suria

Alha Alfa sah bercerai selepas enam bulan berkahwin - “Saya lepaskan dia... tak nak dia kemurungan dan stres”

Jodoh tak panjang... ikatan perkahwinan Alha Alfa dan isteri berakhir.

HANYA mampu bertahan selama enam bulan, perkahwinan jurusolek terkenal Datuk Alha Alfa bersama Datin Noor Azlin Ismail sudah berakhir. 

Menurut Alha atau nama sebenar Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil, 31, mereka sepakat untuk berpisah secara baik setelah tiada lagi persefahaman.

"Setelah saya cuba sembunyikan perkara ini, harini ada hamba Allah yang menulis dan menyebarkan berita ini, mungkin juga ini salah satu jalan Allah ingin membuka ruang dan jalan untuk kami masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi majlis kahwin Alha Alfa, kek RM5,000 tumbang dengan tiba-tiba - “Kalau kena tetamu jenuh ada muka yang berjahit”

"Sebolehnya saya ingin berdiam diri dan tak nak besarkan hal ini supaya aib kedua-duanya terjaga, tapi mungkin ini ujian berat dalam hidup saya.

"Saya sudah meminta izin bekas isteri untuk menulis mengenai ini dan habiskan secara damai... harap tiada pihak mengeruhkan lagi. Terima kasih kepada bekas isteri kerana membahagiakan saya selama setengah tahun bersama," katanya menerusi laman Instagram.

Alha berkongsi status rumah tangganya di Instagram pada Ahad.

Sebelum itu, sebelum portal berita melaporkan dakwaan kononnya rumah tangga Alha dan isteri telah berakhir.

Sementara itu, Alha juga memberitahu perbezaan jarak usia dan kerjaya menjadi punca dia dan Azlin memilih untuk berpisah.

Tak apalah isteriku, semoga dia jumpa pasangan yang betul-betul memahami kehendaknya, maafkan saya kerana gagal mengemudi bahtera ini ke syurga!

ALHA ALFA

JURUSOLEK DAN USAHAWAN

"Mungkin sebab dia terlalu muda dan impikan hidup sentiasa bersama sedangkan pekerjaan dan masa saya terhad dan buatkan dia tak boleh terima kerjaya saya dan menjadi perselisihan faham.

"Mungkin sebelum kahwin dia boleh terima pekerjaan saya, kehidupan saya, pangkat saya tetapi bila hidup bersama akan sentiasa rasa cemburu dan tidak puas hati.

"Kehidupan kami normal macam biasa dan saya pun dah nak jadi ayah tapi keguguran mungkin belum rezeki... tetapi apa yang saya pertahankan ini tak panjang, saya tak nak dia kemurungan, stres berpanjangan, ugut nak cederakan diri dan lain-lain, gambar saya luka tu saya bergelut menghalang dia mencederakan diri," ujarnya.

Majlis resepsi mereka pernah viral apabila kek mewah perkahwinan mereka runtuh dan terbalik.

Setelah memikirkan segala kemungkinan, Alha berkata perceraian adalah jalan terbaik dan mendoakan supaya Azlin bertemu dengan pengganti yang lebih baik.

"Saya lepaskan dia sebaiknya, saya tak boleh berhenti bekerja dalam bidang saya, ini mata pencarian saya, syarikat, staf saya... kalau saya kalah, semuanya habis.

"Tak apalah isteriku, semoga dia jumpa pasangan yang betul-betul memahami kehendaknya, maafkan saya kerana gagal mengemudi bahtera ini ke syurga.

"Saya kena terus kuat menempuh ujian Allah ini, biarlah apa yang berlaku sekalipun, saya dah cuba kurangkan kerja saya dan niat nak bulan madu ke Makkah tapi tak kesampaian kerana Covid-19," katanya.

Alha dan Noor Azlin Ismail, 23, berkahwin di Taiping, Perak pada 28 September tahun lalu.

Alha Alfa

Artikel Lain