suria

‘Alien: Covenant’ Rungkai Misteri ‘Prometheus’

Salah satu babak menggemparkan filem Alien: Covenant yang membuatkan penonton tidak senang duduk.

FILEM: Alien: Covenant

PENGARAH: Ridley Scott

PELAKON: Michael Fassbender, Katherine Waterston, Billy Crudup, Carmen Ejogo, Demian Bichir dan Amy Seimetz.

GENRE: Sains Fiksyen/Seram

DURASI: 123 minit

PENGEDAR: 20th Century Fox

TARIKH TAYANGAN: 10 Mei 2017

JIKA ditanya kepada penulis apakah antara filem seram terbaik yang menjadi kegemaran dan berada dalam senarai penulis, jawapannya adalah Aliens (1986) dan Alien (1979).

Bagi penulis, dua filem pertama dalam francais filem Alien ini adalah terbaik.

Bahkan, ia berjaya mengekalkan reputasi serta legasinya sebagai antara filem terbaik dunia pernah dihasilkan sekaligus merobah landskap genre sains fiksyen dan seram.

Cuma, bezanya untuk kedua-dua filem tersebut, ia diarahkan oleh dua pengarah berbeza. Alien diarahkan oleh pengarah veteran tersohor, Ridley Scott manakala filem susulannya pula mendapat sentuhan bekas pemenang Oscar, James Cameron.

Kedua-dua filem tersebut yang bukan hanya sukses dari sudut kutipan tiket, bahkan ia diterima baik oleh pengkritik selain dicalonkan dan memenangi beberapa kategori teknikal terutamanya dalam acara anugerah berprestij.

Dari perspektif penulis, Aliens dan Alien bukan sekadar filem sains fiksyen semata-mata. Sebaliknya, ia mencipta satu sinergi baharu ketika itu dengan menggabungkan genre seram lantas menjadikan kedua-duanya sebagai cult classic.

Barisan pelakon filem Alien: Covenant arahan Ridley Scott.

Jika bukan kerana kebijaksanaan Scott dan Cameron sebagai pembuka jalan kepada kejayaan itu, agak mustahil untuk Alien mencipta satu francais filem dan memiliki dua filem lagi iaitu Alien 3 (1992) dan Alien: Resurrection (1997) – kedua-duanya tidak diarahkan oleh Scott atau Cameron.

Melihat kepada senario industri perfileman Hollywood yang lebih selesa menjana keuntungan daripada filem sekuel, prekuel dan seangkatannya membuatkan Scott tidak mahu melepaskan peluang untuk mencipta satu lagi francais baharu.

Semuanya bermula dengan filem Prometheus (2012) yang merupakan prekuel dan permulaan segala-galanya kepada francais filem Alien.

Penulis sendiri pun berbuat demikian sebelum menonton Alien: Covenant dan barulah semua persoalan serta misteri berjaya dirungkaikan.

Jika Prometheus cukup selesa untuk bergerak dengan perlahan dalam menterjemahkan intipati ceritanya, ia berbeza untuk Alien: Covenant yang penulis sifatkan berjaya mengatasi kelemahan Prometheus itu.

Katherine Waterston sebagai Daniels Branson yang memiliki imej seperti watak protagonis Ripley lakonan Sigourney Weaver dalam filem Alien terdahulu.

Biarpun penulis kurang menggemari Prometheus tetapi selepas menonton Alien: Covenant, barulah penulis faham mengapa jalan ceritanya dilakukan sedemikian rupa.

Secara tidak langsung, apa yang dilakukan oleh Scott adalah untuk menarik perhatian penggemar tegar siri filem Alien selain mahu membentuk kelompok peminat baharu untuk mendalami susur galur kepada filem sains fiksyen yang pernah menggemparkan dunia satu ketika dahulu.

Dari segi perjalanan ceritanya, ternyata Alien: Covenant dinaik taraf menjadi sebuah penontonan yang berjaya menimbulkan rasa gusar, seram, debaran dan tidak senang duduk menantikan apakah yang berlaku dalam babak-babak seterusnya terutama babak melibatkan makhluk asing ganas, Xenomorph.

Dalam erti kata lain, Scott mempunyai permainannya sendiri dalam mencipta momentum itu secara berperingkat dan ‘mendidik’ penonton untuk bersabar menonton karyanya.

Seperti mana yang penulis katakan di awal tadi, adalah disyorkan untuk menonton Prometheus terlebih dahulu dan mungkin anda akan faham dengan apa yang penulis katakan.

Barangkali juga Scott sedar akan krtikan dan ketidakpuasan peminat serta penonton terhadap Prometheus lalu beliau menebus semuanya kembali menerusi Alien: Covenant apabila membuat penambahbaikan merangkumi cerita, tempo, sinematografi, penataan seni, efek visual, skor muzik dan suntingan.

Akan tetapi, penulis faham bahawa Prometheus memiliki ideologi tersendiri memandangkan jalan ceritanya adalah tentang mencari jawapan berhubung Sang Pencipta yang diutarakan oleh kelompok manusia serta sebuah android bernama David (lakonan Michael Fassbender).

Bekas calon Oscar, Michael Fassbender memberikan impak tersendiri dalam lakonannya dalam Alien: Covenant.

Berbeza pula dengan Alien: Covenant yang memberikan jawapan kepada setiap persoalan dalam Prometheus yang akhirnya akan membuatkan penonton faham siapakah David sebenarnya dan ideologinya terhadap kehidupan.

Menyentuh tentang lakonan pula, penulis memberikan lima bintang untuk Fassbender yang kali ini memegang dua peranan apabila dia kembali sebagai David dan Walter.

Sebagai bekas calon Oscar, Fassbender cukup bijak mewarnakan wataknya sebagai android yang mempunyai misinya tersendiri.

Sesuatu yang menarik penulis perhatikan dalam watak Daniels Branson (Katherine Waterston, Fantastic Beasts and Where to Find Them – 2016) apabila Scott bijak menyerlah dirinya lalu membuatkan penulis melihat bayangan watak Ripley iaitu watak protagonis dalam francais filem Alien lakonan Sigourney Weaver.

Secara keseluruhannya, penonton yang mahu menonton Alien: Covenant harus bersabar dan menikmati momen perjalanan ceritanya. Ini kerana Scott mahu filemnya dinikmati sebaik mungkin dengan tenang, sabar dan tidak perlu tergopoh-gapah untuk sampai ke pengakhirannya.

Setidak-tidaknya Alien: Covenant berjaya memperbaiki kelemahan Prometheus dan penulis percaya, untuk filem susulan akan datang (judulnya pun sudah diumumkan iaitu Alien: Awakening) Scott sudah tahu bagaimana hendak memberikan impak dan momentum dalam perjalanan ceritanya.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Alien: Covenant

Artikel Lain