suria

Mesej Sejagat Menjadi Pertaruhan ‘Gifted’

Pelakon cilik, Mckenna Grace berpotensi menjadi seorang aktres disegani kelak.

FILEM: Gifted

PENGARAH: Mac Webb

PELAKON: Chris Evans, Mckenna Grace, Jenny Slate, Lindsay Duncan dan Octavia Spencer

GENRE: Drama

DURASI: 102 minit

PENGEDAR: 20th Century Fox

TARIKH TAYANGAN: 27 April 2017

UNTUK mendidik dan membesarkan anak yang memiliki keistimewaan berbanding kanak-kanak normal lain sememangnya bukan satu tugas yang mudah. 

Baik keistimewaan daripada sudut pemikiran, personaliti mahupun karakter atau anak yang dilahirkan dengan kekurangan seperti kekurangan upaya misalnya, waima apa jua keadaan sekalipun, mereka adalah anak istimewa. 

Natijahnya, untuk mendidik mereka ini, tanggungjawab ibu bapa mahupun penjaga seharusnya untuk memberikan yang terbaik kepada anak istimewa ini agar mereka tidak berasa disisihkan hanya kerana mereka tidak sama seperti rakan sebaya mereka yang lain. 

Soal inilah yang dibangkitkan dalam filem baharu arahan Marc Webb, Gifted yang sebelum ini cukup dikenali mengarahkan filem hebat, (500) Days Of Summer pada tahun 2009.

Filem Gifted yang memulakan tayangannya di negara ini sejak minggu lalu itu mengutarakan kisah hidup seorang kanak-kanak genius berusia tujuh tahun bernama Mary Adler (lakonan Mckenna Grace) yang memiliki kepakaran luar biasa dalam bidang matematik.

Filem Gifted berkisar tentang hubungan antara seorang kanak-kanak genius bernama Mary (Mckenna Grace) dan bapa saudaranya, Frank (Chris Evans).

Walaupun Mary seorang kanak-kanak, tetapi persekitaran hidup dan hubungan erat dengan bapa saudaranya, Frank Adler (Chris Evans) seorang pembaiki kapal telah menjadikannya individu yang cukup matang dan tidak menampakkan seperti kanak-kanak biasa yang lain. 

Ditambah pula dengan hubungan akrabnya bersama Roberta Taylor (Octavia Spencer) yang merupakan jiran dan juga tuan rumah kepada tempat tinggal Mary dan Frank, membuatkan Mary berasakan hidupnya cukup sempurna biarpun tidak mewah. 

Akan tetapi, konflik hidup Frank dan Mary mula timbul apabila Frank menolak mentah-mentah tawaran daripada pihak sekolah Mary yang mahukan kanak-kanak bijak itu mendapat pendidikan terbaik beserta biasiswa di sebuah sekolah swasta golongan genius seperti Mary. 

Semuanya bersebab kerana Frank tidak mahu Mary ditimpa nasib serupa seperti adiknya, Diane – ibu kandung Mary yang membunuh diri kerana tekanan perasaan akibat daripada desakan keluarga yang mahukan Diane menjadi pakar matematik.

Apatah lagi selepas ibu kandung Frank, Evelyn (Lindsay Duncan) mula hadir dalam hidup mereka dan mahu menuntut hak penjagaan ke atas Mary dengan menggunakan segala kemewahan dan pengaruh yang dimilikinya.

Salah satu babak filem Gifted yang sudah pun ditayangkan di pawagam tempatan.

Secara tidak langsung, ia sekali gus mahu melunaskan impian dan cita-cita Evelyn yang selama ini ingin menjadi seorang pakar matematik namum impiannya berkecai selepas berkahwin pada usia muda dan menjadi suri rumah sepenuh masa selain kematian Diane. 

Penulis yang berpeluang menonton Gifted baru-baru ini tidak menafikan bahawa naskhah ini ada jiwanya tersendiri. 

Biarpun ia bukanlah sebuah karya yang dihasilkan untuk menyertai festival filem atau bertaraf Oscar, tetapi Gifted berlayar dengan keindahan yang terhasil daripada lakon layar oleh Tom Flynn. 

Menonton Gifted juga mengingatkan kembali ingatan penulis kepada salah sebuah filem yang cukup digemari penulis, Little Man Tate (1991) yang diarahkan oleh bekas pemenang Oscar, Jodie Foster dan memiliki tema lebih kurang sama. 

Bahkan, melihat kepada aksi Grace sebagai Mary juga membuatkan penulis teringat akan keberkesanan lakonan aktres muda, Dakota Fanning dalam filem I Am Sam (2001) walaupun standard lakonan Grace tidak mampu menyaingi kehebatan Fanning ketika itu.

Filem Gifted bukan sebuah filem bertaraf Oscar tetapi ada jiwa tersendiri.

Pun begitu, penulis tertarik untuk melihat bagaimana Gifted cuba meneroka permasalahan yang penulis sifatkan sebagai sejagat apabila ia membicarakan tentang dalam membesarkan anak istimewa ini. 

Mesej Gifted cukup jelas. Bukan soal kaya atau miskin tetapi bagaimana untuk memberikan kehidupan terbaik untuk kanak-kanak tidak kira mereka itu adalah normal ataupun sebaliknya. 

Semuanya itu dapat dilihat bagaimana konflik antara Evelyn dan Frank yang memiliki ideologi berbeza dalam soal pendidikan kanak-kanak yang merupakan tunjang utama kepada filem Gifted

Penulis tidak menafikan milieu Gifted itu agak klise apabila membabitkan filem bercorak kekeluargaan seperti ini tetapi pada hemat penulis, tema dan mesej itu sesuatu yang begitu dekat dengan sesiapa sahaja. 

Lantaran itu, penulis mengesyorkan kepada ibu bapa mahupun mereka yang mahu membina keluarga mengambil peluang menonton filem ini dan cuba melihatnya dari sudut konteks yang lebih luas.

Gifted dibintangi oleh Octavia Spencer (kiri), Mckenna Grace dan Chris Evans (kanan).

Dalam masa yang sama, untuk peminat Evans yang sebelum ini cukup dikenali dengan watak adiwira Steve Rogers atau Captain America dalam siri filem The Avengers dan Captain America, Gifted memperlihatkan sisi berbeza aktor kacak itu dalam persembahan lakonannya.

Kemunculan Spencer selaku bekas pemenang Oscar pula tiada apa yang menarik untuk diperkatakan walaupun di awalnya penulis merasakan dia mampu menggerakkan Gifted dengan memberikan lakonan berkesan seperti dalam The Help (2011) dan Hidden Figures (2016). 

Berbanding dengan Duncan yang menyerlahkan karakternya sebagai seorang ibu dan nenek yang dominan membuatkan penonton berasa kurang selesa dan hanya mampu memberikan senyuman serta pandangan sinis setiap kali dia muncul di layar. 

Biarpun Gifted tidak mampu mengundang air mata penulis tetapi ia masih lagi boleh ditonton dan dinikmati dengan senyuman terukir di bibir apabila keluar dari pawagam.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Gifted

Artikel Lain