suria

Jangan sendawa sesuka hati... Ketahui adabnya dalam Islam

Terdapat adab yang perlu kita ikut jika hendak bersendawa.

SENDAWA ialah bunyi yang keluar dari kerongkong kerana kekenyangan. Sudah menjadi kebiasaan seseorang akan bersendawa apabila kenyang selepas makan.

Ada dalam kalangan kita yang tahu akan adab sendawa dan ada juga yang tidak tahu. Mereka yang tahu adab sendawa kebiasaannya tidak akan sendawa dengan kuat dan akan menutup mulut dengan sesuatu atau melapikkan tangan ketika sendawa.

ARTIKEL BERKAITAN: Berkasih sayang perlu ada batasnya... Teman sejenis dilarang tidur kongsi selimut dan ketahuilah hukum cium pipi

Tetapi bagi mereka yang tidak mengetahui adab sendawa ada dalam kalangan mereka yang sendawa dengan bunyi yang sangat kuat dan mengeluarkan bau yang busuk.

Terdapat dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah mengenai sendawa:

Seorang lelaki sendawa di sisi Baginda Rasulullah, lalu baginda bersabda: Tahanlah sendawamu di hadapan kami. Kerana orang yang paling kenyang di dunia, (dibimbangi) paling lama laparnya di hari kiamat. [HR Tirmizi 2478]

Hadis ini hanyalah merujuk kepada sendawa yang terhasil daripada perbuatan makan secara berlebihan. Ia sebenarnya merupakan suatu perbuatan yang tidak baik kerana biasanya kenyang yang berlebihan akan membawa kepada perbuatan-perbuatan negatif yang lain seperti malas dalam beribadat dan mendorong untuk melakukan maksiat.

Ini seperti kata Lukman kepada anaknya: Jika perut penuh, maka akan terbantutlah pemikiran, hikmah kearifan akan terhalang dan anggota badan akan bermalasan dalam melakukan ibadah. (Tafsir Tahrir Wa Tanwir: Surah Lukman)

Adapun jika seseorang itu sendawa atas faktor kesihatan ia tidaklah termasuk di dalam hadis di atas tetapi walaupun begitu mereka tetap perlu mengetahui adab-adabnya. Antara adab yang disebutkan oleh para alim ulama' ialah:



Sendawa boleh menyebabkan orang sekeliling berasa tidak selesa.

1. Menahan Sendawa

Seperti mana yang disebutkan dalam hadis di atas bahawa seseorang itu perlu menahan sendawanya daripada mengeluarkan bunyi. Ini disebabkan dengan adanya bunyi ia akan menyebabkan orang di sekeliling tidak akan berasa selesa dan akan menganggu orang lain. Ditambah pula dengan bau yang tidak menyenangkan.

Oleh yang demikian, jika seseorang itu ingin sendawa maka dia perlu usaha untuk menahan daripada ia keluar.

2. Mengucapkan Alhamdulillah ketika sendawa

Menjadi adab seseorang apabila mereka mendapat nikmat-nikmat Allah hendaklah mereka mensyukuri nikmatnya itu. Ini berdasarkan hadis Baginda Rasulullah apabila Baginda menyukai sesuatu maka baginda akan mengatakan: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan semua nikmat dengan sempurna. Adapun jika baginda tidak menyukai sesuatu maka baginda akan mengatakan: Segala puji bagi Allah bagi semua keadaan. [HR Ibn Majah 3793]

Akan tetapi tidak ada satupun dalil yang mengatakan bahawa selepas seseorang itu sendawa maka dia perlu mengucapkan Alhamdulillah.

Ungkapan Alhamdulillah tidaklah disyariatkan ketika seseorang itu sendawa akan tetapi ia hanyalah sebagai tanda syukur seseorang selepas menikmati makanan. Maka seseorang itu tidak boleh menganggap bahawa menyebut Alhamdulillah selepas sendawa merupakan sunah Baginda Rasulullah.



Tutup mulut ketika sendawa.

3. Menutup mulut ketika sendawa dan jangan sendawa di hadapan orang

Islam amat menekankan pendidikan adab dalam kalangan umat manusia kerana dengannya seseorang mukmin akan menjadi manusia yang tinggi akhlak dan keperibadian diri.

Kefahaman tentang adab yang diterjemahkan melalui akhlak dan tingkah laku inilah yang melahirkan keperibadian yang tinggi kerana suatu ilmu yang dipelajari berserta dengan adab yang baik mendapat kelebihan barakah dan kecintaan Allah.

Adapun jika seseorang itu tidak dapat menahan daripada sendawa maka dibolehkan tetapi perlulah dengan penuh beradab iaitu dengan melapikkan tangan ke mulut supaya tidak mengeluarkan bunyi yang kuat dan juga tidak mengeluarkan bau yang busuk.

Bayangkan jika seseorang itu melepaskan sendawa di hadapan orang lain yang mana sebelum itu dia telah makan sesuatu yang dapat mengeluarkan bau yang busuk seperti petai dan durian. Ini akan menganggu orang lain dan akan menyakitinya.

Lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satu daripadanya maka dia akan mendapat perlindungan dari Allah, iaitu seseorang yang menziarahi orang sakit, atau keluar mengiringi jenazah (ke perkuburan), keluar berperang di medan jihad, pergi kepada seorang pemimpin dengan tujuan untuk menghormati dan memuliakannya, atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya (kejahatan lidah dan tangannya) dan dia juga selamat dari (kejahatan lidah dan tangan) manusia. [HR Tabrani 55]

Ada juga dalam kalangan kita yang menjadikannya sebagai satu gurauan dengan sengaja sendawa. Sebagai seorang Muslim, segala tindak-tanduk dan tingkah laku kita juga haruslah mengambil kira pesanan Nabi: Jika kamu tidak mempunyai rasa malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu. [Riwayat Bukhari].

Sifat malu daripada melakukan sesuatu yang menyanggahi adab, tatasusila dan kerukunan masyarakat merupakan satu sifat yang amat terpuji. Sifat malu inilah yang akan menjadi benteng masyarakat daripada terjebak ke dalam krisis moral, keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial.

Sebagai individu yang baik, kita perlu berusaha untuk menjaga adab-adab yang telah diajarkan dalam Islam kerana Islam merupakan sebuah agama syumul yang mana berusaha untuk menjaga keharmonian penganutnya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain