suria

Berkasih sayang perlu ada batasnya... Teman sejenis dilarang tidur kongsi selimut dan ketahuilah hukum cium pipi

Btasan berkasih sayang antara satu sama lain perlulah diketahui dengan baik supaya tidak berlakunya sesuatu perkara yang menyebabkan datangnya fitnah.

BERKASIH sayang sesama manusia merupakan satu tuntutan dalam Islam. Ini kerana dengan berkasih sayang akan mewujudkan suasana yang harmoni antara satu sama yang lain.

Islam sangat menitik beratkan hubungan tali persaudaraan sebagaimana hadis baginda Rasulullah.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan ambil mudah melewatkan solat kerana tempat mereka ialah di neraka Wail

Baginda Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat kelak: Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu?, hari ini Aku naungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naunganKu. - [HR Muslim 4655].

Sebagai seorang muslim, batasan berkasih sayang antara satu sama lain perlulah diketahui dengan baik supaya tidak berlakunya sesuatu perkara yang mana pada mulanya akan mendapat ganjaran di sisi Allah tetapi kerana kejahilan kita menyebabkan datangnya fitnah.

Serapat mana pun kita dengan saudara kita, hukum hakam haruslah didahulukan dan diambil cakna. Antara yang perlu diambil perhatian ialah:

1. Aurat

Aurat bermaksud bahagian-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan ajnabi kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam. Oleh yang demikian perlu diketahui batasan aurat antara seorang lelaki dengan lelaki begitu juga seorang wanita dengan wanita.

Sabda Baginda Rasulullah: Tidak boleh untuk seorang lelaki berbaring dengan lelaki yang lain di dalam selimut yang sama demikian juga tidak boleh untuk seorang perempuan berbaring dengan perempuan yang lain di bawah selimut yang sama.

[HR Muslim 338].

Sabda Baginda Rasulullah: Tidak boleh untuk seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain, dan tidak boleh bagi seorang perempuan untuk melihat aurat perempuan yang lain. - [HR Muslim 338].

Imam Nawawi Rahimahullah berkata ketika mensyarahkan hadis ini: Pada hadis ini menunjukkan kepada haramnya seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki dan haramnya seorang perempuan untuk melihat aurat perempuan yang lain. Demikian juga haram bagi seorang lelaki untuk melihat kepada aurat seorang perempuan dan haram bagi seorang perempuan untuk melihat aurat lelaki secara ijma’. (Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi: 4/25).

2. Tidur dalam satu selimut

Serapat mana pun seseorang dengan sahabatnya maka di mana Islam tidak membenarkan seseorang lelaki berbaring dengan lelaki lain dalam satu selimut tanpa ada lapik. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan daripada timbulnya fitnah dan godaan syaitan.

Sabda Baginda Rasulullah: Tidak boleh untuk seorang lelaki berbaring dengan lelaki yang lain di dalam selimut yang sama demikian juga tidak boleh untuk seorang perempuan berbaring dengan perempuan yang lain di bawah selimut yang sama. - [HR Muslim 338].

Dalam hadis ini larangan berbaring di dalam pakaian atau satu selimut terhadap dua orang lelaki adalah larangan yang menunjukkan kepada pengharaman sekiranya tidak ada lapik antara mereka berdua. (Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi: 4/25)

Oleh yang demikian, larangan berbaring di bawah satu selimut bagi dua orang lelaki adalah bagi mengelakkan berlakunya sentuhan dan penglihatan terhadap aurat satu sama lain. Kerana itu dihuraikan oleh para ulama dalam keadaan kedua-duanya tidak berpakaian.

Sekiranya kedua-dua orang lelaki itu berpakaian lengkap menutup aurat, tetapi cuaca dan suhu sekeliling dalam keadaan sejuk, lalu kedua mereka tidur di bawah selimut, maka ia tidaklah termasuk dalam perbuatan yang dilarang dalam hadis ini mudah-mudahan.

3. Mencium pipi

Perbuatan mencium pipi lelaki sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan biasa dilihat dalam masyarakat kita. Ini adalah bagi menunjukkan keakraban seseorang dengan seseorang yang lain.

Terdapat sebuah hadis yang menyebut mengenai perbuatan mencium ini seperti mana yang disebut oleh Anas bin Malik ia berkata: seseorang bertanya: Wahai Rasulullah, apakah kami harus menundukkan kepala apabila salah seorang dari kami bertemu dengan saudaranya atau sahabatnya? Baginda menjawab: Tidak. Orang itu bertanya lagi: Apakah dia harus mendakap dan menciumnya?. Baginda menjawab: Tidak. Dia bertanya lagi: Apakah yang harus meraih tangannya dan menjabatnya?. Baginda menjawab: Ya. - [HR Tirmizi 2652].

Imam Nawawi mengatakan bahawa hukum bagi mereka yang mencium pipi anak kecil atau sahabatnya yang baru balik dari pemusafiran adalah dibenarkan dan diharuskan tetapi selain daripada dua perkara itu hukumnya makruh.

Mencium pipi seorang sahabat tidak boleh dalam keadaan bernafsu dan jika mencium dengan bernafsu syahwat maka hukumnya adalah haram.

Para alim ulama' mengatakan sebaiknya jika seseorang berjumpa dengan sahabatnya maka cukup dengan memberi salam dan berjabat tangan diantara satu sama yang lain.

Ini berdasarkan dalam sebuah hadis: dari Qatadah dia berkata: Aku bertanya kepada Anas: Apakah ada antara para sahabat Baginda Nabi sering berjabat tangan?. Dia menjawab: Ya. - [HR Bukhari 5792].

Semoga kasih sayang seorang sahabat kepada sahabatnya yang mana berlandaskan agama dan patuh syariat akan menjemput reda Allah dan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain