suria

‘Lebuhraya Ke Neraka’ Sinergi Dakwah Dan Seram Mamat Khalid

Antara adegan dalam 'Lebuhraya Ke Neraka'.

Filem: Lebuhraya Ke Neraka

Pengarah: Mamat Khalid

Pelakon: Datuk Awie, Shahz Jaszle, Miera Leyana, Dazrin Kamarudin, Fatin Syahirah dan Pekin Ibrahim

Genre: Drama

Durasi: 83 minit

Pengedar: Primeworks Studios Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 4 Mei 2017

SEBAGAI seorang pengarah dan auteur, nama Mamat Khalid bukan sembarangan dalam dunia perfileman tempatan.

Biarpun cukup dikenali dengan karya komedi, namun, pemilik nama sebenar Mohamad Mohd. Khalid ini sering berfikir di luar kotak dalam menghasilkan filem-filem baharu.

Sehubungan itu, Mamat tidak hanya mahu dicop sebagai pembikin filem komedi tetapi anak jati Perak ini sentiasa berusaha mempelbagaikan karyanya daripada pelbagai sudut bagi memperkukuhkan resume seninya.

Kalau ditanya kepada penulis, jujurnya, filem komedi popular arahan Mamat bukanlah pilihan penulis untuk disenaraikan sebagai filem kegemaran.

Sebaliknya penulis cukup menggemari karya Mamat yang lari daripada acuan konvensional seperti Amir & Loqman Pergi Ke Laut (2014), Estet (2010), Kala Malam Bulan Mengambang (2008) dan Man Laksa (2006) yang penulis sifatkan sebagai karya autentik Mamat walaupun tidak mencatatkan kutipan pecah panggung.

Lakonan Awie sebagai Bob adalah metafora kepada imej yang seringkali dipandang serong oleh masyarakat.

Bukan bermakna penulis menolak mentah-mentah karya komedi popular Mamat yang lain tetapi penulis lebih suka melihat bagaimana seseorang pengarah merangkap penglipur lara menggunakan kreativiti dalam melahirkan karya berbeza.

Terbaharu, pengarah berusia 54 tahun ini tampil dengan filem Lebuhraya Ke Neraka minggu lalu selepas hampir enam tahun terperap sehingga penulis beranggapan filem tersebut diharamkan kerana tema yang diketengahkan.

Berpeluang menonton Lebuhraya Ke Neraka beberapa hari lalu, penulis sifatkan karya Mamat kali ini adalah secara terus tanpa selindung di sebalik metafora yang acap kali beliau gunakan dalam filem-filem sebelum ini.

Dalam erti kata lain, Mamat menyampaikan dakwahnya dengan jelas dan segala apa yang dipaparkan dalam filem ini memiliki signifikan tersendiri jika penonton menontonnya dengan lapang jiwa.

Barangkali dengan tema yang ditampilkan, bekas penerima trofi Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-21 (2008) menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini tidak mahu terlalu bereksperimentasi kerana bimbang dakwahnya itu tidak akan sampai kepada penonton.

Lantaran itu, penulis harus memberikan pujian kepada Mamat kerana berjaya menghasilkan sebuah cerita dan lakon layar yang telus, berani dan meninggalkan impak tersendiri sekurang-kurangnya untuk diri penulis.

Lakonan Khir Rahman (tengah) sebagai Tyson cukup menyakinkan dan terbaik.

Pastinya, sepanjang hampir satu setengah jam menonton Lebuhraya Ke Neraka, penulis tidak merasakan filem ini terkebelakang dari konteks penceritaannya kerana dalam apa jua hal sekalipun, soal dakwah tidak pernah ketinggalan zaman walaupun sudah lebih enam tahun terperap.

Sebaliknya, penulis melihat karya Mamat kali ini relevan dengan senario masyarakat hari ini terutama untuk kaum Melayu beragama Islam. Disebabkan itu, penulis mengatakan Mamat begitu berani dan telus untuk ‘menghadiahkan’ karyanya ini buat audiens tempatan untuk dijadikan iktibar.

Dari sudut yang berbeza, tidak salah untuk penulis mengatakan bahawa Lebuhraya Ke Neraka memiliki sentuhan seperti siri televisyen dan filem The Twilight Zone yang membawa penonton ke satu dimensi berbeza terutama apabila watak Tyson (lakonan Khir Rahman) mula menonjolkan dirinya.

Disebabkan itu, Lebuhraya Ke Neraka juga ada unsur seramnya tersendiri dan keseraman itu bukanlah dari aspek visual tetapi jiwa filem itu yang meresap masuk dalam diri sehingga ia membuatkan kita berfikir tentang segala dosa dan sejarah silam yang pernah kita lakukan.

Jujurnya untuk penulis, teknik janaan komputer (CGI) dan visual yang ditampilkan untuk menguatkan lagi dakwah filem ini tidak begitu meninggalkan impak walaupun ia adalah perlu untuk menghidupkan lakon layarnya.

Watak Jeff lakonan Shahz Jaszle mewakili anak muda Melayu hari ini yang hanya memikirkan keseronokan dunia semata-mata.

Tetapi sebenarnya, kekuatan Lebuhraya Ke Neraka terletak kepada skrip dan dialog antara Tyson dan Bob (Awie) yang penulis sifatkan sebagai hebat serta mencabar minda sehingga membuatkan penonton akan berfikir tentang kebenarannya.

Babak yang paling digemari penulis adalah sewaktu Tyson dan Bob berada dalam sebuah panggung wayang dan sesi soal jawab antara mereka mula berlangsung. Itu adalah babak paling mencabar dalam Lebuhraya Ke Neraka.

Bermula daripada babak itu, ia kemudiannya mula bergerak secara montaj untuk memperlihatkan siapakah sebenarnya Tyson dan tugasnya dalam kehidupan kita seharian jika kita sebagai manusia yang sentiasa penuh dengan dosa ini tidak menjadikan Islam sebagai pegangan kukuh.

Seperti mana yang penulis katakan apabila Mamat mahu menjadikan filem ini selesa dan mudah dihadam, penulis juga percaya mengapa Mamat memilih Awie, Shahz Jaszle, Dazrin Kamarudin, Miera Leyana dan Fatin Syahirah sebagai pelakon untuk filem ini.

Setiap daripada mereka bagaikan mewakili anak Melayu beragama Islam terutama generasi muda hari ini yang barangkali tidak terfikir bahawa mati itu tidak menunggu masa dan akan mendatangi kita bila-bila masa sahaja tanpa diundang.

Filem Lebuhraya Ke Neraka tidak wajar dilepaskan oleh penonton tempatan.

Dalam erti kata lain, dakwah Mamat adalah tepat pada waktunya jika kita sendiri melihat kerapuhan akhlak anak-anak Melayu hari ini yang semakin membimbangkan.

Bahkan, watak Bob itu sendiri dilihat sebagai satu metafora kepada penghijrahan manusia yang tidak seharusnya diukur kepada luaran semata-mata seperti mana yang selalu dipandang serong oleh masyarakat kita.

Khir sebagai seorang pelakon berwibawa telah memberikan lakonan yang penulis sifatkan sebagai terbaik dan anggaplah sahaja bahawa Khir sudah membolosi senarai pencalonan akhir kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam FFM akan datang.

Bagi mereka yang belum berkesempatan menonton Lebuhraya Ke Neraka, ambil peluang untuk ke panggung menontonnya.

Setidak-tidaknya dan siapa tahu, ia mampu dijadikan sebagai medium pembersihan jiwa untuk kita sama-sama renungkan diri kita sementara menunggu kedatangan Ramadan tidak lama lagi.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.


Artikel Lain