suria

‘Colossal’ Sebuah Karya Jarang Dibikin

'Colossal' bukan sebuah filem sains fiksyen konvensional dan harus diakui perjalanan ceritanya perlahan lalu menerbitkan rasa bosan.

FILEM: Colossal

PENGARAH: Nacho Vigalondo

PELAKON: Anne Hathaway, Jason Sudeikis, Dan Stevens, Austin Stowell dan Tim Blake Nelson

GENRE: Sains Fiksyen/Komedi

DURASI: 110 minit

PENGEDAR: TGV Pictures

TARIKH TAYANGAN: 18 Mei 2017  

PENULIS percaya ramai beranggapan Colossal merupakan sebuah lagi filem sains fiksyen yang melibatkan raksasa mengganas dan mahu menghancurkan ketamadunan manusia sebaik sahaja menonton gazetnya (trailer) di pawagam. 

Percayalah, bukan hanya anda tetapi penulis juga memiliki tanggapan yang sama. 

Apatah lagi untuk sebuah filem seperti itu dan dibintangi pula oleh aktres berkaliber yang juga bekas pemenang Oscar, Anne Hathaway, sedikit sebanyak ia berjaya memancing penonton untuk mengetahui kesudahan Colossal. 

Ternyata, semua telahan itu meleset kerana Colossal bukanlah sebuah filem sains fiksyen dan aksi lazim seperti mana yang diharapkan. 

Sebaliknya, ia adalah sebuah karya yang penulis anggap dibikin di luar kotak pemikiran konvensional yang barangkali agak jarang diterbitkan dalam waktu penonton terus disogokkan dengan filem popular. 

Colossal diterajui oleh Anne Hathaway sebagai Gloria dan Jason Sudeikis (kanan) sebagai Oscar.

Benar… Colossal bukan sebuah filem popular meskipun mempertaruhkan Hathaway sebagai teraju utamanya tetapi penulis melihat ada sesuatu yang menarik dan positif yang cuba hendak diketengahkan oleh penulis lakon layar dan pengarahnya, Nacho Vigalondo. 

Bagi mereka yang belum menonton Colossal, seperti mana yang penulis katakan di atas, jangan menyangka ia sebuah filem yang memberikan hiburan semata-mata untuk anda. 

Tetapi, jika anda mahu membaca dan menilai filem ini dari sudut yang berbeza, penulis syorkan Colossal untuk anda terutama kaum wanita. 

Daripada satu aspek yang tidak dapat dinafikan oleh penulis adalah perjalanan filem ini cukup perlahan sehingga ada ketika ia menimbulkan rasa bosan dan resah tatkala menontonnya. 

Segala perasaan itu timbul dalam diri penulis mungkin kerana penulis meletakkan harapan tinggi dan menyangka Colossal sebuah filem blokbuster yang akan membuatkan penulis tertancap pada skrin dari awal hingga akhir. 

Namun, semakin lama Colossal bergerak, ia mula menunjukkan intipati ceritanya yang sebenar terutama melibatkan perhubungan antara lelaki dan wanita dengan menggunakan raksasa serta robot sebagai satu metafora. 

Dalam konteks ini, penulis harus memberikan kredit buat Vigalondo kerana menggunakan mahkhluk asing itu sebagai subjek untuk menggambarkan siapakah diri kita sebenar tatkala kita berhadapan dengan pelbagai masalah. 

Anne Hathaway memberikan lakonan memberangsangkan sebagai Gloria dalam filem Colossal.

Ini merujuk kepada perwatakan dan karakter Gloria (lakonan Hathaway) itu sendiri yang hidupnya tidak terurus selepas melalui pelbagai insiden yang menjadikan dirinya seorang pemabuk tegar. 

Semuanya berubah sehingga Gloria melihat dirinya ada hubung kait dengan raksasa yang sedang menyerang bandar raya Seoul sehingga mengorbankan ramai nyawa. 

Akan tetapi, dalam masa yang sama, permasalahan itu menjadi semakin kompleks selepas Gloria melihat sendiri warna sebenar teman sepermainannya sejak kecil, Oscar (Jason Sudeikis) yang memiliki sifat gelap sehingga dia diwujudkan menjadi sebuah robot dan cuba menentang Gloria. 

Di sinilah metafora yang digunakan dengan mengambil karakter raksasa dan robot itu bagi mewakili dua perwatakan berlainan gender yang seringkali digambarkan secara stereotaip dalam masyarakat. 

Setiap kali jika wanita mula mengamuk dan tidak mampu mengawal emosi serta perasaan, mereka digambarkan sebagai raksasa manakala lelaki pula sedari kecil sudah didedahkan dengan permainan khusus untuk mereka dan robot adalah salah satu daripadanya. 

Dalam masa yang sama, Colossal sendiri membincangkan perihal kedudukan wanita setiap kali mereka dilanda masalah dalam perhubungan cinta terutamanya. 

Lalu, Vigalondo menggunakan metafora sekali lagi untuk menyampaikan manifestasinya untuk emansipasi wanita dalam soal cinta. 

Acap kali, wanita sering digambarkan secara negatif yakni sebagai kaum lemah, mendambakan cinta lelaki dan sanggup menjadi hamba cinta biarpun tahu mereka hanyalah dianggap sebagai objek seks semata-mata. 

Selain Jason Sudeikis (kanan), Colossal turut dibintangi Austin Stowell (tengah) dan Tim Blake Nelson.

Justeru, dalam konteks Colossal, Vigalondo menggunakan raksasa itu sendiri untuk menyampaikan bahawa wanita sebenarnya mampu melawan perasaan mereka terhadap lelaki apabila merasakan diri mereka tidak lagi diperlukan. 

Dalam erti kata lain, kehidupan perlu diteruskan dan tanpa lelaki, wanita boleh hidup dalam keadaan yang baik. 

Metafora ini jelas disampaikan sewaktu Gloria enggan lagi mengikut telunjuk bekas teman lelakinya, Tim (Dan Stevens) yang mahukan dia kembali bersamanya. 

Ditambah pula, dengan pengakuan terbuka Oscar sewaktu babak konfrontasi melibatkan dirinya bersama Tim dan Gloria apabila Oscar mengatakan dia akan memastikan Gloria akan sentiasa mengikut telunjuknya waima dalam apa jua keadaan sekalipun (babak-babak ini dengan jelas dipaparkan).

Penulis tidak mahu bercerita lanjut tentang pengakhirannya tetapi apa yang penulis boleh katakan, setiap mesej yang ingin disampaikan itu cukup jelas tentang apa yang mahu diceritakan oleh Vigalondo.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Colossal

Artikel Lain