suria

Cerita Mendatar, Tiada Klimaks Punca ‘The Circle’ Gagal

Biarpun memiliki premis yang menarik untuk memberi mesej positif kepada masyarakat, namun, filem The Circle tidak diolah seperti mana yang sepatutnya.

FILEM: The Circle

PENGARAH: James Ponsoldt

PELAKON: Emma Watson, Tom Hanks, Karen Gillan, John Boyega, Glenne Headly, Patton Oswalt dan Bill Paxton

GENRE: Drama/Thriller

DURASI: 110 minit

PENGEDAR: TGV Pictures

TARIKH TAYANGAN: 18 Mei 2017

BIARPUN mempertaruhkan nama-nama besar yang boleh dikategorikan sebagai Gred A, nampaknya ia langsung tidak mampu menyelamatkan filem The Circle daripada menjadi salah sebuah naskhah tidak menjadi untuk tahun 2017 setakat ini.

Sementelah The Circle yang ditunjangi bekas pemenang Oscar, Tom Hanks dan aktres muda yang semakin menempa nama, Emma Watson, pastinya khalayak meletakkan harapan untuk melihat ia menjadi sebuah filem luar biasa barangkali.

Ditambah pula, filem yang diadaptasi daripada novel dengan judul yang sama hasil tulisan Dave Egger pada tahun 2013 itu juga tidak mencatatkan kutipan tiket membanggakan.

Pun begitu, kelemahan ketara dari sudut penceritaan dan lakon layar menyebabkan The Circle gagal memahatkan impaknya buat khalayak walaupun penulis tidak menafikan ada sesuatu yang menarik daripada intipati ceritanya.

Pada hemat penulis, The Circle sebenarnya mampu memberikan impak luar biasa seandainya lakon layar dan ceritanya digilap serta diperkemaskan untuk menjadi cerita yang dapat ‘menakutkan’ audiens tentang realiti sebenar internet.

John Boyega (kiri) dan Emma Watson dalam salah satu babak filem The Circle.

Seperti mana yang penulis katakan, cerita yang diketengahkan oleh The Circle memang menarik kerana ia relevan dengan apa yang berlaku dalam kehidupan masyarakat dunia hari ini.

Ia mengambil tema kehidupan manusia hari ini yang semakin hari semakin maju dengan segala teknologi depan mata dengan adanya internet yang secara lahiriahnya membantu manusia dalam segenap aspek.

Namun, di sebalik kebaikan yang sering dinikmati, tanpa disedari sebenarnya internet turut membawa keburukan seandainya ia tidak ditapis mahupun dikawal selia sebaik mungkin yang akhirnya membawa padah kepada kehidupan manusia.

Secara ringkasnya, inilah yang cuba hendak diberitahu oleh Eggers selaku salah seorang penulis lakon layarnya di samping pengarah filem ini sendiri, James Ponsoldt yang mana penulis nampak sisi positif The Circle ini.

Bahkan, setiap babak dan situasi yang berlaku dalam filem ini memang ada kebenarannya. Malah, penulis tidak menafikan bahawa ia adalah kitaran yang berlaku dalam kehidupan kita seharian seperti menularkan sesuatu berita yang tidak dapat dipastikan, perkongsian video yang menjelikkan selain keinginan manusia untuk menceroboh privasi orang lain.

Bukan itu sahaja, The Circle juga secara sinisnya memperlihatkan bagaimana kecenderungan manusia hari ini yang mahu menjadi wira dan terkenal sekelip mata sedangkan apa yang dilakukan itu sebenarnya lebih membawa padah.

Salah satu babak filem The Circle.

Secara tidak langsung, The Circle sebenarnya mahu menyedarkan masyarakat bahawa dalam arus kemodenan dan dilimpahi dengan segala teknologi canggih hari ini, ada sesuatu yang perlu setiap manusia perlu jaga dan pelihara yakni maruah.

The Circle memiliki segala apa yang diperlukan untuk menjadikan ia sebagai sebuah filem thriller yang mungkin dibanggakan tetapi semuanya itu hanyalah bayangan penulis semata-mata.

Sedari awal minit pertama The Circle membuka tirainya, minda penulis sudah membayangkan bahawa ia akan bergerak dengan momentum yang ada naik turunnya seperti mana acuan konvensional sebuah filem thriller.

Sebaliknya, ia sebuah naskhah yang mendatar sehinggakan tiada klimaks sehingga ke babak akhir walaupun penulis tahu dan faham apa yang cuba ingin disampaikan menerusi filem ini.

Ada ketika, naskhah yang kurang memberangsangkan dapat diselamatkan oleh persembahan lakonan yang hebat oleh para pemainnya tetapi dalam The Circle, baik Watson mahupun Hanks sendiri, tidak memberikan mutu lakonan seperti yang diharapkan.

Watson dengan persembahan yang hanya satu dimensi dan tidak dirasai manakala watak antagonis di tangan Hanks tidak menjadi lalu membuatkan penonton keliru siapakah dia sebenarnya kerana kejahatan itu tidak menyerlah.

Bekas pemenang Oscar, Tom Hanks gagal memberikan lakonan seperti mana yang diharapkan.

Lebih menyedihkan, kehadiran John Boyega dalam filem ini juga tidak mempunyai peranan penting walhal sebenarnya dia mampu untuk menjadi wira biarpun hanyalah sekadar watak pembantu.

Sebagai sebuah filem cereka dan memiliki lesen kreatif yang besar, tidak ada salahnya jika ceritanya dilebih-lebihkan agar dapat memberikan sesuatu yang berguna dan positif kepada audiens.

Perihal ini membuatkan penulis segera mengingatkan kepada sebuah filem yang penulis tonton tahun lalu berjudul Nerve yang juga berkisar tentang dunia dan kehidupan manusia dengan internet.

Biarpun Nerve bukanlah sebuah filem terbaik dan sempurna, tetapi, impaknya terasa dan membuatkan penonton terfikir sejenak apakah yang akan berlaku seandainya dunia dikuasai sebegitu rupa.

Tetapi itu tidak berlaku dalam The Circle kerana ia tidak diperhalusi dan didalami seperti mana yang sepatutnya. Sebaliknya, ia sebuah karya yang hambar, membosankan dan tidak menyerlah.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

The Circle

Artikel Sebelum

Artikel Lain