suria

Istikharah dengan membuka al-Quran secara rawak, adakah sah hukumnya? 

Pendapat muktamad dalam mazhab Syafi'ie menjelaskan istikharah menggunakan al-Quran hukumnya adalah makruh.

ADA dalam kalangan masyarakat Islam yang melakukan istikharah dengan membuka al-Quran secara rawak kemudian melihat pada mana-mana ayat dan membaca terjemahannya sebagai mencari jawapan kepada persoalan yang timbul dalam diri.

Sekiranya terjemahan itu menceritakan perkara yang baik, maka perkara yang terdetik di dalam hati diteruskan dan jika sebaliknya ia ditinggalkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang yang baik akhlaknya berada dekat dengan Rasulullah di akhirat kelak... Maka janganlah sakiti hati orang ketika berdakwah

Bagaimanapun adakah cara membuka al-Quran secara rawak sebagai istikharah ini sah dalam Islam?

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah menjelaskan istikharah dari sudut istilah feqah membawa maksud permintaan kepada Allah SWT agar diberi petunjuk dalam memilih sesuatu perkara yang terbaik.

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa: (Maksudnya:) Memohon diberi pertunjuk yang terbaik dalam dua perkara bagi sesiapa yang menginginkan salah satu daripadanya.

al-Quran terjemahan

Ada yang menggunakan al-Quran sebagai istikharah untuk mencari jawapan kepada permasalahan yang dilalui.

Menjawab persoalan yang diajukan, Dr Luqman berkata, istikharah dengan membuka lembaran al-Quran secara rawak bertujuan untuk mencapai matlamat tertentu atau hasil jawapan dari istikharah telah dibincangkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab turath Islam.

Menurut cara yang diamalkan itu, boleh dikatakan ia merupakan konsep istikharah dengan menggunakan al-Quran, maka para ulama mengkategorikan sebagai tafa’ul iaitu optimis atau menaruh harapan untuk mendapat kebaikan terhadap sesuatu.

Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Mawardi di dalam karyanya: (Maksudnya:) al-Fa’lu adalah memperkuatkan keazaman, dorongan ke atas kebaikan dan pertolongan mencapai sesuatu matlamat.

Istikharah juga disebut sebagai Tafa’ul dengan menggunakan al-Quran yang diamalkan ini terdapat pelbagai cara dan variasi. Namun ia tidak mempunyai sandaran dalil atau nas yang jelas dan sahih di dalam syarak. Perkara ini seperti yang disebut oleh Imam al-Alusi di dalam karyanya:

Maksudnya: Istikharah dengan al-Quran serta boleh disebutkannya juga sebagai tafa’ul dan bagi mereka (yang bertafa’ul) terdapat pelbagai cara yang bermacam-macam. Jelas bahawa perkara ini tiada dalil tentang pensyariatannya.

Dr Luqman Abdullah menjelaskan perbuatan itu tidak terdapat dalil dan nas khusus serta sahih yang menceritakan berkenaan dengannya dan para ulama turut berbeza pandangan dalam isu ini iaitu haram, makruh dan harus.

Solat Istikharah

Kaedah yang betul adalah dengan melakukan solat sunat dua rakaat

Namun menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi'ie, Dr Luqman menjelaskan hukumnya adalah makruh.

"Oleh itu, dalam menghadapi situasi ini setiap muslim perlu bersikap lebih warak iaitu meninggalkan amalan ini kerana sebahagian ulama mengharamkannya.

"Bahkan di sisi mazhab Syafi’ie hukumnya adalah makruh yang memberi makna perbuatan yang sia-sia, malah tiada ganjaran dan apa-apa fadilat. Justeru itu, lebih baik ditinggalkannya," katanya menerusi artikel diterbitkan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Tuntasnya, umat Islam perlu menghidupkan amalan istikharah dengan cara yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW iaitu solat istikharah dan berdoa kepada Allah SWT disamping meminta nasihat dari individu yang berpengalaman.

Konsep beristikharah berdasarkan syarak

Istikharah dengan membuka al-Quran secara rawak tidak terdapat nas sahih yang menyebut tentangnya. Bahkan sekiranya ia digunakan sebagai kepercayaan untuk menilik terhadap apa yang akan berlaku pada masa hadapan maka ia adalah haram dan menyerupai perbuatan ahli sihir dan penilik nasib.

Oleh itu, seseorang yang ingin beristikharah maka disunatkan melakukan solat sunat Istikharah kemudian diiringi dengan doa kepada Allah SWT sebagaimana yang diajar oleh Baginda SAW. Perkara ini disaran oleh Syeikh ‘Atiyah Saqr melalui fatwanya:

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Maksudnya: Setiap daripada perkara ini (istikharah menggunakan al-Quran) tidak terdapat khabar yang sahih yang mengharuskannya. Istikharah yang disyariatkan diketahui iaitu dengan melakukan solat dua rakaat, kemudaian berdoa selepasnya dengan doa yang telah diajar dari Nabi SAW.

Hal ini bertepatan dengan saranan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah Ranhuma, katanya:ِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW mengajar kami Istikharah dalam segenap perkara sepertimana Baginda mengajar kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: Apabila seseorang daripada kamu berazam untuk melakukan sesuatu perkara maka dirikanlah solat dua rakaat selain daripada solat fardu.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain