suria

Muslim murtad perlu dibimbing dalam sesi ‘istitabah’ tapi jika tidak bertaubat, kekal dalam azab neraka

Sebagai umat Islam kita perlu berpegang teguh kepada agama dan ajarannya.

INDIVIDU yang menzahirkan hasrat untuk keluar atau murtad daripada Islam perlu dikuarantinkan agar diri mereka bebas daripada pengaruh persekitaran dan keinginannya tidak mempengaruhi orang ramai.

Pendakwah bebas, Ustaz Abdul Mu'izz Muhammad berkata, pencegahan adalah elemen penting dalam isu ini apatah lagi sekiranya individu tersebut dianggap berpengaruh dalam masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Adakah amalan orang tukar jantina diterima? Allah itu maha pengasih asalkan setiap pendosa bertaubat

“Individu yang didakwa ingin murtad itu perlu dikuarantinkan, agar dirinya bebas dari pengaruh persekitaran dan keinginannya tidak mempengaruhi orang ramai.

“Putuskan dirinya dengan akses luar. Pencegahan ini sangat mustahak, apatah lagi jika individu tersebut dianggap sebagai influencer dalam masyarakat, ” katanya.

Abdul Mu'izz memberitahu di sebalik hukuman had ke atas individu murtad, terdapat proses pemulihan yang wajib dijalankan di sisi jumhur ulamak iaitu istitabah (memohon taubat atau menganjurkan bertaubat. Juga disebut pemurnian akidah).



Ada yang terlalu mengikut nafsu sehingga sanggup keluar daripada Islam.

Katanya, sepanjang proses tersebut, individu berkaitan perlu disedarkan, diajar dan diberi ruang untuk berdialog berkaitan kekeliruan yang mendorong keinginannya untuk murtad.

"Sesi pencerahan tersebut penting untuk mengembalikannya ke pangkal jalan, kerana ramai Muslim yang ingin murtad hanya semata-mata didorong oleh emosi reaktif dan kejahilannya yang menebal.

"Bukan kerana kesanggupan akal rasionalnya. Apatah lagi zaman hari ini, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang jadi tidak berakal.

"Maka tindakan kuarantin untuk proses pemulihan atas nama istitabah dilihat sangat mendesak hari ini," jelasnya.

Bagaimanapun, kata Abdul Mu’izz, terdapat khilaf dalam kalangan ulamak berkaitan tempoh istitabah dan ia bergantung dengan pertimbangan semasa hari ini.

Abdul Mu’izz menegaskan bahawa sesi pencerahan tersebut penting untuk mengembalikan individu itu ke pangkal jalan.

Pun begitu kata Abdul Mu'izz, penentuan status seseorang sama ada individu tersebut telah murtad atau tidak dan hukuman ke atasnya hanya boleh dilaksanakan oleh pihak berautoriti iaitu kerajaan.



Jangan lakukan perkara yang boleh menyebabkan kita terkeluar daripada Islam.

Sementara itu, kolumnis Addin mStar, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan menjelaskan murtad boleh berlaku kepada seorang Islam melalui tiga perkara iaitu;

1. Percakapan

Percakapan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad sekiranya seseorang bercakap sesuatu yang menjurus kepada kekufuran seperti mempercayai bahawa ada kuasa lebih hebat daripada Allah atau mengatakan Allah itu tidak wujud.

Percakapan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad jika dia mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan kepada kekufuran seperti dia berkata Allah SWT itu tidak wujud.

2. Perbuatan

Seorang Islam itu juga boleh menjadi murtad melalui perbuatan seperti menyembah atau menyerupai agama lain dan keislamannya boleh dipertikaikan.

3. Iktikad

Jika seseorang itu menolak Rukun Iman seperti tidak percaya kepada Allah SWT, tidak percaya Nabi Muhammad s.a.w sebagai Nabi dan Rasul, tidak percaya dengan malaikat tidak percaya Al-Quran sebagai kitab Allah, tidak percaya hari akhirat dan lain-lain Rukun Iman maka dia boleh dianggap sebagai murtad dan terkeluar daripada Islam.

Bagaimanapun, kepercayaan yang terdetik di hati semata-mata tidak boleh menghukum seorang itu murtad jika tidak dizahirkan dengan perkataan atau perbuatan.

Ini berdasarkan kepada sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan umat-Ku daripada perkara tersemat dalam hati sanubari selagi tidak disertakan dengan perbuatan atau percakapan (An-Nasai).

Oleh itu seorang Islam yang mempunyai kepercayaan yang bertentangan dengan akidah Islam tidak boleh dianggap telah terkeluar daripada Islam melainkan jika kepercayaan yang ada sanubarinya itu dilahirkan dengan perkataan atau perbuatan.

"Atas sebab itu, sebelum bercakap atau melakukan sesuatu, sebaik-baiknya rujuk terlebih dahulu apa yang telah disebutkan dalam Islam.

"Jangan jadikan isu ini sebagai gurauan demi kepentingan diri kerana apabila sudah terkeluar daripada Islam, ketahuilah seksaan yang berat dan akan kekal dalam neraka selama-lamanya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain