suria

Punca kemiskinan adalah sikap malas... Ketahui jihad menentang kemalasan!

Keadaan sebuah rumah transit milik Majlis Agama Islam Negeri Johor yang ditinggalkan dalam keadaan kotor. Foto Facebook MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR

SABTU lalu kita dikejutkan dengan berita sebuah rumah transit milik Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang ditinggalkan keluarga asnaf selepas diberi duduk secara percuma dalam keadaan kotor, berbau busuk selain keadaan rumah yang rosak.

Meskipun telah menandatangani polisi antaranya menjaga kebersihan dan keadaan rumah yang didiami namun keluarga asnaf bersama sembilan anak yang dibantu sejak 2015 itu tidak mengendahkannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang tak sempat hapus dosa sesama manusia? Minta dihalalkan antara adabnya, elak tidur dalam keadaan menzalimi

Namun pada akhir 2019, keluarga itu dilaporkan tidak lagi tinggal di rumah transit itu dan penduduk meminta MAINJ membersihkan kediaman itu kerana berbau terlalu busuk.

Gambar keadaan rumah tersebut yang dalam keadaan kotor mendapat pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan keluarga asnaf berkenaan tidak mengenang budi selain mempertikaikan tahap kebersihan keluarga itu.

Isu sama pernah ditegur oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam hantaran di Facebooknya selepas berasa sedih dan dukacita apabila melawat keluarga asnaf mirip kes di Johor.



Pekerja pembersihan terpaksa membersihkan rumah yang ditinggalkan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza dalam hantaran itu memberitahu salah satu punca utama kemiskinan adalah sikap malas.

"Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini (malas), akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.

"Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah," katanya.

Sementara itu, Dr Maza menjelaskan sesebuah kediaman itu meskipun sudah lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersihkan dan kelihatan cantik.

"Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma," katanya.



Dr Maza memberitahu salah satu punca utama kemiskinan adalah sikap malas.

Jihad menentang kemalasan

Dr Maza memberitahu menentang kemiskinan tidak akan berjaya sekiranya diri sendiri tidak berjihad menentang kemalasan.

Katanya, dengan izin Allah, harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak meskipun usahanya tidak begitu hebat.

"Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin Allah pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi.

"Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak dengan izin Allah hadir ke dalam kehidupan," katanya.

Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi S.A.W. (maksudnya):

“Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, sama ada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kata Anas bin Malik R.A. (maksudnya): “Aku mendengar Nabi S.A.W. sering berdoa: “Ya Allah sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain