suria

Artis mengadu terima layanan buruk, Hospital Putrajaya buat laporan polis - “Video berkenaan beri tekanan emosi kepada petugas”

Paparan skrin muat naik dua selebriti berkaitan kakitangan Hospital Putrajaya.

HOSPITAL Putrajaya membuat laporan polis berhubung penularan dua video menjejaskan imej dan kredibiliti pegawai perubatan dalam mengendalikan kes Covid-19 di Balai Polis Presint 7, Putajaya pada Selasa lalu.

Laporan polis itu dibuat susulan video yang ditularkan oleh dua selebriti tanah air.

Video pertama dipercayai milik seorang penyanyi wanita yang mempunyai impak tontonan tinggi, manakala video kedua daripada saluran YouTube, milik seorang selebriti lelaki, bekas pengacara terkenal di media sosial yang menyokong isu dibangkitkan selebriti pertama.

ARTIKEL BERKAITAN: Dayangku Intan bimbang alami simptom seperti jangkitan Covid-19

Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora’i Mohd Said berkata, mereka kesal dengan penularan dua video berkenaan.

Menurutnya, sebagai langkah menepis tohmahan dan persepsi buruk masyarakat terhadap perkhidmatan kakitangannya, Hospital Putrajaya membuat laporan polis berhubung penularan video itu.

“Laporan polis itu dibuat bertujuan mendapat tindakan sewajarnya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap individu yang tidak menghormati tugas anggota kesihatan.

“Isu berkenaan diperbesar dengan perkataan kesat terhadap petugas kesihatan yang menjalankan tugas.

Kenyataan media Pengarah Hospital Putrajaya dan laporan polis yang dibuat.

“Pengurusan Hospital Putrajaya memandang serius akan perkara ini dan turut kesal dengan penularan video tersebut,” katanya melalui kenyataan media.

Salinan laporan polis berhubung perkara berkenaan turut dimuat naik di Facebook rasmi Hospital Putrajaya.

Tambah Dr Nora’i, orang awam seharusnya lebih peka dengan keadaan semasa wabak Covid-19 dan setiap petugas kesihatan bertindak berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Tambahnya, petugas keletihan dan terpaksa mengenepikan ahli keluarga masing-masing untuk melaksanakan tugas yang bahaya ini.

“Penularan video berkenaan memberi tekanan emosi kepada petugas sedangkan sokongan moral dan semangat yang harus diberikan, dan bukannya kata cacian dan kesat seperti ini,” katanya.

Sebelum ini mStar melaporkan kenyataan penyanyi senior Dayangku Intan berhubung pengalamannya ketika berada di Hospital Putrajaya.

Video berkenaan kemudiannya dikongsikan semula oleh pengacara Azwan Ali di Twitter yang dikatakan memburukkan pengurusan Hospital Putrajaya.

Artikel Lain