didakwa. Sekiranya dituntut sumpah orang yang didakwa maka boleh untuk dia berbuat demikian (bersumpah). (Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (4/12).

Bagi mereka yang menyembunyikan fakta dan kebenaran pula maka mereka juga termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim dan jika sekiranya mereka tidak bertaubat dan tidak memohon maaf kepada anak-anak istimewa ini maka mereka akan menanggung balasan yang sangat pedih di akhirat nanti.

2. Memberi perlindungan yang sewajarnya

Melindungi mereka merupakan asas dalam Islam dengan kita memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan khususnya kepada golongan istimewa. Ini kerana kekurangan yang mereka miliki sahaja sudah cukup untuk kita membantu memudahkan segala urusan mereka.

Firman Allah di dalam Surah Al-Maaidah ayat 2: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

3. Menyediakan kemudahan asas untuk mereka

Dalam Islam Allah tidak akan membebani seseorang melainkan atas kemampuan diri mereka sendiri.

Firman Allah di dalam Surah Al-Hajj ayat 78: dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

Jika yang menjadi kefarduan pun Allah tidak membebani mereka maka sewajibnya kita cakna akan kemudahan mereka agar menyenangkan urusan mereka.

first-vocabulary-1-matching-sitting-1000w

4. Memberi pendidikan yang sesuai dengan tahap mereka

Pelajaran merupakan asas kepada kehidupan. Maka adalah perlu untuk memberikan kepada mereka pendidikan dengan tujuan supaya mereka boleh menguruskan diri mereka sendiri atas kemampuan yang mereka miliki.

Oleh yang demikian, perlulah dinilai setiap ilmu yang diajar agar sesuai dengan keadaan mereka.

5. Memberi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi

Menyantuni dan mengasihi mereka merupakan tuntutan syara' seperti mana sabda Baginda Rasulullah: Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” [HR Bukhari 13]

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Di samping itu juga, kita sebagai seorang muslim dituntut untuk sentiasa memuliakan, menghormati dan menyayangi semua peringkat usia. Tidak kiralah orang tersebut lebih muda daripada kita atau sebaliknya. Sama ada sihat atau sakit ataupun yang istimewa.

Kesimpulannya marilah sama-sama kita memupuk sifat kasih sayang dan belas kasihan kepada anak-anak istimewa ini agar kita dirahmati dan diredai Allah. Sabda Baginda Rasulullah: Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi. [HR Bukhari 5997]

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain